Monday, July 26, 2010

Bola sepak: Piala Dunia dan 1Malaysia

SUDAH dua minggu bola sepak Piala Dunia berakhir. Pesta selama sebulan mempengaruhi ramai peminat bola sepak diseluruh dunia termasuk di Malaysia juga.

Pertandingan yang melibatkan tiga waktu permainan di negara kita iaitu pukul 7.30 malam, 10 malam dan 2.30 pagi memaksa peminat bola sepak mengatur jadual harian mereka, terutamanya bila melibatkan pertandingan pasukan yang besar seperti Argentina, Brazil, England, Perancis dan Itali.

Jadual perlawanan ini juga mempengaruhi tabiat harian peminat bola untuk selama sebulan supaya tidak terlepas perlawanan yang menjadi pilihan masing-masing.

Kalau tidak menonton di rumah, anak-anak muda berhimpun di tempat-tempat yang menjadi pilihan untuk bersama-sama kawan-kawan dan peminat yang lain untuk menyaksikan pertandingan secara langsung dari bandar-bandar Afrika Selatan.

Apabila kejohanan bola sepak berakhir, maka terdapat semacam satu kekosongan di kalangan peminat bola dan memerlukan sedikit masa untuk membuat penyesuaian untuk kembali hidup secara normal tanpa Piala Dunia.

Saya amat terperanjat ketika melihat gambar yang disiarkan oleh akhbar tempatan yang menunjukkan padang di Dataran Merdeka dipenuhi oleh peminat bola sepak menyaksikan pertandingan akhir antara Sepanyol dengan Belanda walaupun bermula jam 2.30 pagi.

Bayangkan bagaimanakah gambarannya sekiranya pasukan Malaysia juga berada di Afrika Selatan sebagai pasukan yang layak ke pusingan akhir.

Sudah tentu tempat-tempat seperti di Dataran Merdeka akan dipenuhi oleh peminat seperti yang berlaku di Seoul atau di negara lain yang mana pasukan masing-masing berada di Afrika Selatan.

Kempen promosi Piala Dunia oleh sebuah syarikat komunikasi juga menarik perhatian.

Ikon bola sepak kita pada tahun 1970-an dan 80-an seperti Datuk Soh Chin Aun, Santokh Singh, James Wong dan Hassan Sani dipertontonkan semula kejaguhan masing-masing di era yang mana prestasi pasukan bola sepak kita cukup menonjol di kalangan negara-negara Asia.

Dua lagi nama yang patut menyertai mereka ini ialah Allahyarham Mokhtar Dahari dan mendiang Arumugam - penyerang dan penjaga gol pasukan Malaysia yang tidak ada tolok bandingnya.

Sekurang-kurangnya promosi ini mendedahkan kepada generasi muda nama-nama besar bola sepak negara yang mungkin tidak dikenali oleh mereka sebelum ini.

Promosi ini mengingatkan kita bahawa negara kita juga pernah menjadi jaguh bola sepak antarabangsa bermula dengan Pesta Bola Merdeka hingga layak bertanding ke Sukan Olimpik 1972 dan 1980.

Lebih daripada itu, promosi ini melontarkan satu peringatan bagi semua pihak yang bertanggungjawab memajukan sukan bola sepak tanah air bahawa konsep 1Malaysia sudah dicerminkan lebih awal oleh pasukan bola sepak negara kita tahun 70an dan 80an.

Kalau dilihat komposisi pasukan negara ketika itu dan dibandingkan dengan yang ada sekarang, maka kita lihat bahawa ia mencerminkan komposisi kaum yang ada di negara ini.

Oleh itu, tidak hairanlah pada masa itu, sokongan kepada pasukan bola sepak kita datangnya dari berbilang kaum yang memenuhi stadium ketika pasukan kebangsaan kita bermain.

Mengapakah pasukan kebangsaan kita sekarang ini tidak lagi seperti dahulu yang terdiri dari pemain-pemain berbilang kaum?

Adakah tidak ada pemain-pemain dari keturunan Cina atau India sekarang ini sehebat dulu?

Atau adakah bola sepak sekarang ini tidak lagi diminati remaja dan pemuda dari keturunan selain dari keturunan Melayu oleh kerana rata-rata pemain Melayu sahaja yang banyak mengisi tempat dalam pasukan-pasukan yang bertanding dalam Liga M dan pasukan kebangsaan.

Dalam mencari kaedah serta pendekatan untuk memulihkan martabat pasukan bola sepak kebangsaan kita, perkara ini perlulah diberi perhatian.

Rasanya kita sudah mempunyai pengetahuan bagaimana negara-negara sama ada di barat atau di Jepun membangunkan bola sepak mereka.

Lawatan-lawatan sudah pun dilakukan. Pada perhatian saya, sumbangan dan usaha yang dilakukan oleh banyak pihak untuk melatih pemain-pemain yang muda di merata tempat sekarang ini perlulah diberi perhatian, sokongan dan motivasi untuk membolehkan mereka meneruskan sumbangan masing-masing.

Apa yang perlu ialah kaedah mereka ini melatih pemain-pemain muda ini patut diseragamkan supaya kemahiran asas yang diberikan oleh semua pihak relevan dan sesuai dengan umur pemain yang dilatih.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan mengadakan pemilihan pemimpin pada hujung bulan ini dan tugas memulihkan mutu bola sepak negara bermula dari peringkat akar umbi mestilah dilipatgandakan.

Pilihlah pemimpin yang benar-benar mampu menyahut cabaran ini.

Peminat bola sepak negara sudah hampir-hampir hilang kesabaran untuk melihat kejayaan bola sepak kebangsaan.

UTUSAN 27 Julai 2010

Kedah juara MELC 2010


SKUAD Kedah meraikan kejayaan muncul juara kejohanan bola sepak Liga Piala Menteri Pelajaran 2010 bagi kategori B-15 dan B-17.


KEDAH muncul juara edisi ketiga kategori bawah umur 15 tahun (B-15) kejohanan bola sepak Liga Piala Menteri Pelajaran (MELC) 2010.

Kejayaan tersebut diraih setelah menewaskan Terengganu 3-2 pada perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Darul Aman, Alor Setar kelmarin.

Edisi pertama kejohanan pada 2008 dimenangi Selangor dan diikuti Sekolah Sukan Bandar Pena- war (SSBJ) pada 2009.

Ketua jurulatih Kedah, Basirul Abu Bakar merupakan individu yang paling bangga dengan kejayaan tersebut dan memuji persembahan anak-anak buahnya yang telah mempamerkan semangat juang tinggi pada aksi final tersebut.

"Pemain-pemain telah menunjuk- kan komitmen serta disiplin dan kerjasama berpasukan yang begitu tinggi sepanjang 90 minit tempoh perlawanan sehingga kami (Kedah) berjaya merangkul gelaran juara pada edisi kali ini.

"Meskipun beraksi di atas padang becak ekoran hujan yang turun, namun itu tidak menjadi penghalang buat pemain-pemain saya memberikan persembahan terbaik mereka.

"Hampir 90 peratus barisan pemain yang disenaraikan kali ini telah bersama sejak darjah empat lagi, dan diharapkan untuk kejohanan pada tahun depan kami mampu mencungkil lebih ramai bakat muda daripada program pembangunan peringkat akar umbi," jelas Basirul.

Pada aksi kelmarin, Terengganu terlebih dahulu membuka jaringan selepas Muhd. Akram Asidi membuka tirai jaringan seawal minit ke-18.

Begitupun, gol pendahuluan Terengganu itu sedikit pun tidak melunturkan semangat anak-anak buah Basirul yang kembali bangkit dengan jaringan penyamaan menerusi Muhd. Ariff Farhan Mohd. Isa pada minit ke-35.

Muhd. Fitri Che Hassan muncul wira apabila meledak dua gol buat Kedah pada minit ke-45 dan 47 untuk meletakkan pasukannya didepan sebelum Akram sekali lagi menjaringkan gol kedua buat Terengganu merapatkan jurang gol minit-minit terakhir perlawanan.

Biarpun tewas, ketua jurulatih Terengganu, Zainudin Mohd. Zain tetap berpuas hati dengan persembahan anak-anak buahnya dan melahirkan keyakinan bahawa skuad kendaliannya itu akan kembali menebus kehampaan tersebut pada edisi akan datang.

"Kedah sememangnya layak bergelar juara kerana mereka tampil hebat berbanding Terengganu. Namun, saya akan memastikan yang Terengganu akan tampil lebih bertenaga dengan beberapa lagi muka baru yang dijangka disenaraikan untuk sekali lagi mara ke final dan sekali gus muncul juara pada edisi tahun depan," katanya.

Dalam pada itu, kejayaan skuad B-15 Kedah itu diteruskan oleh 'abang-abang' mereka yang turut merangkul kejuaraan kejohanan yang sama dalam kategori bawah 17 tahun (B-17) setelah menewaskan Pahang 2-1 pada perlawanan akhir.