Monday, November 30, 2009

Suku Akhir Piala Emas Raja-raja

inga Selatan rantai PDRM


ANTARA aksi menarik pada perlawanan suku akhir pertama antara PDRM (jersi biru) dengan Singapura di padang Pulapol petang semalam.





POLIS Diraja Malaysia (PDRM) gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri setelah seri 1-1 dengan Singapura di Padang Pulapol, Jalan Semarak pada saingan suku akhir pertama Puncak Piala Emas Raja-Raja 2009 petang semalam.

Malah PDRM gagal menggunakan kelebihan berdepan lawan yang beraksi hanya sembilan pemain pada 20 minit terakhir perlawanan.

Biarpun PDRM memperagakan corak permainan kemas yang diterajui pemain Liga Super yang bertindak selaku kapten pasukan, Mohd. Fauzi Abdul Majid, namun ketumpulan jentera serangan menyaksikan beberapa peluang awal berakhir begitu sahaja.

Manakala Singapura yang diperkuatkan enam bekas pemain kebangsaan, Rafi Ali, Nazri Nazir, Mohd Mardani, Dalis Supait, Ali Imran Omar dan Nahar Daud, dilihat menggunakan taktik serangan balas pantas bagi memecah benteng kebal PDRM.

Bagaimanapun pada minit ke-36, penjaga gol Singapura, Riduan Barudin dilayangkan kad merah oleh pengadil Mohd. Yusof Mohd. Karim setelah mengasari penyerang PD- RM, Mohd. Ariff Azhar.

Sungguhpun beraksi dengan 10 pemain, rentak permainan Singapura masih mampu menggugat benteng pertahanan PDRM.

Akhirnya pada minit ke-45, berpunca daripada gerakan sebelah kiri di luar kawasan penalti PDRM, Nazri Nasir melepaskan rembatan kencang yang gagal diselamatkan oleh penjaga gol PDRM, Nur Hisham Hashim.

Tempo PDRM semakin kemas pada separuh masa kedua dan hasil- nya pada minit ke-58, Khairul Izuan Abdullah menjaringkan gol penyamaan PDRM.

Pertemuan suku akhir kedua di antara kedua-dua pasukan akan berlangsung pada Sabtu ini di Stadium Jalan Besar, Singapura.

Sementara itu, di Stadium Utama Negeri, Kangar petang semalam, Perlis turut gagal menggunakan kelebihan di gelanggang sendiri setelah seri 2-2 dengan ATM.

Perlis mendahului 2-0 melalui dua jaringan Mohd Faiz Subri pada minit ke-20 dan 59.

ATM merapatkan kedudukan pada minit ke-72 hasil jaringan sendiri Somchat Narong sebelum Badrol Hisham Sopian menyamakan kedudukan buat ATM pada minit ke-76.

Di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu malam tadi pula, Kelantan dan Kedah terikat tanpa jaringan pada aksi yang berlangsung di atas padang licin dan hujan renyai-renyai.

Kelantan memiliki beberapa peluang terbaik terutama menerusi penyerang utama mereka, Azlan Ismail tetapi gawang Kedah tetap gagal dibolosi sehingga tamat perlawanan.

Manakala di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin malam tadi, Johor mendapat bekalan selesa apabila berjaya menewaskan Kuala Lumpur 3-1.

Sunday, November 29, 2009

Kenari Bangkit

ALOR SETAR- Skuad Kenari mengadakan latihan bagi memperlengkapkan diri pemain dengan teknik sepakan yang betul bagi memastikan kejuaraan Liga Malaysia musim depan adalah milik Kedah.

Ketua Pasukan Bola sepak Kedah, Victor Andrag berkata, pasukan ini telah memulakan latihan sejak tiga bulan yang lalu iaitu enam hari seminggu dengan menekankan aspek stamina dan fizikal.

Menurutnya, latihan yang dijalankan itu juga adalah latihan yang biasa dijalankan sebelum ini namun aspek tersebut amat ditekankan oleh jurulatih pasukan, Ahmad Yusof agar pemain dapat mengekalkan stamina dalam diri mereka.

“Latihan yang dijalankan sama seperti sebelum ini namun kedua aspek itu lebih ditekankan setiap kali latihan kerana stamina dan fizikal amatlah penting bagi memastikan pemain tidak akan hilang fokus sewaktu beraksi nanti.

“Walaupun latihan kali ini dijalankan bersama jurulatih baru namun semua pemain tidak mempunyai masalah dengan latihan yang diberikan oleh beliau,” katanya.

Victor berkata, pasukan Kedah juga tidak ada masalah sewaktu menjalani latihan bersama jurulatih baru kerana latihan yang dijalankan masih lagi sama dengan latihan yang dijalankan oleh jurulatih terdahulu, Mohd Azraai Khor Abdullah.

Sementara itu, beliau berkata, pasukan Kedah yang baru memenangi anugerah Pasukan Legenda Negeri Kedah pada majlis Malam Persatuan Bola sepak Kedah (KFA) telah memberikan satu suntikan baru kepada pasukan itu.

Victor berkata, anugerah yang diperoleh oleh pasukan itu merupakan hasil kemenangan yang diperoleh pada 2007 dan 2008 itu juga mampu meningkatkan semangat pasukan itu menjuarai Liga Malaysia musim depan.

Monday, November 2, 2009

Saya sudah sedia kemudi Kedah - Ahmad Yusof

ALOR SETAR - Teka teki mengenai siapa yang bakal mengemudi skuad bola sepak Kedah akhirnya terjawab apabila bekas jurulatih Pahang, Ahmad Yusof secara rasmi dilantik sebagai ketua jurulatih yang baru berkuat kuasa semalam.

Jurulatih berusia 49 tahun itu mengikat kontrak selama setahun bersama Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) bagi menggantikan Mohd. Azraai Khor Abdullah yang meninggalkan Sang Kenari untuk membimbing pasukan Harimau Muda mengharungi saingan Liga Malaysia musim depan.

Meskipun menyedari berdepan dengan tugas berat, namun Ahmad menyatakan dia sudah sedia sepenuhnya mengambil alih jawatan itu daripada Mohd. Azraai di sebalik harapan menggunung yang disandarkan terhadapnya.

Katanya, dia menyasarkan untuk membantu Kedah mengulangi kejayaan gemilang memenangi tiga piala seperti yang dikecapi pada musim 2007 dan 2008.

"Apabila bersetuju menerima tugas ini, saya tahu tiada pilihan lain kecuali memberi yang terbaik untuk membimbing sebuah pasukan elit seperti Kedah.

"Dengan barisan pemain dan kerjasama daripada pihak pengurusan serta penolong-penolong jurulatih, insya-Allah Kedah akan kembali pada landasan yang diharapkan," katanya pada majlis menandatangangi kontrak bersama KFA di sini semalam.

Hadir pada majlis itu ialah Timbalan Presiden KFA, Datuk Paduka Syed Unan Mashri Syed Abdullah; Setiausaha Kehormat KFA, Dr. Hamdan Mohamed Khalib dan pengurus pasukan, Datuk Khazali Din.

Pada majlis itu, KFA turut mengumumkan pengguguran lima pemain daripada skuad Hijau Kuning pada musim depan iaitu Rafiz Abu Bakar; Mohd. Afif Amiruddin; Mohd. Azrul Ahmad; Manopasak Kram dan Mohd. Nazmi Baharom.

Mengenai kemasukan pemain baru, Ahmad yang pernah menjadi ketua pasukan kebangsaan pada sekitar tahun 90-an berkata, keutamaan ialah untuk mencari penyerang bagi mempertajamkan sentuhan penyudah skuad Sang Kenari.

Dalam pada itu, Syed Unan berkata, pemilihan Ahmad sebagai jurulatih dibuat selepas namanya dicadangkan oleh pengurus dan penolong jurulatih Kedah yang percaya dia calon terbaik untuk mengisi jawatan tersebut.

Ditanya tempoh kontrak selama setahun yang mungkin tidak cukup bagi Ahmad membentuk pasukan, beliau berkata, KFA akan menilai prestasi ketua jurulatih baru itu daripada segenap sudut sebelum mempertimbangkan keputusan seterusnya pada akhir musim.

Mengenai KFA kemungkinan akan melantik seorang penasihat bagi memantapkan pengurusan pasukan Kedah, Syed Unan berkata, persatuan itu belum membuat keputusan terhadap cadangan berkenaan.

UTUSAN MALAYSIA 3 November 2009