Sunday, March 8, 2009

Sang Kenari sudah hilang sengat?

SEBELUM ini, Kedah cukup digeruni.
Apa tidaknya, Kedah berjaya muncul juara treble bagi dua musim berturut-turut (2007 dan 2008) dengan menjuarai Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.

Malah kecemerlangan Kedah juga menimbulkan kerisauan setiap pasukan lawan yang akan bertembung dengan skuad Kenari itu.

Lebih menggerunkan lawan ialah kelibat tiga awang importnya iaitu Marlon Alex James, Cornellius Bernard Hugging dan Nelson Sam Martin.

Tatkala Marlon cukup berbisa di jentera serangan, Nelson pula cukup kreatif di bahagian tengah manakala Bernard Hugging kental di posisi pertahanan.

Tidak cukup dengan itu, kelibat bintang muda berkaliber seperti Khyril Muhymeen Zambri, Badrol Bakhtiar dan Mohd. Fadly Baharom menambah lagi sengat Sang Kenari.

Begitupun segala-galanya berubah mulai musim ini apabila Kedah terpaksa melepaskan ketiga-tiga importnya.

Ia sebagai mengikut arahan yang ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk tidak lagi membenarkan khidmat pemain import.

Tidak sempat mengesat 'air mata' kerana terpaksa melepaskan importnya, Kedah memulakan saingan musim ini dengan rentak sumbang.

Skuad kendalian Mohd. Azraai Khor Abdullah itu dikejutkan dengan beberapa kekalahan sehingga menyaksikan juara Liga Super itu berada di kedudukan bawahan carta liga pada suatu ketika.

Gelaran juara Piala FA yang mahu dikekalkan juga sudah 'melayang' apabila ditunjuk jalan keluar oleh pasukan berstatus kelab, UPB-MyTeam pada pusingan kedua baru-baru ini.

Kejatuhan Kedah mendapat reaksi pelbagai pihak sehingga ada yang mendakwa skuad Hijau Kuning itu hanya gah apabila memiliki pemain import.

Namun, ada yang mendakwa masalah dalaman yang dialami Kedah musim ini turut menyumbang kepada kejatuhan mereka.

Apakah yang sebenarnya berlaku pada Kedah yang mencatat sejarah sebagai pasukan pertama di negara ini yang berjaya layak ke pusingan kedua Piala AFC tahun lalu.

Pastinya, individu yang paling layak memberikan jawapan kepada segala persoalan ini ialah Azraai.

Tanpa berselindung, Azraai yang membimbing Kedah sejak tahun 2004 memberitahu, kejatuhan pasukannya musim ini disebabkan ketiadaan 'kaki penyudah'.

"Berdasarkan statistik yang dibuat dalam satu perlawanan liga, pemain Kedah pernah membuat cubaan tepat ke arah gol sebanyak 24 kali tetapi masih gagal mendapatkan jaringan," akui Azraai kepada Kosmo! Ahad baru-baru ini.

Jelasnya, kehadiran dua penyerang baru dari Pulau Pinang, Mohd. Farizal Rozali dan Mohd. Azrul Ahmad dilihat masih belum menampakkan hasil.
"Pelaburan itu (mendapatkan pemain baru) nampak tidak mendatangkan keuntungan apabila Azrul tidak dapat menjalankan tanggungjawabnya untuk menjaringkan gol.

"Tempoh percubaan yang diberikan kepada pemain itu juga telah dipanjangkan namun keadaan masih sama sehingga kami terpaksa melepaskan gelaran juara Piala FA," tambah Azraai.

Menurutnya, Azrul yang digandingkan bersama Khyril telah melepaskan banyak peluang di hadapan gol sehingga mengundang padah buat pasukan.

Jelasnya, 'penyakit' yang dialami Azrul pula mungkin akibat tekanan yang terpaksa diterima apabila beraksi di hadapan ribuan penyokong.

Lebih memeningkan Azraai apabila Farizal pula mengalami keretakan tulang di bahagian buku lali.

"Agak malang bagi kita apabila Farizal mengalami kecederaan dan ini sudah pasti merencatkan pasukan bagi menghadapi perlawanan penting.

"Bagaimanapun, saya gembira apabila melihat prestasi pemain muda, Faizal Abu Bakar mula memperlihatkan kematangannya dalam permainan.

"Apa yang saya dapat lihat dia mempunyai skil dan 'ringan tulang' dan ini satu petanda baik untuk pasukan Kedah," ujarnya.

Azraai turut mengakui, ketiadaan Marlon yang menjadi 'mesin gol' Kedah sebelum ini telah memberikan impak kepada barisannya.

"Namun, perkara itu tidak boleh menjadi ukuran kerana Fadly yang bermain di bahagian sayap kiri juga pernah muncul sebagai penjaring terbanyak dalam saingan Piala Malaysia tahun lalu," katanya.

Selain Azrul, Farizal, Khyril dan Faizal, Kedah memiliki dua lagi penyerang iaitu Samransak Kram, Muhammad Shafiq Jamal.

Mengenai persiapan menghadapi kempen Piala AFC, Azraai menjelaskan, ketiadaan pemain import sedikit sebanyak bakal memberi impak kepada pasukannya.

Kedah dijadualkan menentang kelab Vietnam, Hanoi ACB di Stadium Hang Day, Hanoi, Selasa ini.

"Saya masih yakin barisan pemain yang akan diturunkan nanti dapat melakukan sesuatu dan membawa pulang tiga mata penuh," katanya lagi.

No comments:

Post a Comment