Saturday, August 29, 2009

Khyril kena rehat enam bulan


Terkilan tak dapat bantu negara sahut cabaran Sukan Sea

TATKALA rakan sepasukannya sudah berada di Asia Barat bagi kunjungan persahabatan sebagai persiapan ke Sukan Sea, Mohd Khyril Muhymeen Zambri (gambar) hanya mampu melihat dari jauh dengan dirinya tidak mampu berbuat apa-apa untuk membantu mereka dalam misi menamatkan kemarau emas di temasya itu, Disember nanti.

Tonggak sayap skuad K Rajagobal itu hanya mampu tabah menghadapi hakikat dirinya tidak akan berada dalam kumpulan pemain ke Laos selepas doktor mengesahkan pemain berusia 22 tahun itu memerlukan enam bulan untuk pulih daripada kecederaan otot kartilaj lutut yang dialami ketika menentang Kenya dalam perlawanan persahabatan, 12 Ogos lalu.

Khyrill terpaksa diusung keluar selepas terbabit dalam pertembungan dengan pemain Kenya pada lewat perlawanan, seterusnya diketepikan bagi perlawanan menentang China tiga hari selepas itu.

Namun pemeriksaan perubatan baru-baru ini mendapati tahap kecederaannya begitu serius sehinggakan bukan saja terpaksa melupakan dua perlawanan persahabatan menentang Arab Saudi, hari ini dan Selasa depan serta Jordan pada 5 September tetapi juga sepak mula Sukan Sea, 5 Disember depan.

“Kecederaan yang saya alami adalah ‘torn meniscus’ dan memerlukan saya menjalani pembedahan minggu depan.

“Doktor menasihati saya untuk berehat selama enam bulan. Ini bermakna saya tidak dapat beraksi pada Sukan Sea nanti,” katanya.

Kecederaan ini juga bermakna jurulatih Kedah, Mohd Azraai Khor Abdullah juga terpaksa melupakan khidmat pemain kelahiran Alor Setar itu bagi menghadapi kempen Piala Malaysia yang bermula pada 26 September ini.

Wednesday, August 26, 2009

Kedah Cemas Harungi Piala Malaysia


ALOR SETAR, 26 Ogos (Bernama) -- Juara bertahan Piala Malaysia, Kedah mengakui bakal berdepan misi sukar untuk merangkul gelaran buat kali ketiga berturut-turut musim ini selepas usaha untuk mendapatkan beberapa pemain bagi memantapkan pasukan itu seolah-olah menemui jalan buntu.

Ketua jurulatihnya, Mohd Azraai Khor Abdullah berkata, usaha untuk mendapatkan tiga pemain seperti yang telah ditetapkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), sehingga kini masih belum berhasil.

Katanya, Kedah juga terpaksa melupakan hasrat untuk menggunakan khidmat penyerang pasukan Harimau Muda, Ahmad Shakir Ali yang terikat dengan program pembangunan untuk pasukan itu, yang telah ditetapkan lebih awal oleh FAM, manakala Mohd Bunyamin Omar pula masih tidak dapat disahkan statusnya.

"Bunyamin yang dikatakan akan berpindah tempat pengajiannya dari Universiti Putra Malaysia (UPM) ke Universiti Utara Malaysia (UUM) juga belum pasti statusnya," katanya kepada Bernama hari ini.

Azraai memberitahu bahawa beliau kesuntukkan masa untuk membentuk sebuah pasukan yang mantap sambil mengakui Kedah kini berada dalam situasi cemas untuk menghadapi saingan Piala Malaysia .

Selain itu, Azraai berkata kecederaan lutut yang agak serius yang dialami penyerang utamanya, Mohd Khyril Muhymeen Zambri juga turut menjejaskan persiapan pasukannya.

"Saya tidak pasti apakah Khyril akan sempat pulih sebelum perlawanan sulung Piala Malaysia bermula," katanya.

Walau bagaimanapun, Azraai berkata misi dalam Piala Malaysia akan tetap diteruskan oleh pemain-pemain sedia ada dengan meletakkan sasaran untuk mara ke peringkat separuh akhir biarpun menyedari bakal dicabar hebat sejak dari peringkat kumpulan lagi.

Dalam kempen Piala Malaysia yang akan bermula 26 September ini, Kedah diundi dalam Kumpulan E yang turut menampilkan Kelantan, Pulau Pinang dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Kedah akan berhati-hati dengan Kelantan kerana mereka mempunyai banyak bekas pemain kebangsaan yang berpengalaman," katanya.

Kedah menjulang Piala Malaysia pada musim 2007 selepas menundukkan Perak 3-0 dan mempertahankannya pada musim lepas dengan mengalahkan Selangor 3-2.

Friday, August 21, 2009

Kedah Pancing Syakir dan Bunyamin


ALOR SETAR - Juara bertahan Piala Malaysia, Kedah sedang berusaha mendapatkan khidmat dua pemain yang pernah mewakili pasukan itu iaitu Ahmad Shakir Mohd Ali dan Mohd Bunyamin Omar bagi menghadapi saingan Piala Malaysia yang akan bermula penghujung bulan depan.

Ketua jurulatihnya Mohd Azraai Khor Abdullah berkata, rundingan bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sedang dilakukan agar dua pemain itu dapat menyarung jersi Hijau Kuning.

“Kedah masih menunggu jawapan daripada FAM berhubung status Shakir,” katanya.

Mohd Azraai berkata, kehadiran semula kedua-dua pemain itu sudah pasti akan memberi kekuatan baru kepada pasukan Kedah memandangkan mereka telah beraksi cemerlang untuk pasukan masing-masing ketika saingan Liga Super dan Liga Perdana musim ini.

Ahmad Shakir merupakan penyerang skuad Harimau Muda yang muncul juara Liga Perdana musim ini, manakala Bunyamin pula bermain untuk pasukan UPB-MyTeam yang tidak akan beraksi untuk Piala Malaysia.

Mengenai khidmat Bunyamin pula, Azraai berkata perkara itu juga sedang diusahakan kerana banyak perkara yang perlu diselesaikan termasuklah soal tempat pengajiannya.

“Kita sedang cuba untuk menukarkan Bunyamin yang sedang menuntut di Universiti Putra Malaysia (UPM) ke Universiti Utara Malaysia (UUM). Jika semuanya berjalan lancar, harapan untuk mendapatkan khidmatnya adalah cerah,” katanya.

Mohd Azraai ditemui selepas perlawanan persahabatan antara pasukan Kedah menentang Kelab Fourway Rangers dari Hong Kong di Stadium Darul Aman di sini petang tadi yang menyaksikan tuan rumah mencatat kemenangan tipis 2-1.

Nostalgia Kedah VS. Kuala Lumpur


Kedah yang kecundang tiga kali berturut-turut kepada Kuala Lumpur pada saingan akhir Piala Malaysia pada 1987, 1988, 1989 akhirnya berjaya menewaskan skuad ibu kota itu malam kelmarin.Itupun setelah 20 tahun dan rata- rata pemain sudah bergelar veteran dengan usia sekitar 40-an.

Kemenangan itu dicapai pada perlawanan Nostalgia Akhir Piala Malay- sia merebut Piala Sultan Kedah di Stadium Darul Aman, Alor Setar.Kejayaan 7-6 veteran Kedah digapai menerusi penentuan sepakan penalti setelah seri 3-3 selepas tamat masa perlawanan sebenar.

Pada tiga final itu, Kedah tewas 0-1 (1987), 0-3 (1988) dan 1-2 (1989).Veteran Kedah yang diketuai Radhi Mat Din terlebih dahulu menggegar gawang veteran Kuala Lumpur pada minit kedua menerusi Mohd. Farouk Ismail setelah penjaga gol lawan M. Pavalamani gagal menampan hantaran silang Tan Cheng Hoe.

Kedah menguasai saingan dengan hantaran serta serangan pantas ke pintu gol pelawat dan pada minit ketujuh, mereka sekali lagi menembusi gawang Kuala Lumpur menerusi Hussein Jaafar. Walaupun ketinggalan dua gol, Kuala Lumpur bangkit dan menemui sasaran menerusi sentuhan Fandi Ahmad pada minit ke-16 yang membuat hantaran satu dua dengan Shahrin Majid.Ternyata sentuhan Fandi masih berbisa dan dia sekali lagi menggegar gawang tuan rumah pada minit ke-26 untuk menjadikan kedudukan 2-2.

Skuad Hijau Kuning tidak berputus asa dan hasilnya pada minit-minit akhir babak kedua, Hussein tampil menyambar bola yang terlepas dari- pada dakapan Pavalamani. Pada babak kedua lebih 2,000 penonton tuan rumah dikejutkan dengan gol awal Kuala Lumpur menerusi jaringan Shahrin pada minit ke-42. Selepas gol tersebut kedua-dua pasukan memperlahankan rentak permainan dengan bola banyak berlegar di tengah padang.

Pada penentuan penalti Fandi gagal meneruskan sentuhan cemerlangnya apabila sepakannya ditampan Ahmad Sobri dan rentak kekala- han Kuala Lumpur disahkan Ghani Malek yang gagal menyempurnakan sepakan kelima. Sebelum itu tiga sepakan penalti Kuala Lumpur disempurnakan K. Gunalan, Amirudin Ahmad dan Azlan Meri manakala empat sepakan Kedah pula disempurnakan oleh Khatul Anuar Abdul Hamid, Mohd. Nizam Adzhar Yusuff, Cheng Hoe dan Manja Man.Hadiah disampaikan Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.