Sunday, January 31, 2010

Sesi pemilihan skuad bola sepak

ALOR SETAR 31 Jan. - Pemain bola sepak di negeri ini yang berumur bawah 25 tahun dipelawa mengikuti sesi pemilihan skuad Piala Emas Raja-Raja 2010 yang akan diadakan di seluruh Kedah bermula 5 hingga 20 Februari ini.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan Persatuan Bola Sepak Melayu Kedah (PBSMK), panel pemilihan pemain tersebut diketuai oleh ketua jurulatih, Mohamad Ramli dan akan dibantu oleh bekas pemain skuad utama negeri Kedah iaitu Manja Man, Hussin Jaafar dan Idris Man.

Pemilihan pemain yang diadakan itu untuk membolehkan Kedah dibarisi pemain lebih mantap dalam menghadapi Kejohanan Bola Sepak Piala Emas Raja-Raja 2010.

PBSMK menetapkan pukul 3 petang untuk pemain melaporkan diri bagi sesi pemilihan yang akan diadakan pada tarikh dan di padang seperti berikut:

* Langkawi (5 Februari), Padang Bola Sepak Ulu Melaka

* Kulim/Bandar Baharu (12 Februari), Padang Sekolah Menengah Kebangsaan Panglima Besar, Kulim

* Kuala Muda/Baling (13 Februari), Padang Kelab Sukan HICOM

* Sik/Pendang/Yan (18 Februari), Kompleks Sukan Guar Chempedak

* Kubang Pasu/Padang Terap (19 Februari), Stadium Mini Jitra

* Kota Setar/Pokok Sena (20 Februari) Kompleks Sukan Hijau Kuning Mu'adzam Shah

Untuk keterangan lanjut, mereka yang berminat boleh menghubungi Pegawai Pembangunan PBSMK, Muhamad Shakri Mat (019-4724112) atau Setiausaha Kehormat PBSMK, Syed ahmad Syukri (019-4278787) atau ketua jurulatih, Mohamad (012-5618928).

Kedah temui rentak


ALOR SETAR - Kemenangan pertama Kedah di Stadium Darul Aman ke atas T-Team pada perlawanan Liga Super kelmarin, melegakan kem 'Sang Kenari' yang sebelum ini begitu terdesak meraih mata penuh di hadapan penonton sendiri.

Kemenangan itu bukan sahaja meletakkan skuad Hijau Kuning di tangga ketiga liga, dengan hanya dipisahkan tiga mata dengan pendahulu liga, Selangor, bahkan ia memberi petanda bahawa Kedah kini mula menemui rentak permainannya.

Lebih bererti, kemenangan sulung selepas empat perlawanan di gelanggang sendiri itu, dilihat mampu menarik semula kehadiran penonton ke stadium, selain melonjakkan semangat Sang Kenari untuk mengulangi pencapaian juara treble.

Ketua jurulatih Kedah, Ahmad Yusof berkata, kemenangan yang diraih ke atas pasukan kelab dari Terengganu itu, amat dinanti-nantikan oleh pengurusan, barisan kejurulatihan, pemain dan penyokong Sang Kenari.

Katanya, ia memberi satu kelegaan dan perangsang kepada pasukan untuk meningkatkan prestasi dalam usaha memburu kejuaraan pada musim ini.

"Ini satu keputusan yang amat ditunggu-tunggu kerana Kedah akhirnya dapat meraih tiga mata penuh di gelanggang sendiri selepas empat perlawanan.

"Bagaimanapun kami sedar tidak boleh lalai memandangkan perjalanan liga masih panjang.

''Kedah akan terus berusaha memperbaiki kelemahan dan cuba meningkatkan permainan dari satu perlawanan ke satu perlawanan," katanya ketika dihubungi semalam.

Pada perlawanan di Stadium Darul Aman kelmarin, Kedah menundukkan T-Team 3-1, menerusi dua jaringan Azlan Ismail pada minit ke-25 dan ke-58, selain Faizal Abu Bakar (ke-16).

Ahmad berkata, pasukan bimbingannya itu kini berada pada landasan yang betul untuk mencabar kejuaraan Liga Super musim ini.

Apa yang perlu dipastikan, katanya, ialah tidak terkeluar dari landasan kejuaraan dengan berusaha memberikan persembahan yang terbaik dalam setiap perlawanan.

"Kami juga masih menanti kehadiran semula tiga tonggak yang masih dibelenggu kecederaan iaitu Ahmad Fauzi Shaari, Victor Andrag dan Khyril Muhymeen Zambri.

''Kehadiran mereka akan memberi lebih banyak pilihan kepada pasukan," katanya.