Friday, October 16, 2009

Sapa nak ganti Azraai Khor???

Kini Mohd Azraai Khor Abdullah sah meninggalkan pasukan Kedah dan khabarnya sedang menuju ke Kelana Jaya untuk membimbing pasukan Harimau Muda yang bakal beraksi dalam Liga Super pada musim 2010. Persoalannya kini ialah siapakan nanti yang bakal mengisi kerusi panas tersebut untuk membimbing sang Kenari dalam kempen Liga Super 2010?

Berdasarkan kepada rekod, terdapat 5 jurulatih yang memiliki Lesen Kejurulatihan A Persatuan Bolasepak Malaysia. Mereka ialah Hj Ahmad Shafie, Mosthakeen Omar, Azman Yusoff, P.Ganasamoorthy dan Fisol Razak. Dari senarai 5 jurulatih tersebut, hanya P.Ganasamoorthy yang belum pernah membimbing pasukan utama negeri manakala 4 yang lain pernah menjadi jurulatih Hijau Kuning.

Hj Ahmad Shafie mengemudi Kedah ke 3 perlawanan akhir Piala Malaysia (1987-1989) dan memenangi pingat emas bersama pasukan kebangsaan di Sukan SEA 1989. Mosthakeen Omar melatih sang Kenari pada tahun 1995-1997 dan berjaya memenangi Piala FA selain pernah menjadi penolong jurulatih skuad Olimpik negara. Fisol Razak menjadi jurulatih Kedah pada 1998. Azman Yusoff pula satu-satunya jurulatih yang berjaya di peringkat antarabangsa dengan membimbing kelab DPMMFC Brunei menjuarai Liga Brunei (2003), naib juara Liga Vietnam bersama kelab Dong Tham FC (2004) sebelum menjadi jurulatih kelab Proton (2004), TNB Kelantan (2005-2006) dan memenangi pingat perak di Sukan Universiti ASEAN 2008.

Apakah ada di antara mereka ini yang bakal dipertanggungjawabkan untuk membimbing skuad Kenari atau apakah mungkin jurulatih dari luar Kedah atau luar negara diberi kepercayaan untuk mengembalikan reputasi yang tercalar?

Biarlah Azraai Pergi...


Azizan yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) bagaimanapun berkata, pihaknya akan mengkaji surat peletakan jawatan Mohd Azraai terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan sama ada menerima atau menolak peletakan jawatan jurulatih itu.

Sementara itu, pengurus pasukan Kenari, Datuk Khazali Din berkata, beliau tidak akan memaksa Mohd Azraai meneruskan khidmatnya jika jurulatih itu sudah hilang minat dan semangat untuk berbuat demikian.

“Dalam perkara ini, kita tidak boleh memaksa jika dia sudah tidak berminat. Saya katakan begini kerana keadaan mungkin tidak akan menjadi lebih baik jika dia kembali kepada pasukan dalam keadaan tidak bersemangat dan tidak ada komitmen,” katanya.

Menurutnya, beliau mahukan seorang jurulatih yang mampu memberikan komitmen sepenuhnya kepada pasukan Kedah .

“Saya tidak rasa Azraai letak jawatan sebab kekalahan Kedah tetapi saya rasa, mungkin dia sudah rasa tidak selesa untuk terus membimbing skuad Kenari .

“Bagi saya, kekalahan adalah perkara biasa dalam perlawanan, kadang-kadang berhasil, kadang-kadang tidak berhasil. Jadi jangalanlah jadikan alasan kekalahan itu untuk meletak jawatan,” katanya.

Khazali berkata, beliau hanya menerima keputusan yang dibuat oleh Mohd Azraai dan beliau tidak akan memaksa jurulatih itu untuk kembali kepada skuad Kenari

Semalam, Mohd Azraai menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai ketua jurulatih Skuad Kenari berikutan kegagalan pasukan Kedah layak ke suku akhir Piala Malaysia musim ini.

Azraai tinggalkan Kedah


ALOR SETAR - Selepas hampir enam tahun bersama pasukan bola sepak Kedah, jurulatih, Mohd. Azraai Khor Abdullah semalam secara rasmi meninggalkan Sang Kenari untuk membimbing pasukan Harimau Muda mengharungi saingan Liga Super musim depan.

Jurulatih berusia 57 tahun yang menjadi watak penting membantu Hijau Kuning meraih gelaran treble berganda Liga Malaysia itu menyerahkan surat peletakan jawatannya sebagai ketua jurulatih kepada Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Dr. Hamdan Mohamed Khalib semalam.

Keputusan itu antara lain dipercayai berpunca daripada prestasi hambar Kedah dalam saingan Liga Malaysia 2009 selain didakwa kecewa kerana tidak mendapat sokongan sepenuhnya pengurusan ketika mengendalikan skuad Hijau Kuning musim ini.

Mohd. Azraai memberitahu, dia akan mengendalikan skuad bawah 21 kebangsaan sedia ada iaitu juara Liga Perdana musim ini, Harimau Muda, mulai 1 November ini selepas menerima tawaran daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Jurulatih yang sinonim dengan skuad Hijau Kuning itu berkata, perasaannya bercampur baur antara sedih, hiba dan akan merindui pasukan Kedah tetapi berdasarkan perkembangan semasa termasuk mendakwa tidak mendapat sokongan sewajarnya, membuatkan dia tidak berminat untuk menyambung kontrak bersama Sang Kenari.

"Saya menerima panggilan daripada wakil FAM tengah hari ini (semalam) mengenai tawaran itu dan surat pengesahan akan dihantar kemudian.

"Dengan situasi semasa yang berlaku, saya tidak berminat untuk menyambung kontrak dengan Kedah dan telah menghantar surat memohon dilepaskan daripada jawatan,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Mohd. Azraai yang mula membimbing Kedah sejak 2004 membantu pasukan itu menjuarai Liga Perdana pada musim 2005/2006, kemudian mencipta sejarah apabila muncul sebagai juara treble berganda Liga Malaysia dua musim berikutnya.

Menurutnya, dia telah membuktikan keupayaannya sebagai jurulatih dalam saingan domestik dan sekarang merupakan masa terbaik baginya untuk berbakti kepada negara dengan menghulurkan pengalaman membimbing skuad Harimau Muda.

"Sudah tiba masanya bagi saya untuk berusaha menghulurkan sumbangan pengalaman kepada skuad bola sepak negara khususnya dalam membangunkan bakat pemain-pemain muda,'' katanya.

Mengakui masih sayang dengan pasukan Kedah, Mohd. Azraai berkata, dia berharap Sang Kenari akan mendapat pengganti yang lebih baik dan mendoakan kejayaan itu pada musim-musim akan datang.

"Fokus saya kini ialah untuk membimbing pasukan Harimau Muda yang akan beraksi dalam saingan Liga Super musim depan. Pada masa sama, saya perlu berusaha mengembangkan bakat-bakat pemain muda dalam skuad itu kerana ia merupakan pelapis sukan bola sepak negara,'' katanya.

Utusan Malaysia 16 Oktober 2009

Azraai tinggalkan skuad Hijau Kuning


Bosan karenah pegawai KFA, pilih kendali Harimau Muda bagi Liga Malaysia musim depan

BOSAN dengan karenah pegawai Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), jurulatih skuad Hijau Kuning, Mohd Azraai Khor Abdullah, akhirnya meletak jawatannya dan memilih menjadi pengendali pasukan Harimau Muda pada Liga Super musim depan.

Menurut Azraai, dia sudah tidak tahan dengan pegawai tinggi KFA yang gagal memberi kerjasama, sehingga memaksanya mengambil keputusan drastik itu.

“Saya sudah memberikan surat peletakan jawatan saya kepada Dr Hamdan Mohd Khalib (Setiausaha KFA) dan turut menyatakan sebab-sebab saya menarik diri sebagai jurulatih Kedah.

“Saya dibawa oleh arwah Datuk Ahmad Basri (Akil) dari Kelantan untuk membangunkan skuad Kedah menjadi pasukan yang digeruni dan berjaya dan saya puas hati setelah berjaya melakukannya.

“Namun ketika ini, saya gagal mendapat kerjasama dari pegawai KFA dan ini menyukarkan tugas saya untuk terus memastikan Kedah kekal sebagai pasukan elit pada Liga Malaysia, sehingga terpaksa menyerahkan tiga kejuaraan yang dimenangi sejak dua musim lalu," kata Azraai.

Sebelum ini, Azraai berjaya memastikan pasukan Kedah mencatatkan sejarah dengan menjuarai Piala Malaysia, Piala FA dan Liga Super sejak dua musim lalu.

"Ketika saya mengambil alih tugas daripada Miranda, pasukan Kedah sedang menuju ke arah Liga Perdana tetapi kami berjaya melayakkan diri ke perlawanan akhir Piala Malaysia musim itu sebelum tewas kepada Perlis 1-0.

"Apa yang membuat saya sedih ialah meninggalkan barisan pemain yang sudah setia bersama saya sejak enam tahun lalu. Tapi, saya tiada pilihan kecuali memilih menabur budi dan ilmu saya bersama pasukan Harimau Muda pada Liga Super musim depan.

“Saya juga berterima kasih kepada pemain Kedah dan juga ribuan peminat yang memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi terhadap kejayaan pasukan Hijau Kuning," kata Azraai.

Sementara itu, Dr Hamdan mengesahkan beliau sudah menerima surat peletakan jawatan dari Azraai dan KFA akan bermesyuarat secepat mungkin untuk mengambil keputusan mengenai perkara itu.

Berita Harian 16 Oktober 2009

Monday, October 5, 2009

Misi sukar menanti Kedah di Selayang


ATAS kertas, memang sukar bagi juara treble, Kedah untuk melangkah ke suku akhir Piala Malaysia.

Namun, mereka belum mahu menyerah kerana masih ada tiga lagi perlawanan untuk diharungi dalam saingan peringkat Kumpulan E.

Malam ini, skuad Kenari itu mahu menang ke atas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada perlawanan yang akan berlangsung di Stadium Majlis Perbanda- ran Selayang.

Mereka hanya mahu tiga mata bagi mengembalikan keyakinan semua pemain dalam pasukan.

Jurulatih, Mohd. Azraai Khor Abdullah berkata, skuadnya perlu bermain habis-habisan bagi mencapai kemenangan biarpun sedar bakal menghadapi saingan sengit daripada lawan yang turut mahu melakar kejutan.

Katanya, walaupun sukar bagi Kedah untuk meraih sembilan mata daripada baki tiga perlawa- nan ini tetapi sasaran itu perlu dicapai bagi menghidupkan peluang.

"Saya akui keadaan kami agak tenat ketika ini. Pemain perlu 'all out'. Mereka tiada pilihan melain- kan menang dalam kesemua tiga perlawanan pusingan kedua ini," katanya kepada Kosmo! semalam.

Pada perlawanan di Stadium Darul Aman lalu, Kedah yang cuma sekadar meraih satu mata mencatat keputusan seri 1-1 dengan ATM.

Laluan Kedah ke suku akhir akan tertutup seandainya tewas lagi malam ini.

Selepas mengharungi tiga perlawanan pusingan pertama, Kedah hanya meraih satu mata untuk menduduki tempat tercorot Kumpulan E.

Azraai memberitahu, moral pemain ketika ini berada di tahap yang baik biarpun kecewa dengan keputusan yang dicatat pada tiga perlawanan sebelum ini.

Katanya, bagi mencapai kejayaan itu, pemain perlu memberi komitmen 110 peratus, fokus dan komited terhadap permainan.

"Pemain tahu peranan mereka. Manfaatkan peluang dengan baik dan jangan leka ketika bertahan," katanya.

Selepas beraksi di Selayang, Kedah akan menanti kunjungan Kelantan di Alor Setar dan selepas itu akan bertandang ke Seberang Perai untuk menentang Pulau Pinang.
Kosmo 6 Okt 2009

Sunday, October 4, 2009

Kemelut Kedah Semakin Parah


Perpecahan antara dua puak dalam skuad punca Hijau Kuning merudum

KEMEROSOTAN juara bertahan, Kedah secara mendadak dalam kempen Piala Malaysia musim ini menggambarkan sesuatu yang tidak kena dalam pasukan ini selepas kecemerlangan gelaran kedua berturut-turut pada 2008.

Sungguhpun, jurulatih, Mohd Azraai Khor menyalahkan penyerangnya atas kegagalan mereka meledakkan lebih daripada satu gol dalam tiga perlawanan Kumpulan E yang menyaksikan mereka hanya meraih satu mata, masalah itu sebenarnya lebih parah daripada itu dengan kemerosotan Hijau Kuning dikatakan ada kaitannya dengan pergolakan dalaman pasukan.


Perpecahan antara dua puak dalam pasukan Kedah dikatakan menjejaskan skuad dengan kelompok yang masih setia dengan bekas pengurus, Datuk Othman Aziz dikatakan enggan memberikan kerjasama kepada Mohd Azraai dengan niat untuk menjatuhkan kepimpinan baru yang diterajui Datuk Khazali Din.

Sikap pegawai yang berkepentingan sendiri dilihat menyukarkan tugas Mohd Azraai untuk mendapatkan penyerang tempatan berkualiti bagi mengharungi kempen Piala Malaysia musim ini.

Kegagalan mendapatkan khidmat Mohd Haris Safwan Kamal daripada T-Team berpunca daripada keengganan pengurusan untuk meluluskan pembiayaan walaupun memiliki jumlah kewangan yang mencukupi.

Mohd Azraai jelas kecewa dengan tindak tanduk pengurusan yang menunjukkan ketiadaan inisiatif untuk memperkuatkan pasukan, yang juga ditunjukkan ketika berputih mata dalam usaha mendapatkan Indra Putra Mahyuddin dan Mohd Nor Farhan Muhammad pada awal musim.

Apa yang mampu dilakukan oleh seorang jurulatih, jika tidak mendapat sokongan yang diperlukan. Ketika dia meminta pemain baru untuk memperkuatkan pasukan, permintaan itu ditolak pengurusan dengan alasan tiada wang.

Ini menyebabkan pasukan berputih mata mendapatkan Haris Safwan dengan dirinya beralih ke KL Plus. Keadaan sama turut berlaku pada awal musim ketika Indra Putra dan Nor Farhan terlepas daripada menjadi milik Kedah, kata sumber rapat dengan pasukan.

Kini ketika pusingan kedua peringkat kumpulan menjengah, Selasa depan, tiada pilihan buat Mohd Azraai selain terus menaruh kepercayaannya kepada barisan penyerang dengan setiap perlawanan selepas ini umpama hidup mati.

Kegagalan untuk mendapatkan selain daripada tiga mata penuh bermula dengan pertemuan menentang pendahulu kumpulan, Kelantan di tempat sendiri.
Kedah Lanie 5 Oktober 2009

Ustaz Azizan Kecewa


KECEWA.

Begitu luahan orang kuat Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) mengenai prestasi skuad Kenari dalam saingan Piala Malaysia musim ini yang ketika ini berada di tangga tercorot kumpulan E.

Bagi Presiden KFA, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, prestasi skuad itu perlu dikaji dan dibuat bedah siasat bagi mencari puncanya.

Katanya, pasukan Kedah belum tersingkir lagi dalam saingan dan berharap prestasi itu dapat dibaiki segera.

"Kecewa. Kekalahan itu ada alasannya, seperti ketika kalah kepada Kelantan ada masalah teknikal. Apa pun kita perlu kaji apa masalahnya," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis rumah terbuka Aidilfitri di Alor Setar semalam.

Dalam tiga perlawanan, Kedah sekadar meraih satu mata setelah seri 1-1 dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), tewas 1-0 kepada Kelantan dan malam kelmarin kalah 1-0 kepada Pulau Pinang.

Azizan turut menafikan kemerosotan pasukan itu berpunca daripada masalah dalaman persatuan, sebaliknya memberitahu, hal berkaitan kebajikan pemain dijaga dengan baik oleh pengurusan.

Malah katanya, urusan pembayaran gaji dibuat mengikut jadual dan kerajaan negeri sentiasa mengambil berat hal itu.

"Gaji cukup, pengurusan bagus malah antara yang terbaik di negara ini," katanya.

Menyentuh kelewatan Kedah menguruskan pemain pinjaman bagi saingan musim ini, Azizan memberitahu, beliau tidak pasti berhubung pengendalian proses tersebut, namun perkara itu perlu dikaji.

Kedah Lanie 5 Oktober 2009