Friday, March 26, 2010

Kedah hilang penyerang utama


KUALA LUMPUR - Kedah menerima 'tamparan' awal menjelang perlawanan separuh akhir pertama Piala FA menentang Terengganu pada 30 Mac ini selepas kehilangan penyerang utamanya, Azlan Ismail yang digantung tujuh perlawanan dan didenda RM4,000 selepas mengaku salah mengasari pengadil.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad berkata, keputusan itu telah diputuskan oleh Lembaga Tata Tertib FAM setelah menerima laporan daripada pegawai yang bertugas ketika perlawanan suku akhir pertama membabitkan Kedah menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Darul Aman pada 9 Mac lalu.

"Setelah mendapat laporan lengkap daripada pegawai, kami telah menghantar surat kepadanya dan memberikan dua opsyen iaitu, mengaku salah atau menghadap Lembaga Tatatertib.

"Pagi tadi, dia telah menjawab surat tersebut dengan mengaku salah atas tuduhan itu dan itulah hukuman yang telah dijatuhkan kepadanya," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Tambah Azzuddin, hukuman itu berkuat kuasa serta merta dan penyerang itu tidak akan beraksi pada perlawanan separuh akhir Piala FA, diikuti aksi berikutnya dalam saingan Liga Super yang akan bersambung 17 April ini.

Kedah akan bertemu Terengganu dalam separuh akhir pertama Piala FA di gelanggang lawan pada 30 Mac ini. UTUSAN 26 MAC 2010

Tuesday, March 23, 2010

Terengganu kerja keras persiapan jumpa Kedah

KUALA TERENGGANU - Terengganu yang berjaya melangkah ke saingan separuh akhir saingan Piala FA kini menjalani latihan keras sebagai persiapan menentang Kedah pada 30 Mac ini.

Jurulatih pasukan Penyu, Irfan Bakti berkata, beliau masih belum memikirkan taktik atau strategi untuk perlawanan akan datang.

''Kita baru memulakan latihan hari ini kerana kita rehat selama sehari selepas perlawanan dengan T-Team di Stadium Ismail Nasiruddin Shah, Sabtu lalu.

''Saya tak rancang apa-apa lagi. Saya nak adakan latihan selama seminggu sebelum mengatur apa-apa rancangan," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata, anak-anak buahnya itu diberikan rehat selepas berjaya mencatatkan kejayaan mengalahkan T-Team 4-1 dalam perlawanan suku akhir kedua Piala FA.

Katanya, beliau bangga dengan persembahan barisan pemainnya pada malam itu walaupun tewas pada perlawanan suku akhir pertama dua minggu lalu.

''Terengganu menang kerana semua pemain memberikan fokus dan persembahan terbaik.

''Semangat mereka memang luar biasa dan inilah yang mendorong kepada kemenangan tersebut," ujarnya.

Irfan memberitahu, beliau ingin melihat anak buahnya mengekalkan semangat tersebut dalam menghadapi pasukan lawan sehingga ke peringkat akhir.

Terengganu bakal menentang Kedah pada separuh akhir manakala satu lagi aksi separuh akhir akan menemukan Selangor dengan Negeri Sembilan.
23 Mac 2010

Percaturan Kedah menjadi

Ahmad bangga anak didik bangkit mara ke separuh akhir Piala FA

LANGKAH bergaya Kedah ke separuh akhir bola sepak Piala FA selepas menundukkan Tentera 5-0 kelmarin untuk kemenangan dengan agregat 6-1 diandaikan pengendalinya, Ahmad Yusoff sebagai cukup membanggakan apa lagi beraksi tanpa khidmat beberapa pemain utama akibat kecederaan atau digantung perlawanan.

Tindakannya meletakkan Baddrol Bakhtiar sebagai penyerang buat pertama kali nyata menjadi apabila pemain itu cemerlang meledak dua gol awal, malah keputusan menggunakan khidmat Mohd Sabre Mat Abu di bahagian tengah selepas jarang diturunkan, turut membuahkan hasil. “Sebenarnya, kami tiada pilihan,” kata Ahmad. “Ramai pemain kami mengalami kecederaan atau dikenakan tindakan disiplin. Penjaring terbanyak kami, Azlan Ismail dan Ahmad Fauzi Shaari masih dibelenggu kecederaan manakala Shafizan Hashim masih digantung akibat kad merah. “Namun kami tetap tidak mengalah dan semua pemain menampilkan aksi terbaik. Bagi saya, gol awal adalah kunci kemenangan kali ini. Saya memang tidak menjangka dapat menang dengan jaringan yang besar, namun itulah yang boleh terjadi dalam perlawanan bola sepak. Kesilapan lawan turut membantu kami.

“Sekalipun prestasi semasa kami dalam Liga Super agak terumbang ambing, saya mengharapkan dapat melakukan yang terbaik dalam Piala FA musim ini,” katanya mengenai Kedah yang akan bertemu Terengganu di separuh akhir.

Gol ketiga skuad Hijau Kuning hasil kesilapan penjaga gol Tentera, Khairul Anuar Mohd yang gagal menangkap kemas sepakan jauh Mohd Azmi Muslim dari tengah padang dan dia melakukan kesilapan yang sama untuk gol kelima Kedah selepas gagal menampan kemas rembatan Muhd Aminuddin Azmi.

Sebelum itu, Muhd Shafiq Jamal memberikan gol keempat Kedah, rembatan mudah dari dalam kotak penalti hasil hantaran lintang Baddrol dari kanan yang cemerlang memperdaya dua pertahanan Tentera. Mengenai kekalahan besar ke atas Kedah, jurulatih Tentera, Zulhamizan Zakariah berkata ia banyak berpunca daripada kesilapan individu.

“Penjaga gol kami (Khairul Anuar) ternyata gugup. Kami tidak dapat menggunakan khidmat penjaga gol utama musim ini, Mohd Nasril Mat Nourdin selepas dia demam dan nasib juga tidak begitu memihak kepada kami dalam perlawanan ini,” katanya.

Tentera turut hampir mencetak gol semalam namun kedua-dua cubaan penyerang prolifiknya, V Saravanan sekadar menggegar palang sekalipun penjaga gol Kedah, Mohd Helmi Eliza sudah pun tertewas selain terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Abdul Rashid Mahmud dikenakan kad merah selepas mengutip kad kuning kedua pada minit-minit akhir perlawanan

Sunday, March 21, 2010

Percaturan berani Kedah berhasil

KUALA LUMPUR -- Percaturan pelik tetapi berani jurulatih Kedah, Ahmad Yusoff yang meletakkan pemain sayap kanan, Baddrol Bakhtiar sebagai penyerang, membuahkan hasil apabila pemain itu meledak dua gol dengan ketika Kedah membelasah ATM, 5-0 pada saingan Piala FA, kelmarin.

Menurut Ahmad, dia hanya terfikir membuat percubaan itu, ekoran ketiadaan beberapa penyerang utama seperti penjaring gol terbanyak Kedah, Azlan Ismail.

''Saya tidak menduga Baddrol cemerlang di posisi penyerang, malah penyudahnya begitu tajam.

''Dia juga mengkucar-kacirkan pertahanan ATM menerusi gerakannya, di samping turut bertindak sebagai perancang.

''Mungkin selepas ini saya akan mempertimbangkan untuk meletakkan Baddrol lebih kerap sebagai penyerang, namun ia bergantung kepada keadaan,'' katanya.

Kedah layak ke separuh akhir Piala FA dengan agregat 6-1, dan akan bertemu Terengganu.

Terengganu ke separuh akhir menerusi agregat 5-4 ke atas T-Team.

Ahmad juga mengakui terpaksa membuat banyak perubahan taktikal, ekoran kecederaan Shahrul Nizam Mustapa dan Ahmad Fauzi Shaari.

''Saya terpaksa meletakkan pemain pertahanan, Mohd Sabre Mat Abu di bahagian tengah dan ternyata ia membuahkan hasil.

''Terus-terang saya tidak menduga pasukan Kedah bakal memperolehi kemenangan besar,'' katanya.

Sementara itu, jurulatih ATM, Zulhamizan Zakaria kecewa dengan kekalahan itu sambil menyifatkan penjaga gol, Mohd. Khairul Anuar Mohamed 'memberikan' hadiah tiga gol kepada Kedah.

''Khairul gagal menangani tekanan dalam perlawanan besar.

''Dia hilang keyakinan selepas gagal mengagak dengan baik gol pertama Kedah.

''Saya tidak mahu cepat menghukum dia, kerana dalam bola sepak kadang-kadang pemain akan melakukan kesilapan,'' katanya.

Gol Awal Membunuh

BADROL (kiri) menjaringkan dua gol untuk membantu Kedah membelasah ATM 5-0 pada aksi suku akhir Piala FA di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Selangor kelmarin
-----------------------------

GOL awal Kedah ketika membenam ATM 5-0 telah membunuh rentak lawan mereka itu pada aksi suku akhir kedua Piala FA di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Selangor kelmarin.

Jaringan Badrol Bakhtiar pada minit ke-10 itu menjadi penyuntik semangat kepada skuad Hijau Kuning untuk melakar kejayaan, sekali gus menang dengan agregat 6-1.

Kejayaan itu mengatasi pencapaian musim lalu apabila Kedah tersekat pada peringkat suku akhir.

Bagi jurulatih Kedah, Ahmad Yusof jaringan awal itu meningkatkan keyakinan anak buahnya untuk beraksi dengan lebih baik menerusi permainan yang tersusun.

Katanya, pemainnya beraksi tanpa sebarang tekanan dan ia adalah faktor kejayaan tersebut.

"Apabila mendapat gol awal pemain akan lebih yakin. Ia mendorong mereka untuk bekerja kuat dan aksi mereka juga berada pada tahap terbaik.

"Pemain juga bertekad untuk menang dan melayakkan diri ke separuh akhir. Syukur kerja keras pemain berhasil," katanya ketika dihubu- ngi di Alor Setar semalam.

Pada perlawanan itu Badrol turut menjaring- kan gol kedua Kedah pada minit ke-45 diikuti Mohd. Azmi Muslim (47), Muhammad Shafiq Jamal (54) dan Aminuddin Azmi (72).

Ahmad memberitahu, beliau juga tidak menyangka anak-anak buahnya mampu menewaskan lawan dengan jaringan besar kerana hasrat- nya adalah untuk menang.

"Saya berharap pemain dapat mengekalkan rentak dan aksi seperti ini pada perlawanan separuh akhir berdepan Terengganu hujung bulan ini," katanya.

Pada pertemuan separuh akhir pertama, Kedah akan bertandang ke Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu pada 30 Mac dan perlawanan kedua pula berlangsung di Alor Setar pada 3 April.

Menyentuh pertemuan dengan Terengganu, Ahmad memberitahu, bagi musim ini Kedah belum bertemu dengan pasukan itu yang disifat- kan sebagai pasukan yang mantap.

Namun menurut Ahmad, persiapan pasukannya menjelang separuh akhir terjejas berikutan kehilangan enam tonggak yang mengikuti latihan dengan skuad kebangsaan mulai hari ini.

Katanya, mereka terdiri daripada Badrol, Azmi, Sabree Abu, Mohd. Faizal Abu Bakar, Abdul Hadi Abd. Hamid dan Mohd. Khyril Muhymeen.

"Ketiadaan enam pemain ini menyukarkan Kedah dan berharap dapat dilepaskan sebelum saingan separuh akhir Piala FA bermula." (KOSMO 22 MAC)

Saturday, March 20, 2010

Teruskan Sokongan Pada Kenari

ALOR SETAR- Penyokong bola sepak Kedah diminta untuk sentiasa memberikan sokongan kepada pasukan Sang Kenari walaupun kehebatan pasukan itu masih belum menyerlah pada musim ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian dan Warisan, Kebudayaan, Dr Hamdan Mohammed Khalib berkata, penyokong pasukan Sang Kenari tidak perlulah berputus asa untuk memberikan sokongan kerana yakin pemain mampu memberikan corak permainan yang hebat pada perlawanan akan datang.

Menurutnya, pemain kini bukanlah tidak mampu beraksi cemerlang kerana berdasarkan setiap perlawanan pemain mampu menampilkan corak permainan yang amat baik namun masih belum berjaya menjaringkan gol.

“Buat masa ini mungkin kehebatan pasukan belum menyerlah disebabkan kecederaan yang dialami pada barisan tunggak utama namun, selepas tempoh kecederaan mereka tamat dan beraksi semula sudah pasti corak permainan pemain akan menjadi lebih mantap.

“Jadi, sebab itulah penyokong perlulah sentiasa memberi semangat dan sokongan kepada pemain untuk memastikan pemain dapat menampilkan corak permainan menarik dengan adanya kehadiran penonton,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, sasaran Kedah untuk menduduki tangga ketiga Liga Super pasti dapat tercapai kerana Kedah kini berada di tangga keenam.

Dr Hamdan berkata, faktor lain yang menyebabkan pasukan Kedah tidak dapat beraksi cemerlang berkemungkinan disebabkan pemain tidak dapat mengawal emosi sewaktu perlawanan berlangsung.

“Apabila pemain tidak dapat mengawal emosi dengan baik, secara tidak langsung mampu menjejaskan corak perlawanan,” katanya.

Wednesday, March 10, 2010

Kecederaan Pemain Punca Prestasi Kedah Merosot

ALOR SETAR, 10 Mac (Bernama) -- Masalah kecederaan ramai pemain utama dikenal pasti sebagai punca rentak permainan pasukan Kedah dalam Liga Super dan Piala FA tidak konsisten dalam beberapa perlawanannya kebelakangan ini, kata pengurus pasukan Datuk Khazali Din.

Beliau memberitahu Bernama bahawa ketiadaan pemain senior untuk mengemudi pasukan turut menyumbang kepada persembahan naik turun Kedah sejak awal musim.

Ketua pasukan Victor Andrag yang mengalami kecederaan betis direhatkan sejak awal musim belum dapat dipastikan untuk kembali beraksi.

Kata kecederaan pemain-pemain utama lain termasuk penjaring terbanyak Liga Super, Azlan Ismail serta Khyril Muhymeen, Shahrulnizam Mustapa, Fazliata Taib dan Saramsak Kram akan menambah derita Kedah seterusnya.

"Pelbagai usaha termasuk sesi kaunseling dibuat untuk menguatkan keyakinan pemain. Hasil analisis mendapati kelemahan ketara mereka mudah hilang punca walaupun bermain di gelanggang sendiri apatah berdepan pasukan ternama," katanya.

Menurut Khazali keputusan seri 1-1 dengan Angkatan Tentera (ATM) dalam saingan suku akhir pertama Piala FA di Stadium Darul Aman malam tadi menyerlahkan kelemahan pasukannya.

"Kedah boleh menang perlawanan itu tetapi pemain gugup dan hilang pedoman menyebabkan kita seri," katanya.

Ketua jurulatih, Ahmad Yusof berkata beliau yakin dalam keadaan sekarang, pemain masih dapat bertahan untuk menang apabila menentang Negeri Sembilan dalam Liga Super pada Sabtu ini.

Katanya mereka tiada pilihan kecuali bermain habis-habisan supaya tidak tercicir jauh selepas kecundang 0-4 kepada Selangor pada Sabtu lepas.

"Saya akan menyusun semula strategi dengan pemain yang ada," kata Ahmad.

-- BERNAMA

Sunday, March 7, 2010

Kedah dibelasah Selangor

PENJAGA gol Kedah, Mohd. Helmi Eliza Elias menumpuk bola ketika menahan asakan penyerang Selangor pada perlawanan Liga Super di Stadium Shah Alam, semalam
-------------------------------
KUALA LUMPUR - Dua jaringan Amirulhadi Zainal, selain satu masing-masing oleh Safee Sali dan Amri Yahyah membantu melebarkan kedudukan Selangor selaku peneraju Liga Super.

Keunggulan Merah Kuning terbukti di Stadium Shah Alam apabila membelasah Kedah 4-0, semalam untuk mengumpul 22 mata.

Anak buah K. Devan memulakan pesta gol hasil rembatan deras kaki kiri Safee pada minit ke-27, sebelum Amirulhadi menyudahkan gerakan satu dua dengan Hardi Jaafar, tujuh minit sebelum tamat babak pertama.

Pasukan pelawat dari utara bimbingan Ahmad Yusof, terus tersungkur dengan sepakan lambung ketua pasukan, Amri yang memerangkap penjaga gol Helmi Eliza Elias pada minit ke-60.

Minit ke-76 pula menyaksikan Amirulhadi merembat separuh voli setelah mendapat umpanan lintang pemain gantian, D. Surendran dari sebelah kanan untuk melengkapkan kemenangan Selangor.

Terengganu mengekori rapat Selangor di tangga tangga kedua dengan 17 mata, biarpun bertandang ke Stadium Petaling Jaya untuk menjinakkan KL PLUS 1-0 hasil jaringan Firdaus Fauzi.

Johor FC pula menghambat Si Penyu dengan kemenangan tipis 2-1 ke atas Pahang di Stadium JCorp, Pasir Gudang, sekali gus mengumpul 16 mata dan memintas Kedah yang tewas di Shah Alam.

Juara Piala Malaysia 2009, Negeri Sembilan mempamerkan kebangkitan akibat tentangan sengit Perlis untuk membenam pelawat 3-2 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban.

Jaringan Idris Karim, Shukor Adan dan Ashraf Aljapri memastikan tiga mata buat skuad bimbingan Wan Jamak Wan Hassan, biarpun pelawat membalas menerusi Wan Khairul Faiz dan K. Soley.

Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, Kelantan turut memperbaiki kedudukan menerusi jaringan tunggal pemain pertahanan, Azizi Mat Rose pada minit ke-73 ke atas T-Team.

Di Stadium Negeri, Batu Kawan, Pulau Pinang menghampakan Perak dengan mencuri satu mata, ketika tinggal enam minit setelah S. Veenod menyamakan jaringan pelawat, Saufi Sa'aidi pada minit ke-62.
UTUSAN MALAYSIA 7 Mac 2010