Tuesday, March 31, 2009

Penyerang jadi tumpuan Liga Super

KUALA LUMPUR - Sentuhan penyudah penyerang utama bakal menjadi tumpuan penting lima pasukan teratas khususnya Selangor dan Kelantan yang saling bersaing merebut kembali teraju persaingan bola sepak Liga Super 2009, malam ini.

Jika Safee Sali masih serba tidak menjadi, kelemahan itu mampu ditampung Amri Yahyah, Rudie Ramli dan R. Surendren mahupun pemain bawah 20 tahun pasukan itu manakala Kelantan perlu lebih bimbangkan ketidakseimbangan pasukan biarpun berjaya mengumpul 25 gol setelah dibolosi 17 kali.

Anak buah Peter James Butler hanya mampu terus mengekori teraju liga selagi tidak memperbaiki barisan bentengnya yang dikemudikan bekas pemain belia negara dan Perak, Ahmad Azlan Zainal dan sikap penjaga gol veteran, Halim Napi yang mudah hilang tumpuan serta panas baran.

Malah Wira Merah yang memiliki jentera serangan berbisa dengan Indra Putra Mahayuddin, Khalid Jamlus, Nor Farhan Muhammad dan Badhri Radzi menghadapi pertemuan buku dengan ruas apabila melayani Negeri Sembilan di Kota Bharu.

Si Rusa yang diterajui Wan Jamak Wan Hassan mengatasi kekurangan Kelantan kerana setakat ini menjadi pasukan yang terendah melepaskan gol (enam gol) sekali gus menggambarkan kemantapan penjaga golnya, Farizal Harun dan bek tengahnya, Aidil Zafuan Radzak.

Gandingan muda dan berpengalaman seperti Zaquan Adha Radzak, Shahurain Abu Samah, S. Kunanlan dengan Shukor Adan, Rezal Zambery Yahya dan Idris Karim menjanjikan laluan yang perit untuk Kelantan mempertahankan rekod tanpa kalahnya di kubu sendiri.

Sebaliknya Gergasi Merah bertandang ke Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin untuk menentang Terengganu dengan barisan mantap kecuali sayap kanannya, Amirulhadi Zainal yang kini cedera lutut kanan.

Pengurus pasukan Selangor, Zakaria Ab. Rahim berkata: "Kemarau gol Safee bukan bererti dia kurang menyengat lagi tetapi memang sukar bagi mana-mana penyerang pun jika lawan meletakkan sehingga dua pemain untuk mengekangnya sepanjang masa.

"Namun Selangor mempunyai hampir kesemua pemain yang boleh menjaringkan gol termasuk pemain belia. Kami tidak akan hanya bergantung kepada Safee apatah lagi Zaiza Zainal Abidin (bek tengah) sudah dilatih sebagai penyerang sejak pulih daripada kecederaan," katanya.

Perlis yang cuba mengintai untuk menyelinap terus ke teraju liga sekiranya Selangor dan Kelantan dapat dikekang walau satu mata pun, malam ini, bertembung KM Naza di Alor Setar dengan mengusung masalah ketumpulan penyerang utamanya, Nizaruddin Yusof.

Gandingan pendahulu senarai penjaring Liga Super ini dengan penyerang muda, Ahmad Fakri Saarani masih tidak melegakan jurulatih Singa Utara, Irfan Bakti Abu Salim.

"Sudah tiga perlawanan Nizaruddin gagal menjaringkan gol. Ia membimbangkan saya," katanya.

Kedah yang secara beransur-ansur bangkit dari kelompok bawahan, turut bimbang dengan sentuhan penyerangnya, Khyril Muhymeen Zambri dan Azrul Ahmad.

UTUSAN MALAYSIA

Monday, March 23, 2009

Disiplin penyokong Kedah tercorot di ASIA

ALOR SETAR - Disiplin dan tingkah laku penyokong pasukan bola sepak Kedah adalah yang tercorot berbanding negara lain di Asia.

Pegawai Media Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Mohd Fakhri Ahmad berkata, walaupun permainan pasukan bola sepak dan pemainnya bagus dalam perlawanan, tetapi sikap penyokong setiap kali berlangsungnya satu perlawanan adalah yang paling teruk sekali.

Menurutnya, KFA terpaksa menanggung kerugian akibat perbuatan tidak berdisiplin penyokong apabila ada diantara mereka membaling mercun dan sebagainya ketika perlawanan berlangsung.

“Setiap balingan mercun yang dilontarkan, pihak KFA terpaksa membayar saman sebanyak USD 5,000 (RM15,000) kepada Kelab Bola Sepak Asia (AFC) dan pada musim lepas, KFA menjelaskan saman sebanyak RM15,000 akibat perbuatan penyokong itu.

“KFA juga pernah menerima saman sehingga RM10,000 dan paling maksima hingga kini adalah sebanyak RM35,000. Ini adalah satu pembaziran,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, semalam.

Fakhri berkata, wang sebanyak itu tidak seharusnya dibazirkan semata-mata untuk menjelaskan saman yang dikenakan. Wang itu boleh digunakan untuk pembangunan sukan bola sepak negeri.

“Saya meminta kerjasama semua penyokong agar menjaga disiplin masing-masing semasa berlangsung perlawanan akan datang bagi mengelak kejadian sama berulang,” katanya.

Mengulas mengenai kutipan tiket, Fakhri berkata, kutipan tiket sekarang semakin menurun termasuk semasa perlawanan antara Chonburi FC dari Thailand menentang pasukan Kedah pada perlawanan Kumpulan G, Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2009, 17 Mac lalu.

Menurutnya, hal itu mungkin disebabkan prestasi pasukan bola sepak Kedah, walaupun pasukan kita menang dalam beberapa perlawanan, tetapi nasib tidak menyebelahi kita.

Friday, March 20, 2009

Tiket habis, tempat duduk masih banyak kosong


TIKET astaka utama Stadium Darul Aman, Alor Setar yang berharga RM15, dilaporkan habis dijual sebaik bermulanya perlawanan Piala AFC membabitkan Kedah menentang Chonburi FC, Selasa lalu.

Namun, apa yang menimbulkan tanda tanya ialah masih terdapat banyak ruang kosong di astaka utama stadium berkenaan yang turut memuatkan tempat duduk VVIP.

Cerita tiket habis dijual itu mungkin gah bunyinya, namun realitinya, penonton yang hadir ke Stadium Darul Aman pada malam berkenaan kurang daripada 10,000.

Difahamkan, Stadium Darul Aman mampu memuatkan 35,000 penonton pada satu-satu masa.

Seorang penyokong Kedah, Boon Sis mendakwa, bagi membolehkannya memasuki astaka utama, dia terpaksa membeli dua tiket iaitu berharga RM12 dan RM7.

"Saya terpaksa membeli dua tiket iaitu tiket berbumbung dengan harga RM12 dan tiket terbuka berharga RM7.

"Saya lakukan ini bagi memastikan nilainya lebih dan layak untuk saya masuk ke astaka utama kerana tiket asal astaka utama yang berharga RM15 telah habis dijual.

"Selepas dibenarkan masuk ke astaka utama kerana mempamerkan dua tiket itu, saya terkejut melihat tempat duduk yang banyak kosong," dakwanya ketika ditemui Kosmo! semalam.

Tambah Boon Sis, selain dia, terdapat beberapa penonton lain yang turut melakukan tindakan sepertinya kerana mahu bersama rakan lain berada di astaka utama.

Jelasnya, Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) sepatutnya menyediakan tiket yang secukupnya untuk perlawanan tersebut.

"Saya tidak faham kenapa keadaan seperti ini boleh berlaku. Adakah KFA tidak memaklumkan kapasiti astaka utama kepada AFC atau perlawanan yang dipertandingkan itu tidak berprestij untuk ditonton.

"Saya mohon kepada kedua-dua badan induk itu untuk tidak mengulangi masalah ini sehingga membebankan penonton pada perlawanan seterusnya," tegasnya lagi.

KOSMO 20 Mac 2009

Tuesday, March 17, 2009

PIALA AFC : Kedah gagal buat kejutan


ALOR SETAR - Hajat membuat kejutan di gelanggang sendiri gagal ditunaikan Kedah apabila tewas 0-1 kepada Chonburi FC dari Thailand pada perlawanan Kumpulan G, Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2009 di Stadium Darulaman, semalam.

Selepas tewas 1-3 kepada ACB Hanoi pada perlawanan terdahulu, Kedah yang cuba mencari kemenangan sulung beraksi garang pada awal permainan dengan mengatur beberapa asakan pantas tetapi dalam satu serangan balas pasukan pelawat, tuan rumah dikejutkan jaringan Kone Mohamed pada minit ke-33.

Dalam perlawanan semalam, sebaik pengadil dari China, Zhao Liang meniupkan wisel permulaan, Kedah tampak bersemangat mengatur asakan yang menyaksikan pada minit kedua, penyerang Badrol Bakhtiar memperoleh peluang keemasan tetapi rembatannya tersasar.

Ini membangkitkan semangat Kedah untuk meneruskan asakan tetapi kecetekan pengalaman beraksi di peringkat antarabangsa dan ketiadaan penyudah menghampakan penyokong tuan rumah walaupun beroleh kesempatan.

Bagaimanapun, perlawanan kembali seimbang dengan Chonburi FC pula mencemaskan benteng pertahanan Kedah, namun tuan rumah tanpa beberapa tonggak masih mampu mengekang asakan pelawat yang membariskan tujuh pemain kebangsaan dan pemain import.

Akhirnya dalam satu gerakan, penyerang Chonburi FC, Kone mudah memperdayakan pemain pertahanan, Victor Andrag sebelum menyepak masuk ke penjuru gawang yang gagal diselamatkan penjaga gol, Helmi Eliza Alias pada minit ke-33 untuk pasukan pelawat mendahului 1-0.

Walaupun ketinggalan, Kedah tetap bersemangat untuk mencari jaringan penyamaan pada babak kedua dengan menyaksikan Badrol sekali lagi mempunyai peluang untuk merembat ke dalam pintu gol Chonburi FC ketika penjaga gawang, Kosin Hathairattanakool terlajak ke depan.

Namun, sepakan Badrol ditampan pemain pertahanan, Surat Sukha untuk bola yang melantun kembali ke dalam dakapan Kosin pada minit ke-46.

Permainan kemudiannya kembali seimbang tetapi tuan rumah ternyata gagal menembusi benteng Chonburi FC untuk kedudukan kekal dengan pasukan pelawat memungut mata penuh di Stadium Darulaman.

Piala AFC: Kedah berdepan tugas berat

ALOR SETAR - Kedah dijangka berdepan tugas berat untuk meraih kemenangan pertama dalam Kejohanan Piala AFC 2009 apabila menerima kunjungan kelab bola sepak dari Thailand, Chonburi FC di Stadium Darul Aman malam ini.

Skuad bimbingan Mohd. Azraai Khor Abdullah itu bukan sahaja akan turun beraksi dalam keadaan tempang selepas kehilangan khidmat empat tonggaknya kerana kecederaan, tetapi bakal bertemu lawan yang lebih berpengalaman dan pernah bersaing dalam Liga Juara-Juara AFC.

Lebih memeritkan bagi Sang Kenari ialah pasukan Chonburi FC dibarisi oleh lapan pemain kebangsaan Thailand, tiga pemain import dan selebihnya pemain bawah 23 tahun negara itu.

Mohd. Azraai bagaimanapun tetap bersikap positif menjelang pertemuan berkenaan dengan menyifatkan pemain Hijau Kuning mampu mencipta kemenangan sekiranya kekal fokus dan memberi komitmen serta persembahan seratus peratus.

Katanya, meskipun tidak dapat menurunkan Ahmad Fauzi Shaari, Farizal Rozali, Fadly Baharom dan Saramsak Kram, namun Kedah tetap mencuba yang terbaik di hadapan penonton sendiri.

Kami memahami realiti akan berdepan dengan sebuah pasukan kelab bola sepak yang mantap. Tetapi pemain Kedah akan turun tanpa tekanan dan akan memberi persembahan terbaik.

"Selagi pengadil tidak meniupkan wisel penamat, selagi itulah barisan Kedah akan berjuang habis-habisan.

"Ini juga merupakan peluang bagi pemain Kedah untuk menentang pasukan yang tahapnya lebih tinggi," katanya kepada pemberita pada sidang media bersama ketua jurulatih Chonburi FC, Kiatisuk Senamuang di sini semalam.

Sunday, March 8, 2009

Sang Kenari sudah hilang sengat?

SEBELUM ini, Kedah cukup digeruni.
Apa tidaknya, Kedah berjaya muncul juara treble bagi dua musim berturut-turut (2007 dan 2008) dengan menjuarai Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.

Malah kecemerlangan Kedah juga menimbulkan kerisauan setiap pasukan lawan yang akan bertembung dengan skuad Kenari itu.

Lebih menggerunkan lawan ialah kelibat tiga awang importnya iaitu Marlon Alex James, Cornellius Bernard Hugging dan Nelson Sam Martin.

Tatkala Marlon cukup berbisa di jentera serangan, Nelson pula cukup kreatif di bahagian tengah manakala Bernard Hugging kental di posisi pertahanan.

Tidak cukup dengan itu, kelibat bintang muda berkaliber seperti Khyril Muhymeen Zambri, Badrol Bakhtiar dan Mohd. Fadly Baharom menambah lagi sengat Sang Kenari.

Begitupun segala-galanya berubah mulai musim ini apabila Kedah terpaksa melepaskan ketiga-tiga importnya.

Ia sebagai mengikut arahan yang ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk tidak lagi membenarkan khidmat pemain import.

Tidak sempat mengesat 'air mata' kerana terpaksa melepaskan importnya, Kedah memulakan saingan musim ini dengan rentak sumbang.

Skuad kendalian Mohd. Azraai Khor Abdullah itu dikejutkan dengan beberapa kekalahan sehingga menyaksikan juara Liga Super itu berada di kedudukan bawahan carta liga pada suatu ketika.

Gelaran juara Piala FA yang mahu dikekalkan juga sudah 'melayang' apabila ditunjuk jalan keluar oleh pasukan berstatus kelab, UPB-MyTeam pada pusingan kedua baru-baru ini.

Kejatuhan Kedah mendapat reaksi pelbagai pihak sehingga ada yang mendakwa skuad Hijau Kuning itu hanya gah apabila memiliki pemain import.

Namun, ada yang mendakwa masalah dalaman yang dialami Kedah musim ini turut menyumbang kepada kejatuhan mereka.

Apakah yang sebenarnya berlaku pada Kedah yang mencatat sejarah sebagai pasukan pertama di negara ini yang berjaya layak ke pusingan kedua Piala AFC tahun lalu.

Pastinya, individu yang paling layak memberikan jawapan kepada segala persoalan ini ialah Azraai.

Tanpa berselindung, Azraai yang membimbing Kedah sejak tahun 2004 memberitahu, kejatuhan pasukannya musim ini disebabkan ketiadaan 'kaki penyudah'.

"Berdasarkan statistik yang dibuat dalam satu perlawanan liga, pemain Kedah pernah membuat cubaan tepat ke arah gol sebanyak 24 kali tetapi masih gagal mendapatkan jaringan," akui Azraai kepada Kosmo! Ahad baru-baru ini.

Jelasnya, kehadiran dua penyerang baru dari Pulau Pinang, Mohd. Farizal Rozali dan Mohd. Azrul Ahmad dilihat masih belum menampakkan hasil.
"Pelaburan itu (mendapatkan pemain baru) nampak tidak mendatangkan keuntungan apabila Azrul tidak dapat menjalankan tanggungjawabnya untuk menjaringkan gol.

"Tempoh percubaan yang diberikan kepada pemain itu juga telah dipanjangkan namun keadaan masih sama sehingga kami terpaksa melepaskan gelaran juara Piala FA," tambah Azraai.

Menurutnya, Azrul yang digandingkan bersama Khyril telah melepaskan banyak peluang di hadapan gol sehingga mengundang padah buat pasukan.

Jelasnya, 'penyakit' yang dialami Azrul pula mungkin akibat tekanan yang terpaksa diterima apabila beraksi di hadapan ribuan penyokong.

Lebih memeningkan Azraai apabila Farizal pula mengalami keretakan tulang di bahagian buku lali.

"Agak malang bagi kita apabila Farizal mengalami kecederaan dan ini sudah pasti merencatkan pasukan bagi menghadapi perlawanan penting.

"Bagaimanapun, saya gembira apabila melihat prestasi pemain muda, Faizal Abu Bakar mula memperlihatkan kematangannya dalam permainan.

"Apa yang saya dapat lihat dia mempunyai skil dan 'ringan tulang' dan ini satu petanda baik untuk pasukan Kedah," ujarnya.

Azraai turut mengakui, ketiadaan Marlon yang menjadi 'mesin gol' Kedah sebelum ini telah memberikan impak kepada barisannya.

"Namun, perkara itu tidak boleh menjadi ukuran kerana Fadly yang bermain di bahagian sayap kiri juga pernah muncul sebagai penjaring terbanyak dalam saingan Piala Malaysia tahun lalu," katanya.

Selain Azrul, Farizal, Khyril dan Faizal, Kedah memiliki dua lagi penyerang iaitu Samransak Kram, Muhammad Shafiq Jamal.

Mengenai persiapan menghadapi kempen Piala AFC, Azraai menjelaskan, ketiadaan pemain import sedikit sebanyak bakal memberi impak kepada pasukannya.

Kedah dijadualkan menentang kelab Vietnam, Hanoi ACB di Stadium Hang Day, Hanoi, Selasa ini.

"Saya masih yakin barisan pemain yang akan diturunkan nanti dapat melakukan sesuatu dan membawa pulang tiga mata penuh," katanya lagi.

Jadual Bulan Mac dan April

PERLAWANAN KEDAH DLM BULAN MARCH DAN APRIL

10.3.09 - AFC - Hanoi ACB Vs KEDAH
17.3.09 - AFC - KEDAH Vs Chonburri FC
21.3.09 - MSL - PDRM Vs KEDAH
31.3.09 - MSL - Pahang Vs KEDAH
04.4.09 - MSL - KEDAH Vs Kelantan
07.4.09 - AFC - KEDAH Vs Easthern Athletic
11.4.09 - MSL - Terengganu vs KEDAH
21.4.09 - AFC - Easthern Athletic Vs KEDAH
28.4.09 - MSL - KEDAH Vs Pahang

IBARAT sudah jatuh ditimpa tangga.


Itulah nasib yang dialami juara treble, Kedah yang akan memulakan kempen Piala AFC menentang kelab Vietnam, Hanoi ACB di Stadium Hang Day, Vietnam Selasa ini.

Sudahlah tiada bantuan pemain import, skuad Kenari itu kini mungkin terpaksa tidak dapat menurunkan kesebelasan terbaik apabila beberapa tonggak utamanya mengalami kecederaan.

Kedah yang diundi berada dalam Kumpulan G Piala AFC kehilangan dua penyerang dan seorang pemain tengah.

Ketua jurulatih Kedah, Mohd. Azraai Khor Abdullah berkata, pemain yang mungkin tidak dapat dibawa ke Vietnam ialah Farizal Rozali, Saramsak Kram dan Fadly Baharom.

"Farizal masih mengalami kecederaan di bahagian buku lali dan seorang lagi penyerang, Saramsak masih dirawat di Pusat Perubatan Kedah (KMC) kerana menjalani pembedahan lutut.

"Fadly pula masih mengalami kecederaan hamstring dan masih tidak bersedia," katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad semalam.

Jelasnya, walaupun terpaksa melupakan khidmat ketiga-tiga pemain berkenaan, namun dia masih percaya dengan kredibiliti pemain yang ada bagi mencipta kejutan di gelanggang lawan.

Katanya, Kedah masih mampu menyandarkan harapan kepada Khyril Muhymeen Zambri dan Faizal Abu Bakar untuk menggegar gawang lawan.

"Kami pernah beraksi di tempat lawan dalam saingan AFC tahun lalu dan kali ini saya rasa pemain dapat melakukan yang terbaik untuk memungut tiga mata penuh," jelasnya.
--------------------
Pendapat Hijau Kuning
- Pihak FAM perlu membatalkan segera syarat yang hanya untuk meraihkan populariti semata-mata.. Sedangkan ia memberi kesan yang amat negatif kepada bola sepak negara..Kedah merupakan wakil negara dan akan menjaga nama baiki Malaysia.. Namun dengan syarat yang diberi ini..pasti menyusahkan kedah berhadapan dengan pasukan negara lain yang dibarisi pemain import..