Tuesday, December 7, 2010

Kedah buat persiapan rasmi untuk final Piala Emas Raja-raja


Pemain Kedah Wan Mohd Assraf (kiri) diasak pemain Johor dalam perlawanan bola sepak Piala Emas Raja-Raja di Stadium Darul Aman Alor Setar, kelmarin.

ALOR SETAR - Impian Kedah terlaksana untuk ke final bola sepak Piala Emas Raja-Raja telah terlaksana walaupun mencatat keputusan tanpa jaringan dengan Johor pada separuh akhir kedua di Stadium Darulaman di sini kelmarin, namun bagi jurulatih Mohamad Ramli, banyak 'kerja' perlu dibuat apatah lagi menentang Kelantan.

Menurut jurulatih itu, kelayakan menerusi agregat 3-1 selepas mencatat kemenangan pada separuh akhir pertama melegakan skuad Kedah selepas aksi semalam kurang memberangsangkan dalam keadaan padang yang licin akibat hujan.

"Saya lega kerana kami (Kedah) berupaya mencapai kelebihan dua gol di tempat lawan pada separuh akhir pertama dan permainan peringkat kedua tentulah berpihak kepada kami," kata beliau selepas tamat perlawanan separuh akhir kedua di Stadium Darulaman.

Katanya, ini kerana banyak kelemahan perlu diperbaiki berdasarkan aksi separuh akhir kedua itu terutama di barisan serangan yang gagal memanfaatkan peluang terhidang sehingga gagal memperoleh jaringan.

"Apatah lagi menentang pasukan kuat seperti Kelantan, mereka (Kelantan) mempunyai pemain muda yang berwibawa dan pantas... Jadi kami kena lakukan sesuatu sebelum aksi final bermula," tambahnya.

Kata Mohamad, Kedah bakal kehilangan khidmat penyerang Hattaphon Bun Ann yang menerima dua kad kuning bagi menghadapi saingan akhir nanti.

"Bagaimanapun, hanya Hattaphon yang tidak dapat beraksi sedangkan barisan utama lain dapat diturunkan kerana tidak menghadapi masalah kad amaran dan kecederaan," katanya.

Menurutnya, Kedah boleh meraih kejuaraan Piala Emas Raja-Raja sekiranya pemain dapat memberi sepenuh tumpuan kepada aksi di tengah padang tanpa menghiraukan tekanan yang mungkin cuba diserapkan penyokong.

"Saya harap pemain dapat mengurangkan kesilapan, memperbaikki kelemahan sebelum menghadapi Kelantan nanti," katanya.[Utusan Malaysia]