Tuesday, April 28, 2009

Menuju Puncak


KUALA LUMPUR - Selepas melalui prestasi buruk awal musim, Kedah kini melonjak ke tangga keempat liga selepas menewaskan Pahang 3-1 dalam saingan Liga Super di Stadium Darul Aman, semalam.Kemenangan itu membolehkan Kedah memintas kedudukan Negeri Sembilan selepas mengumpul 25 mata untuk berada di belakang Perlis (28 mata), Selangor dan Kelantan (25 mata).
Pada perlawanan Kedah-Pahang semalam, kesemua gol dijaringkan pada babak pertama permainan.Gol-gol Kedah dijaringkan Mohd. Faisal Abu Bakar (m-11), Shahrulnizam Mustapha (m-28) dan Kyril Muhymeen (m-42). Manakala gol tunggal pasukan pelawat dijaringkan Mohd. Sharizan Md. Salleh pada minit ke-38. Hanya dua perlawanan Liga Super berlangsung semalam.

29 April

Monday, April 20, 2009

Syabas kepada Rajagobal, lupakan impian bawa masuk Scolari


TERKEJUT tetapi syabas kepada K. Rajagobal yang dilantik sebagai ketua jurulatih skuad bola sepak kebangsaan yang baru.

Penulis memang mengenali Rajagobal semasa beliau membimbing skuad Kelantan selepas membawa gelaran juara liga kepada Selangor pada 2000.

Beliau yang pernah menjadi penolong jurulatih kebangsaan kepada Ken Worden pada 1993 mempunyai ciri-ciri seorang yang tegas di padang tetapi mesra dan merendah diri di luar padang.

Pelantikan Rajagobal, semalam sekali gus menutup segala isu siapa jurulatih skuad kebangsaan yang sekian lama dinantikan dan hangat diperkatakan di kalangan peminat.

Mengembalikan semula maruah skuad negara dan membina semula keyakinan peminat adalah tanggungjawab besar di bahu Rajagobal.

Malah, penulis percaya Rajagobal sendiri maklum dengan budaya orang kita yang tidak akan duduk diam jika ada yang tidak kena dengan prestasi skuad bola sepak negara.

Dalam hal ini, kita tidak boleh salahkan peminat-peminat ini kerana itu adalah hak mereka untuk bersuara dan meluahkan pandangan.

Tapi, janganlah itu melemahkan semangat, malah Rajagobal perlu tabah dan yakin sebagaimana beliau menggilap kegarangan Harimau Muda.

Bercerita tentang jurulatih kebangsaan, teringat penulis kepada seorang rakan lama menanyakan hal yang sama beberapa hari lalu.

Lebih menarik, rakan penulis ini mengutarakan pandangannya tentang bekas jurulatih Chelsea, Luiz Felipe Scolari.

''Mengapa FAM tidak mahu mengambil bekas jurulatih Chelsea, Luiz Felipe Scolari. Kita pernah ambil Claude Le Roy dari Perancis yang pernah bawa Cameroon ke Piala Dunia. Apa bezanya Scolari.

''Ya! Bayaran upahnya tentunya tinggi tetapi berfikir jauh. Kalau nak buat perubahan kita buat betul-betul. Biar mahal asalkan kesannya positif. Kalau nak beraksi di Piala Dunia dan nak perubahan, kenalah berani. Inilah masanya.''

Itu kata rakan penulis tetapi penulis tetap menaruh keyakinan tinggi, FAM mempunyai perancangan tersendiri dan alasan konkrit tentang perkara ini.

Jika difikirkan mendalam dan jangka panjang, betul juga kata rakan penulis. Kalau mahu perubahan kena ada tindakan berani, apatah lagi rekod Scolari baik di arena antarabangsa, pernah membawa Brazil dua kali menjulang Piala Dunia.

Dari segi faedah jangka panjang, bayangkan bentuk pembangunan kejurulatihan yang boleh dirangka daripada jurulatih berpengalaman itu.

Hujah penulis bukan bermakna penulis menafikan kehebatan dan hak jurulatih tempatan kerana sembang-sembang kosong itu berlaku ketika jurulatih kebangsaan belum diumumkan lagi.

Apa pun, peminat bola sepak tempatan wajar memberi ruang kepada Rajagobal merencanakan perancangannya untuk skuad negara.

Rajagobal seorang jurulatih yang strategis dan beliau tahu apa yang dimahukan dalam skuad kebangsaan.

Beri beliau masa dan semangat kerana mana-mana jurulatih hebat sekali pun, mahupun Scolari tidak akan dapat mengubah sebuah pasukan bola sepak menjadi hebat sekelip mata.

Kita di luar tunggu dan lihat!(Utusan 21 April)

Thursday, April 16, 2009

Azraai tetap akur keputusan KFA


JURULATIH skuad Hijau Kuning, Mohd Azraai Khor Abdullah akur dengan sebarang keputusan yang dibuat Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) andai Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berminat mengambilnya selaku ketua jurulatih baru skuad kebangsaan.

Sebagai seorang jurulatih yang masih mempunyai kontrak dengan KFA sehingga 2010, dia tidak akan membuat rayuan kepada majikan untuk melepaskannya jika terpilih menjadi jurulatih kebangsaan.

Mohd Azraai berkata, sebagai jurulatih yang berjaya membawa pasukan Kedah memenangi kejuaraan berganda, dia tetap bersedia memikul tugas kerusi panas itu yang sebelum dikendalikan oleh B Sathianathan.

“Terserah kepada KFA untuk buat keputusan dan saya akur keputusan Presiden KFA, Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang enggan melepaskan saya.

“Saya terharu dengan kenyataan Datuk Seri (Azizan) kerana apa yang saya buat selama ini untuk memajukan bola sepak Kedah amat dihargai,” katanya ketika ditemui pada majlis pembukaan cawangan terbaru Al-Ikhsan di Jalan Teluk Wanjah, Alor Setar, semalam.

Akhbar semalam melaporkan KFA tidak akan melepaskan Mohd Azraai jika FAM berminat untuk mengambil beliau sebagai ketua jurulatih baru skuad kebangsaan.

Azizan dilaporkan berkata, pihaknya belum bersedia untuk melepaskan Mohd Azraai kerana masih memerlukan khidmat beliau bagi membimbing pasukan Kedah.

Sementara itu, Mohd Azraai berkata, di sebalik minatnya membimbing pasukan kebangsaan, dia masih sayangkan pasukannya terutama selepas berjaya menggilap dan mengetengahkan beberapa pemain muda dalam skuad Kenari itu sehingga terpilih untuk mewakili skuad kebangsaan dan Harimau Muda. (17 April 2009/BH)

Wednesday, April 15, 2009

KFA berat hati lepas Azraai


ALOR SETAR - Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mungkin boleh memikirkan nama lain bagi calon jurulatih skuad bola sepak kebangsaan kerana majikan ketua jurulatih skuad Kedah, Mohd. Azraai Khor Abdullah semalam mengakui keberatan untuk melepaskannya.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, pihaknya berat hati untuk melepaskan Mohd. Azraai selepas ketua jurulatih skuad bola sepak Sang Kenari itu telah lama menabur bakti termasuk membawa skuad Hijau Kuning muncul juara treble berganda.

Bagaimanapun, katanya, KFA sedia mengadakan perbincangan jika FAM benar-benar ingin melamar Mohd. Azraai yang kontraknya akan berakhir dengan persatuan itu pada hujung tahun ini.

"Memanglah (berat hati).... dia sudah lama duduk sini (melatih pasukan Kedah).

"Kita 'bela' sampai hebat orang nak ambil mana boleh, tunggu dulu tengok," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini semalam.

Beliau yang juga merupakan Menteri Besar Kedah ditanya sama ada KFA sedia melepaskan Mohd. Azraai jika FAM melamarnya sebagai jurulatih skuad bola sepak negara yang baru.

Utusan Malaysia melalui laporan Bernama kelmarin menyiarkan bahawa Mohd. Azraai mungkin merupakan calon tunggal FAM bagi mengisi jawatan tersebut.

Ini kerana dua lagi nama jurulatih yang disebut-sebut iaitu K. Devan (Selangor) dan Dollah Salleh (Shahzan Muda) untuk mengisi jawatan itu belum menerima tawaran secara rasmi atau tidak daripada FAM.

Mohd. Azraai pula dilaporkan telah menerima panggilan daripada FAM berhubung perkara itu dan bersedia untuk menggalas tanggungjawab selaku jurulatih kebangsaan. Beliau bagaimanapun tidak memberikan sebarang keputusan kerana masih mempunyai kontrak dengan KFA.

Dalam pada itu, Azizan memberitahu, sehingga kini FAM masih belum menghubungi KFA berhubung perkara berkenaan. 16 April 2009

Tuesday, April 14, 2009

Pasukan Kedah mampu bangkit kembali


JIKA tidak mengenali Mohd. Azraai Khor Abdullah, mungkin ada yang akan menyangka seorang guru sekolah daripada seorang jurulatih yang mencipta kehebatan menjulang gelaran treble berganda untuk dua musim bersama skuad Kedah.

Jurulatih bercermin mata ini seorang yang tenang di luar padang tetapi kaya dengan taktik bola sepak dan sentiasa mahu menimba ilmu.

Di sebalik kejayaannya meraih gelaran juara, sehingga menimbulkan rasa 'cemburu' di kalangan jurulatih lain, dia sebenarnya percaya pasukan mudanya masih banyak perlu dipelajari.

Sememangnya benar. Tanpa pemain import untuk membantu, mungkin sukar untuk mencari kejuaraan tetapi Azraai bukanlah orang yang mudah putus asa dan membiarkan keadaan itu menjadi penghalang untuk mencapai matlamat tersebut.

Sekalipun harapan begitu tinggi musim ini untuk mempertahankan kesemua gelaran dan trofi yang dimenangi, beliau sebenarnya telah maklum dan berusaha untuk mempertahankannya.

Pasukan Kenari memulakan musim 2008/2009 agak lesu, apabila tidak konsisten dalam saingan Liga Super di samping tersingkir daripada Piala FA.

Namun, kesukaran itu sedikit demi sedikit di atasi dan kini Kedah menduduki tangga kelima, malah menetapkan tempat tiga teratas sebaik tamat saingan musim ini.

Ramai yang beranggapan, keadaan ini disebabkan ketiadaan pemain import, tetapi setahu ramai, jurulatih terbabit bukanlah seorang yang mudah mengalah.

Pada saat saya menulis artikel ini, Kedah bakal berdepan dengan kelab Eastern Athletic dari Hong Kong dalam saingan Piala AFC di Stadium Mongkok, 21 April ini dan Azraai tidaklah gusar dengan keadaan itu.

Baginya, pengalaman adalah perkara paling berharga walau apa jua keputusan sekalipun. Apa yang penting daripada pengalaman itu akan menjadikan pasukannya lebih bersedia dan matang berdepan cabaran dalam tempoh akan datang.

Bukan sukar untuk melihat jurulatih ini membina satu pasukan yang kuat pada masa hadapan walaupun beliau menerima tekanan kuat daripada peminat tempatan.

Beliau mempunyai misi tersendiri terhadap pasukan yang sedang dibinanya dan seperti jurulatih-jurulatih lain yang memberikan tumpuan kepada pemain muda.

Sungguhpun Kedah sukar untuk mengulangi kehebatan dan kejayaan dua musim lalu, tetapi saya percaya kejayaan manis itu pasti berulang kerana Azraai adalah orang yang mempunyai misi. 15 April 2009.

Mohd. Azraai calon tunggal FAM?


KUALA LUMPUR - Jurulatih Kedah, Mohd. Azraai Khor Abdullah mungkin merupakan calon tunggal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk mengisi jawatan jurulatih kebangsaan.

Ini kerana dua lagi nama jurulatih yang disebut-sebut iaitu K. Devan (Selangor) dan Dollah Salleh (Shahzan Muda) untuk mengisi jawatan itu belum menerima tawaran secara rasmi atau tidak daripada FAM.

Azraai pula dilaporkan telah menerima panggilan daripada FAM berhubung perkara itu dan bersedia untuk menggalas tanggungjawab selaku jurulatih kebangsaan.

Jurulatih yang membimbing Kedah menjuarai tiga kejohanan (Piala Malaysia, Piala FA dan Liga Super) dua musim berturut-turut pada 2007 dan 2008 itu bagaimanapun tidak memberikan sebarang keputusan kerana masih mempunyai kontrak dengan Persatuan Bola Sepak Kedah.

Dalam pada itu, Devan ketika dihubungi Bernama berkata fokusnya kini adalah untuk membimbing pasukan Selangor pada saingan Liga Super yang baru dipimpinnya awal musim ini.

"Jika ditawarkan jawatan itu, saya bukannya menolak bulat-bulat tapi masih memerlukan masa sekurang-kurangnya dua tahun bagi mencari dan menambah pengalaman," katanya yang membimbing Kuala Muda Naza menjuarai Liga Perdana pada musim lepas.

Sementara itu, Dollah yang kini membimbing pasukan berstatus kelab yang berpangkalan di Pahang, Shahzan Muda, turut mengesahkan tidak ada menerima sebarang tawaran daripada FAM berhubung jawatan itu.

"Saya cuma mengetahui perkembangan mengenai jurulatih kebangsaan melalui akhbar sahaja tapi saya kini tetap memberi tumpuan kepada Shahzan Muda," kata jurulatih berusia 46 tahun yang pernah membimbing Selangor memenangi tiga piala pada 2005 iaitu Piala Malaysia, Piala FA dan Liga Perdana.

Sabtu lepas, Timbalan Presiden FAM, Datuk Redzuan Tan Sri Sheikh Ahmad berkata, pelantikan jurulatih kebangsaan mungkin akan dibuat dalam tempoh masa dua minggu kerana beberapa perkara perlu diselesaikan terlebih dahulu.

Beliau berkata, calon jurulatih berkenaan pernah membawa kejayaan kepada pasukan yang dibimbingnya dan FAM masih berunding dengan persatuan negeri terbabit.

Jawatan jurulatih kebangsaan kini kosong setelah FAM pada 1 Februari lepas memutuskan untuk menamatkan kontrak bekas jurulatih negara, B. Sathianathan. - BERNAMA
15 April 2009

Monday, April 13, 2009

Terengganu silap percaturan

CORAK permainan yang terlalu berhati-hati membawa padah kepada Terengganu apabila tewas 0-2 kepada Kedah dalam saingan Liga Super, malam kelmarin.

Lebih malang, kekalahan di hadapan peminat sendiri di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin itu turut menamatkan rekod tiga kemenangan berturut-turut pasukan tersebut.

Kekalahan itu sangat memalukan, sekali gus mengecewakan peminat setia skuad Penyu yang hadir menyaksikan perlawanan itu.

Pengurus Pasukan, Sheikh Ahmad Tajuddin Sheikh Yusof berkata, keputusan menurunkan ramai pemain tidak berpengalaman adalah antara faktor yang menyebabkan kekalahan itu.

"Corak permainan serba tidak menjadi malam ini (kelmarin) apabila pasukan mempamerkan aksi yang longlai.

"Tujuan utama kita menurunkan ramai pemain-pemain muda dalam perlawanan ini adalah untuk memberi pendedahan kepada mereka tetapi sebaliknya berlaku.

"Nampaknya mereka gagal menyaingi pasukan Kedah yang dianggap lebih berpengalaman," kata Sheikh Ahmad.

Menurut Sheikh Ahmad, peluang untuk menjaringkan gol tetap ada tetapi kesilapan yang dilakukan oleh jentera serangan telah menyentak semangat pasukan.

Selain itu strategi yang digunakan oleh pasukan lawan untuk lebih banyak bertahan telah menyukarkan peluang anak-anak buahnya menjaringkan gol.

Bagaimanapun skuad Terengganu masih berpeluang untuk mencipta kejayaan tetapi perlu memperbaiki segala kesilapan dengan kadar segera.

Katanya, gol pertama yang diperoleh Kedah adalah disebabkan kesilapan pemain pertahanan manakala gol kedua tidak dijangka hasil satu serangan balas yang pantas.

Sementara itu, jurulatih Kedah, Mohd. Azraai Khor Abdullah berkata, kemenangan ini sangat bermakna kerana ia dicatat di hadapan peminat tuan rumah.

"Berdasarkan rekod-rekod pertemuan lalu, anak-anak buah saya sangat sukar untuk mencatat kemenangan di tempat lawan.

"Jadi, saya bersyukur kerana kami berjaya menewaskan Terengganu yang ketika ini dianggap sebagai salah sebuah pasukan yang sedang meningkat naik," katanya.

Menurut Azraai, dia terpaksa menggunakan strategi bertahan dengan meletakkan lima pemain di bahagian pertahanan kerana beberapa pemain utama mengalami kecederaan.
13 April 2008

Friday, April 10, 2009

Kedah tampil waspada di Gong Badak

BARISAN pemain Kedah akan tampil lebih waspada apabila berdepan Terengganu di Stadium Sultan Mizan di Gong Badak, malam ini, selepas melihat kemampuan skuad itu mengaibkan Selangor pada perlawanan liga lalu.

Jurulatih Kedah, Mohd Azraai Khor Abdullah berkata, Terengganu perlu lebih dihormati selepas menundukkan skuad Merah Kuning, Sabtu lalu yang pasti menyuntik keyakinan tinggi buat pemain tuan rumah.

“Pada pusingan pertama, kami mengatasi Terengganu 3-0 tetapi pada perlawanan esok (malam ini), keadaan berlainan kerana lawan kali ini lebih mantap dan mampu membuatkan kami berputih mata.



“Pemain perlu memastikan kesilapan yang dilakukan ketika diaibkan Kelantan tempoh hari tidak berulang dan saya juga yakin anak buah saya mampu mengekalkan prestasi cemerlang selepas mengatasi lawan dari Hong Kong pada Piala AFC, Selasa lalu,” kata Azraai yang memilih untuk mengekalkan kesebelasan yang sama ketika aksi Piala AFC Selasa lalu.

Beliau berkata, Fadly Baharom yang mengalami kecederaan dalam kemalangan jalan raya di Alor Setar minggu lalu, masih tidak dapat diturunkan tetapi penyerang muda, Faizal Abu Bakar sudah pulih daripada kecederaan untuk digandingkan dengan Khyril Muhymeen Zambri.

“Selepas kehilangan tiga mata Sabtu lalu, kami tidak mampu tercicir mata lagi demi memastikan kejuaraan yang dimenangi sejak dua musim lalu tidak terlepas.

Sunday, April 5, 2009

Kedah hampakan penyokong


ALOR SETAR - Skuad Kenari menghampakan harapan 30,000 penyokong setianya yang membanjiri Stadium Darul Aman apabila Kedah tunduk 1-2 kepada Kelantan pada perlawanan Liga Super kelmarin.

Namun hujan tidak mematahkan semangat penyokong Kedah yang terus memberi sokongan pasukan tuan rumah yang bermula garang.

Aksi bertenaga pasukan Kedah yang mengatur serangan akhirnya berjaya membuahkan hasil apabila Badrol Bakhtiar berjaya menjaringkan gol menerusi sepakan penalti pada minit ke-39.

Namun kegembiraan penyokong Kedah tidak lama apabila corak permainan pasukan tuan rumah mula goyah pada babak kedua perlawanan.

Akibatnya Kelantan berjaya menyamakan kedudukan menerusi Mohd Nor Farhan pada minit ke-61 sebelum Khalid Jamlus memastikan pelawat pulang dengan tiga mata penuh menerusi gol pada tiga minit terakhir perlawanan.

''Kita sepatutnya boleh mendahului Kelantan dengan dua atau tiga gol pada babak pertama kerana aksi cemerlang yang ditunjukkan pemain. Namun semuanya tidak berhasil kerana ada pemain yang gopoh untuk menjaringkan gol,'' ujarnya semalam.

Saturday, April 4, 2009

"Padi" kene gomoi rusa


Aku telah merencanakan utk menyaksikan pertembungan Kedah VS Kelantan di stadium darulaman mlm nie..tapi atas sebab2 yg xdpt dielakan maka terpaksa la aku mengikuti siaran secara langsung dr KedahFM.

Sebenarnya aku dlm perjalanan dr Sintuk ke Sungai Petani dan aku melalui Bandar Alor Setar lebih kurang pukul 7.00pm...keadaan cuaca pada masa tue hujan yg boleh dikatakan lebat..oleh itu aku dah boleh agak padang kat stadium sure basah..dalam palaotak aku dok pikir kata perlawanan pada mlm nie di "Darulaman"x menjanjikan perlawan yg menarik atas sebab padang basah dan licin..

2 hari sebelum berlangsungnya perlawanan Kedah VS Kelantan aku ada sembang2 dengan kawan aku yg mmg kaki bola...asal kami dua jumpa ja musti sembang psl bole..kalau bukan team Kedah musti team luar..apatahlagi kali EPL..dia nie "org" MU...aku Liverpool..aku ada kata pada dia yg aku nk p stadium nk tgk"hebat" sangatkah team Kelantan tahun nie.....bukan apa sejak depa jadi antara pasukan terhebat Liga Premier tahun lepas dan tahun nie yg dibarisi org ramai pemain yg berpengalaman seperti indra dn khalid jamlus... xpenah aku aku tgk team depa nie beraksi live...

Dalam analisa aku tentang kekalahan Kedah ditangan "Wira Merah"pd mlm nie....masih lagi berkisar tentang kelemahan dan ketumpulan penyudah dikalangan penyerang Kedah...mlm nie Azrai letak Faizal abu bakar n Farizal Rozali sbg penyerang kembar dan khairil diposis asalnya iaitu sayap kiri dan badrol di sblh kanan...

Mlm nie dr awal tiupan wisel permulaan..Kedah mmg diakui byk melakukan serangan2 keatas kubu Kelantan yg diterajui gol keeper pengalaman dan tertua di dlm Liga Msia iaitu Halim Napi..namun begitu Kedah hanya berjaya mendapatkan gol 'sagu hati' di akhir2 babak separuh masa pertama..setelah Daud Su pertahanan Kelantan menjatuhkan Shahrul Nizam didlm kotak penalti...bayangkan punya la banyak serangan tup2 just dpt gol melalui penalti ja..tumpul bebenor..

Sepanjang separuh masa pertama aku dpt dengar yg "Pak Long" agak teruk juga dilenyek dgn pemain2 Kelantan oleh kerana dia amat bekerja keras memastikan ruang tengah padang dpt dimonopli oleh pasukan Kedah..

Akibat dr kesan "lenyekan" yg dikenakan oleh geng "Gomo" keatas "Pak Long"....mula la terbit sikit2 penguasaan ruang tengah oleh para pejuang "Gomo" di akhir separuh masa pertama.. namun begitu maybe Azrai belum nmpk apa yg berlaku itu akan memaksa pejuang Kedah beraksi "Lesu" pada separuh masa kedua..

Kalau xsilap aku...selepas 15 minit pertama separuh masa kedua Peter Buttler telah memasukan Che Hishammudin "ayam katik terbilang" pasukan "Gomo" untuk memantopkan lagi bahagian tengah Kelantan yg sekaligus menyaksikan Kelantan mendapat 2 gol dan seterusnya memenangi perlawan pd mlm nie...

Selepas kena 2 gol baru la "keta kebai" Kedah masuk menggantikan "Pak Long"..namun begitu sudah terlambat..motivasi pejuang Kedah mula merosot selepas 2 gol dr kelantan..
Lesu sekali persembahan dibabak separuh masa kedua oleh pejuang Kedah...Lesu dan layu bak daun padi ditimpa hujan "merah" di darulaman...

Namun begitu semangat aku utk terus menyokong pasukan Hijau Kuning masih membara...lupakan kekalahan mlm nie secepat yg mungkin.kembalikan motivasi diri yg jitu..Argentina pon kena 6-1 dgn Bolivia...MU pon kena 4-1 dgn Liverpool..biasa la suma tue...roda kehidupan..

Perjalanan Liga Super masih panjang....usah risau....utk menjadi pasukan hebat mestilah melalui banyak ujian....sebelum layak digelar "terhebat"....anggaplah kekalahn ini sebagai ubat...renungkan kata2 Fadzilah Kamsah.."Ubat utk org tua mesti la pahit...Ubat utk budak2 semuanya manis.."..pasukan kita bukan budak2 lagi...selangkah lagi ja utk menggegarkan Asia Tenggara utk menjadi antara kelab terbaik Asia Tenggara....

Kedah tumbang di Darul Aman

HASRAT Kedah untuk mencatat kemenangan ketujuh dalam kempen Liga Super tidak kesampaian apabila tewas 1-2 kepada Kelantan pada aksi di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam tadi.

Terdahulu, keadaan hujan renyai sebelum perlawanan berlangsung tidak menghalang kira-kira 30,000 penyokong skuad Kenari untuk membanjiri stadium.

Daripada jumlah itu, hampir 100 penyokong Kelantan turut berada di ruang stadium terbabit untuk memberi sokongan kepada wira mereka.

Kedah dilihat lebih menyegat mengatur serangan sejak wisel permulaan ditiupkan pengadil perlawanan, Ibrahim Mohd.

Tuan rumah hampir membuka jaringan pada minit ke-22, namun pertembungan satu lawan satu antara Badrol Bakhtiar dengan penjaga gol Kelantan, Mohd. Halim Napi gagal membuahkan hasil.

Kelantan yang dibarisi pemain berpengalaman juga tidak kurang hebatnya apabila mengatur serangan balas bagi menguji kemampuan penjaga gol Kedah, Helmi Eliza Elias.

Hasil usaha keras pemain muda Kedah akhirnya berbalas apabila Badrol Bakhtiar menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-39.

Bersambung babak kedua, semangat juang pemain Kedah ternyata masih belum luntur apabila gawang Kelantan masih dihujani percubaan merbahaya penyerang tuan rumah.

Enggan menyerah kalah dengan mudah, Kelantan bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-61 menerusi Mohd. Nor Farhan.

Empat minit berselang, Kelantan sekali lagi membolosi gawang Kedah menerusi jaringan bekas penyerang kebangsaan. Khalid Jamlus.

Usaha Kedah untuk menyamakan kedudukan bagaimanapun tidak kesampaian apabila keputusan itu kekal hingga tamat perlawanan-KOSMO!

Friday, April 3, 2009

Kedah berdepan tugasan getir

oleh SHARIZA ABDULLAH
utusankedah@utusan.com.my
ALOR SETAR - Setelah menundukkan kesemua enam lawannya secara berturut-turut, penyandang juara Liga Super, Kedah, dijangka berdepan tugas getir untuk meneruskan rentak kemenangan apabila melayan kunjungan Kelantan di Stadium Darul Aman malam ini.

Pertembungan yang diibaratkan buku bertemu ruas itu paling menarik untuk disaksikan kerana ia melibatkan dua pasukan daripada top five yang hanya dibezakan dua mata di tangga ketiga dan kelima liga.

Jika menang, Kedah akan menghuni zon selesa dengan sekurang-kurangnya naik satu tangga ke kedudukan keempat, sekali gus mencerahkan peluang untuk mempertahankan gelaran juara Liga Super yang disandangnya sejak dua musim lalu.

Kelantan yang beraksi hambar pada perlawanan terakhirnya sehingga mengakibatkan kekecohan penonton pula perlu menang bagi mengembalikan reputasi mereka sebagai pasukan pilihan musim ini, selain mengintai posisi teraju liga seandainya Perlis dan Selangor tumpas malam ini.

Ketua jurulatih Kedah, Mohd. Azraai Khor Abdullah mengakui skuadnya bakal mengharungi tempoh 90 minit perlawanan yang sukar menentang pasukan dari Timur tanah air itu, tetapi tetap optimis untuk melakar kemenangan ketujuh berturut-turut.

"Selepas membawa pulang tiga mata dari Pahang Selasa lalu, saya melihat pemain-pemain Kedah semakin yakin dan bersemangat.

"Kami mempunyai peluang yang sama rata untuk menang dan akan menggunakan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri untuk berusaha meraih mata penuh," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Mohd. Azraai yang bebas menurunkan mana-mana pemainnya malam ini bagaimanapun memberi amaran terutama kepada barisan pertahanannya agar tidak hilang fokus sewaktu mengekang asakan Sang Kijang.

Ini kerana, menurutnya, Kelantan memiliki peledak-peledak gol yang hebat dengan menjaringkan 26 gol daripada 10 perlawanan Liga Super.

"Barisan pertahanan Kedah tidak boleh leka dan perlu berkerja lebih keras daripada biasa kerana penyerang Kelantan berupaya menghukum mana-mana lawan jika mereka alpa," katanya.

Kedah Mahu jadikan kelantan mangsa


SKUAD Hijau Kuning mahu menjadikan Kelantan sebagai mangsa mereka seterusnya dalam usaha melonjak ke kelompok tiga pasukan teratas Liga Super apabila bertemu di Stadium Darulaman, Alor Setar, malam ini.

Jurulatih Kedah, Mohd Azraai Khor Abdullah berkata, kemenangan ke atas Kelantan pasti memudahkan sedikit tugas mereka untuk berada dalam kelompok utama selepas sekadar menghuni tangga kelima dengan 19 mata, dua mata di belakang Red Warriors yang berada di tempat ketiga.

“Kemenangan mengatasi Pahang 4-2 di Kuantan, Selasa lalu, berjaya menyuntik semangat dan keyakinan baru kepada barisan saya dan permainan mereka juga sudah bertambah mantap berbanding pada awal musim ini.

“Saya sudah berbincang dengan pemain dan mereka sedar betapa pentingnya bagi kami mengutip mata penuh pada perlawanan esok (malam ini) kerana ini akan menentukan arah tuju pasukan pada akhir musim ini.

“Berita yang menggembirakan saya sudah pasti keyakinan pemain muda Faizal Abu Bakar menemui sentuhan penyudah pada beberapa perlawanan lalu yang sudah memastikan kami meraih enam kemenangan berturut-turut sebelum ini,” kata Azraai.
BERITA HARIAN (4 April)

Sang Kenari Enggan Tertekan


KEDAH tidak mahu memberi tekanan kepada pemainnya apabila skuad Hijau Kuning itu menghadapi Kelantan dalam saingan Liga Super di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam ini.

Mereka akan turun seperti biasa dengan mengekalkan momentum kemenangan seperti mana yang dipamerkan sebelum ini.

Begitu komen penolong pengurus pasukan Kedah, Syed Khairol Anuar Syed Abidin yang tidak mahu barisan pemain skuad Kenari tertekan untuk mencapai kemenangan.

Katanya, kekuatan kedua-dua pasukan dilihat seimbang dan peluang untuk meraih tiga mata penuh juga terbuka.

"Tetapi Kedah mempunyai kelebihan apabila pemain mula menunjukkan peningkatan prestasi serta keberkesanan jentera peng- gempur dalam beberapa perlawanan sebelum ini.

"Kami mempunyai pemain muda dan berpengalaman dan itu adalah kelebihan yang ada untuk menyekat hasrat Kelantan," katanya kepada Kosmo! semalam.

Jelasnya, walaupun menyedari perlawanan tersebut agak sukar tetapi sasaran mereka adalah untuk mendapatkan jaringan awal kerana ia akan membantu melonjakkan semangat pemain.

Syed Khairol juga berharap agar pemainnya tidak mudah leka dan mengambil mudah dengan pergerakan lawan kerana ia boleh memakan diri sendiri.

Tambahnya, para pemain harus menggandakan usaha kerana Kelantan yang dibarisi beberapa pemain berpengalaman pasti mahu bangkit bagi menebus kekalahan mereka kepada Negeri Sembilan sebelum ini.