Wednesday, December 23, 2009

Kedah azam hadiahkan trofi kemenangan kepada peminat


MAHFUZ (empat dari kiri) memberi kata-kata semangat kepada pemain Kedah yang akan menentang Perlis pada perlawanan akhir Puncak Piala Emas Raja-Raja ke-69 di Stadium Darul Aman, Alor Setar semalam.


PEMAIN Kedah yang beraksi pada final Kejohanan Bola Sepak Puncak Piala Emas Raja-Raja 2009 menjanjikan aksi terbaik sekali gus mahu menghadiahkan peminat mereka piala kemenangan itu pada aksi di Stadium Darulaman, Alor Setar Isnin depan.

Kemenangan itu yang mampu dicapai juga sebagai bonus pemain kepada peminat setia bola sepak Kedah sekali gus menutup tirai 2009 dengan kejayaan setelah hampa tanpa sebarang piala skuad Liga Super Kedah musim ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Melayu Kedah (PBSMK), Datuk Mahfuz Omar berkata, pengurusan tidak menjanjikan apa-apa insentif, namun berharap pemain boleh memberi bonus dengan memenangi piala itu.

Katanya, tawaran hadiah sebagai juara RM30,000 diharap menjadi pendorong kepada pemain untuk beraksi cemerlang sekali gus mengulangi kejayaan Kedah meraih piala itu pada 2005.

"Kita juga mahu muncul juara kerana mahu menghadiahkan kemenangan itu sempena keputeraan Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah Januari depan," katanya pada sidang media di pejabat persatuan itu di Alor Setar, semalam.

Pada final 2005 Kedah muncul juara setelah menewaskan Kelantan 2-1 pada aksi yang berlangsung di Kota Bharu.

Turut hadir Ketua Jurulatih, Mohamad Ramlee serta pemain.

Pada majlis itu pengurusan serta pemain turut menerima bonus berjumlah RM10,400 sebagai bonus melangkah ke perlawanan akhir kejohanan tersebut.

Dalam pada itu, penjaring utama pasukan, Mohd. Faizal Abu Bakar menjanjikan aksi terbaik dan berazam untuk menjaringkan gol sekali gus mencapai kemenangan untuk pasukan.

"Saya juga berharap dengan persefahaman dan kombinasi baik rakan sepasukan Kedah mampu meraih kemenangan," katanya yang menjaringkan enam gol sepanjang kejohanan itu.

Sementara itu, penjaga gol, Muhammad Al-Hafiz Hamzah pula berharap rakan-rakan dapat membentuk kerjasama berpasukan bagi menyekat gawang dibolosi pasukan lawan.

"Pemain jangan leka, tumpuan kepada perlawanan perlu diberi sehingga ke wisel penamat," katanya.

Seorang pemain berusia 18 tahun, Mohd. Arfan Rashid pula berharap kesungguhan dan semangat beraksi di gelanggang sendiri menjadi pendorong untuk berjaya.

"Diharapkan rakan-rakan dapat menyerap tekanan lebih-lebih lagi beraksi di tempat sendiri," katanya.

Selain wang tunai RM30,000 juara bakal membawa pulang piala pusingan manakala naib juara akan menerima wang tunai RM15,000.

Perlawanan akhir itu bermula 8.45 malam dengan tiket astaka utama dijual pada harga RM15, berbumbung (RM10) dan terbuka serta kanak-kanak (RM5).

Kedah mahu tebus kehampaan skuad utama

ALOR SETAR - Pasukan Piala Emas Raja-Raja Kedah mahu menjadikan perlawanan akhir menentang Perlis di Stadium Darul Aman, Isnin ini sebagai medan untuk menebus kehampaan sukan bola sepak negeri ini yang hambar sepanjang musim 2009.

Selepas 'abangnya', skuad Liga Super Kedah gagal mempamerkan aksi memberangsangkan sepanjang musim 2009, anak buah Mohamed Ramlee kini mahu memastikan kejuaraan dalam kejohanan yang pernah dimenangi Kedah sebanyak enam kali itu.

Presiden Persatuan Bola Sepak Melayu Negeri Kedah, Datuk Mahfuz Omar berkata, pentas perlawanan akhir di gelanggang sendiri Isnin ini memberi ruang dan peluang kepada para pemain untuk menebus maruah bola sepak negeri.

Justeru, katanya, pemain-pemain telah memberikan janji untuk mempamerkan persembahan terbaik mereka dalam usaha meraih kejuaraan ketujuh selepas kali terakhir memenanginya empat tahun lalu.

Katanya, ia sekali gus sebagai 'bonus' kepada peminat dan pasukan bola sepak utama Kedah yang kempunan untuk menikmati kejuaraan selepas dinobatkan juara treble berganda sebelum ini.

"Kita mahukan gelaran juara Piala Emas Raja-Raja Edisi ke-69 sebagai hadiah penutup tirai musim ini dan penyuntik semangat kepada pasukan Liga Super Kedah untuk mengharungi saingan tahun depan," katanya.

Beliau bercakap pada sidang media sempena persiapan Kedah menjelang perlawanan akhir berkenaan di sini semalam.

Pada majlis itu, para pemain dan jurulatih serta pengurus pasukan Piala Emas Raja-Raja Kedah turut diberikan bonus keseluruhan RM10,400 berikutan kejayaan melangkah ke perlawanan akhir piala tersebut.

Mahfuz berkata, pertandingan Puncak Piala Emas Raja-Raja merupakan platform terbaik untuk melahirkan pemain pelapis kepada skuad bola sepak utama Kedah memandangkan kebanyakan pemain berusia bawah 23 tahun.

Malah katanya, beberapa pemain juga telah dikenal pasti untuk diserapkan ke pasukan Piala Presiden Kedah.

Sehubungan itu, Mahfuz berkata, para peminat dan penyokong bola sepak negeri ini diminta hadir membanjiri Stadium Darul Aman Isnin bagi memberi sokongan padu kepada skuad berkenaan.

"Sokongan kepada pasukan ini turut bermakna memberi sokongan kepada perkembangan bola sepak Kedah secara keseluruhannya," ujar beliau. di sini

Monday, December 21, 2009

Kedah yakin rangkul Piala Emas


TENGKU Amir Shah (tengah) ditemani Rozali (dua dari kiri) serta Takiyuddin (kanan) bergambar bersama kapten Kedah, Amirul Nidzam Mahadzir (dua dari kanan) dan kapten Perlis, Adrien Jurad (kiri) memegang piala pada Majlis Penyerahan Piala Untuk Perlawanan Akhir Puncak Piala Emas Raja-Raja kali ke-69, di Shah Alam, semalam.

Mahu ulangi kejayaan 2005 pada final di tempat sendiri bertemu Perlis

KEDAH yakin dapat meneruskan rentak cemerlang sejak awal pertandingan untuk merampas kembali kejuaraan Puncak Piala Emas Raja-Raja yang pernah enam kali disandangnya, pada perlawanan penentu menentang negeri tetangga, Perlis di Stadium Darulaman, Ahad ini.

Keyakinan itu disuarakan Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Melayu Kedah (PBMK) yang juga wakil pengurus pasukan, Syed Ahmad Shukri Syed Abdullah, berdasarkan kekuatan pasukan dari segenap sisi yang diterajui kapten pasukan, Amirul Nizam Mahathir.

Selain itu, Kedah menyandarkan harapan tinggi kepada penyerang muda, Mohd Faizul Abu Bakar yang sudah menjaringkan lapan gol sepanjang kejohanan bagi membantu skuad hijau kuning itu menjadi juara.

“Kali terakhir kita menjadi juara ialah pada 2005 dan dengan kekuatan yang kita miliki sekarang, saya yakin pasukan Kedah akan membawa pulang kejuaraan yang dinanti-nantikan.

“Bermain di tempat sendiri pula pasti membakar semangat pemain untuk muncul juara,” katanya ditemui pada Majlis Penyerahan Piala Untuk Perlawanan Akhir Puncak Piala Emas Raja-Raja kali ke-69 di Shah Alam, petang semalam.

Majlis disempurnakan oleh Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Hadir sama, Pengerusi Eksekutif Puncak Niaga Holdings Berhad (PNSB) merangkap Penasihat Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBSMM), Tan Sri Rozali Ismail dan Pengerusi PBSMM, Datuk Takiyuddin Hassan.

Juara Puncak Piala Emas Raja-Raja 2009 akan menerima wang tunai RM30,000 berserta piala pusingan manakala naib juara, RM15,000.

Bagi kapten pasukan Perlis, C Adrien Jurad, dia dan pasukannya akan bermain bermati-matian untuk membawa kembali Piala Emas Raja-Raja yang pernah dimenangi pada 1993.

“Kami akan berusaha menjadi juara dan tidak akan menghampakan penyokong Perlis,” katanya.

Lebih 20,000 tiket akan dijual pada perlawanan kali ini dengan harga RM5, RM10 dan RM15.

Kedah yakin rampas semula trofi


Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah (tengah) menyerahkan Piala Emas Raja-Raja kepada Rozali Ismail (kiri) sambil diperhatikan oleh Takiyuddin Hassan pada majlis penyerahan piala tersebut di Shah Alam, semalam.


SHAH ALAM – Kedah yakin dapat merampas kembali Piala Emas Raja-Raja yang pernah dimenanginya sebanyak enam kali apabila menentang Perlis pada perlawanan akhir di Stadium Darul Aman, 28 Disember ini.

Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Melayu Kedah (PBMK), Syed Ahmad Shukri Syed Abdullah berkata, keyakinan itu berdasarkan prestasi pasukan yang cemerlang sepanjang kempen kejohanan ini.

Beliau berkata, selain kapten pasukan, Amirul Nizam Mahathir, Kedah menyandarkan harapan besar kepada penyerang mudanya, Mohd. Faizul Abu Bakar yang telah menjaringkan lapan gol sepanjang kejohanan berlangsung bagi membantu skuad hijau kuning itu menjadi juara.

‘‘Kali terakhir kita menjadi juara ialah pada 2005 dan dengan keadaan kita sekarang, saya yakin pasukan Kedah akan membawa pulang kejuaraan.

‘‘Apatah lagi kita bermain di tempat sendiri pastinya semangat untuk bangkit menyambung tradisi kecemerlangan akan lebih lagi,” katanya yang ditemui pada majlis penyerahan Piala Emas Raja-Raja kali ke-69 di sini, semalam.

Majlis disempurnakan oleh Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Hadir sama ialah Pengerusi Eksekutif Puncak Niaga merangkap Penasihat Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia (PBSMM), Tan Sri Rozali Ismail dan Pengerusi PBSMM, Datuk Takiyuddin Hassan.

Juara Puncak Piala Emas Raja-Raja 2009 akan menerima RM30,000 berserta piala pusingan sementara naib juara akan membawa pulang RM15,000.

Sementara itu, Amirul Nizam ketika ditemui turut melahirkan keyakinan yang pasukannya dapat menumpaskan Perlis 2-1 pada pertemuan akhir nanti.

‘‘Kami punya kelebihan kerana mempunyai gabungan pemain lama yang terdiri bekas pemain Liga Super dan baru selain sokongan dan tunjuk ajar jurulatih kami, Mohamad Ramlee.

‘‘Bagaimanapun kami tidak memandang rendah kebolehan skuad Singa Utara kerana mereka juga tidak kurang hebatnya,” tambah beliau yang mengharapkan sokongan padu peminat bola sepak sepak Kedah.

Bagi kapten pasukan Perlis, Adrien Jurad a/l Chamrong, beliau dan pasukannya akan bermain bersungguh-sungguh untuk membawa kembali Piala Emas Raja-Raja yang pernah dimenangi pada tahun 1993.

‘‘Kami akan berusaha untuk menjadi juara dan tidak akan menghampakan penyokong Perlis,” ujarnya.

Dalam pada itu, Rozali ketika bercakap pada sidang akhbar yakin perlawanan pukul 8.30 malam di Stadium Darul Aman nanti menyaksikan kehadiran lebih 20,000 penonton yang terdiri daripada peminat bola sepak kedua-dua pasukan.

Beliau berkata, Puncak Niaga akan menaja sejumlah tiket percuma untuk sekolah-sekolah terpilih di Kedah dan Perlis selain membawa 100 ahli Pasukan Briged Penyelamat Sungai Puncak Niaga dari Selangor untuk menonton perlawanan di Kedah.

‘‘Kita juga akan menghantar jemputan kepada baginda Sultan Kedah dan Raja Perlis untuk menyaksikan perlawanan ini,” katanya.

Lebih 20,000 tiket akan dijual untuk perlawanan kali ini pada harga RM5, RM10 dan RM15.

Thursday, December 17, 2009

Sejarah tercipta




VIENTIANE – Malaysia mencatat sejarah menjuarai acara bola sepak Sukan SEA XXV selepas 20 tahun apabila mengalahkan Vietnam 1-0 pada perlawanan akhir di Stadium Utama Kompleks Sukan Nasional Laos di sini, semalam.

Jaringan sendiri pemain pertahanan Vietnam, Mai Xuan Hop pada minit ke-83 ketika cuba menahan serangan Malaysia memberikan anak buah K. Rajagobal kejuaraan pertama selepas kali terakhir melalukannya pada Sukan SEA 1989 di Kuala Lumpur.

Emas acara bola sepak semalam merupakan pingat emas ke-40 buat kontinjen negara semalam.

Untuk rekod, kali terakhir Malaysia mara ke perlawanan akhir acara bola sepak Sukan SEA ialah pada 2001 di Kuala Lumpur tetapi kalah 1-0 kepada Thailand menerusi gol masa tambahan.

Ini merupakan kali pertama Malaysia mengalahkan Vietnam sejak 2001 pada semua peringkat kejohanan Asia Tenggara termasuk Piala Tiger.

Kemenangan semalam turut menebus kehampaan setelah kalah kepada Vietnam 3-1 pada perlawanan peringkat kumpulan.

Vietnam yang turun selaku pasukan pilihan memulakan asakan sejak awal perlawanan, namun skuad negara kental bertahan daripada dibocori.

Malaysia bangkit memberi saingan dengan asakan kemas dengan kemasukan Zaquan Adha Abdul Razak, yang pulih daripada masalah mata di babak kedua.

Hantaran silang Norshahrul Idlan Talaha ditahan oleh pemain pertahanan Vietnam sehingga masuk ke gawang sendiri, yang memberikan jaringan kemenangan kepada Malaysia pada minit ke-83.

Mengulas kemenangan bersejarah itu, Rajagobal berkata, dia amat gembira kerana berjaya memberikan kemenangan acara bola sepak Sukan SEA selepas 20 tahun menanti.

Katanya, dia bangga dengan semangat dan kesungguhan pemain di sepanjang perlawanan sehingga berjaya menjelmakan kejayaan yang dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat Malaysia.

“Kemenangan ini amat besar maknanya bagi saya. Saya amat gembira kerana kami akhirnya berjaya juga memberikan kemenangan yang kita sama-sama nantikan sejak sekian lama.

“Pujian harus perlu diberikan kepada para pemain yang memberikan segala-galanya di atas padang demi merealisasikan impian kita selama ini.

“Kemenangan ini adalah untuk rakyat Malaysia. Lebih penting emas yang kita menangi ini diharap akan mengangkat kembali martabat bola sepak Malaysia,” katanya. – UTUSAN

Saturday, December 12, 2009

Piala emas : Kedah Seri di Singapura

Kedah mencatatkan keputusan seri 1 - 1 dengan Singapura dalam perlawanan separuh akhir pertama yang berlangsung malam tadi.

Singapura mendahului pada minit 51 menerusi jaringan Nazri Nasir. Kedah menyamakan kedudukan pada minit ke 70 melalui Mohd Faizal Abu Bakar.

Kedah akan menanti kunjungan Singapura pada 19 Disember ini untuk separuh akhir kedua di Stadium Darulaman, Alor Setar.

Friday, December 11, 2009

Mencari persafahaman

ALOR SETAR - Pasukan Kenari kini memantapkan lagi pemainnya dengan mengadakan perlawanan persahabatan yang dapat membantu pasukan itu mencari rentak permainan yang baik.

Ketua Jurulatih negeri, Ahmad Yusoff berkata, apa yang lebih diutamakan pada perlawanan persahabatan ini adalah untuk mencari kesefahaman dalam kalangan pemain yang akan membantu pasukan Kedah pada Liga Malaysia nanti.

Menurutnya, Kedah telah mengadakan perlawanan persahabatan dengan Perlis di Stadium Darul Aman, kelmarin dan berjaya menewaskan pasukan lawan dengan 2-0.

“Selepas bertemu Perlis, kita dijadualkan akan bertemu dengan pasukan lain seperti Selangor, kita yakin melalui perlawanan ini pemain akan dapat membaca corak permainan rakan pasukan.

“Apa yang saya lihat semasa pasukan itu berentap dengan Perlis kelmarin, pemain menunjukkan rentak permainan yang baik namun pada perlawanan ini kita tidak pentingkan kemenangan,” katanya.

Ahmad berkata, walaupun terdapat tiga orang pemain baru di dalam pasukan Kedah, namun mereka dapat memberi komitmen yang baik kepada pasukan dengan menunjukkan rentak serta persefahaman permainan yang bagus.

Beliau berkata, perlawanan persahabatan ini juga dijadualkan diteruskan sehinggalah musim depan bermula dan diharapkan dengan adanya perlawanan ini Kedah bakal merampas kembali kejuaraan yang pernah mereka rangkul dahulu.

Malaysia mara ke separuh akhir




VIENTIANE, Laos - Sebelum ini, ramai yang tidak meletakkan harapan tinggi buat skuad bola sepak negara melangkah ke pusi- ngan separuh akhir temasya Sukan SEA XXV.

Bagaimanapun, anak-anak buah K. Rajagobal mendiamkan seketika mulut pengkritik mereka apabila berjaya ke separuh akhir selepas menumbangkan gergasi Asia Tenggara yang juga penyandang juara, Thailand 2-1 pada aksi terakhir Kumpulan A di Stadium Utama, Kompleks Sukan Nasional semalam.

Lebih manis, kejayaan yang dilakar skuad negara itu sekali gus menyaksikan Thailand tersingkir buat kali pertama ke saingan sepa- ruh akhir Sukan SEA dalam tempoh 36 tahun sejak 1973.

"Inilah bola sepak. Pasukan pilihan juga boleh ditumbangkan. Apa yang penting, setiap pasukan harus mempunyai tahap keyakinan yang tinggi untuk menumbangkan lawan mereka. Buktinya, kami telah berjaya menewaskan Thailand dan seterusnya layak ke separuh akhir.

"Saya berpuas hati dengan komitmen yang ditunjukkan oleh pemain-pemain saya sepan- jang perlawanan ini berlangsung. Mereka sedikit pun tidak menunjukkan tanda-tanda patah semangat sekalipun pada satu ketika, kami ketinggalan satu gol. Saya puji semangat mereka yang tidak pernah kenal erti putus asa," kata Rajagobal pada sidang media sele- pas tamat perlawanan semalam.

Rajagobal menambah, semangat juang yang tinggi serta kerjasama berpasukan menjadi antara kunci utama kejayaan anak-anak buahnya menumbangkan skuad kendalian Steve Darby itu.

"Anda sendiri boleh lihat bagaimana pemain saya beraksi hari ini (semalam). Mereka tidak jemu-jemu mengasak Thailand bagi memburu gol. Sikap seperti ini yang saya tuntut daripada setiap pemain sebelum perlawanan berlangsung. Akhirnya mereka telah membuktikan kepada saya bahawa mereka mampu melakukannya.

"Pasukan yang beraksi dengan baik akan keluar sebagai pemenang dan pemain saya telah membuktikan bahawa mereka sememangnya berhak untuk meraih kemenangan dalam perlawanan ini," jelasnya.

Pada aksi semalam, Thailand terlebih dahulu membuka jaringan menerusi sepakan percuma Arthit Sunthorphit pada minit ke-52.

Biarpun ketinggalan, semangat anak-anak buah Rajagobal dilihat tidak pernah luntur, sebaliknya terus mengasak lawan bagi memburu gol penyamaan.

Ternyata percaturan Rajagobal memasukkan Azmi Muslim bagi menggantikan pemain pertahanan, Mohd. Sabree Abu pada minit ke-62 berjaya mengubah tempo permainan.

Kemasukan Azmi mula menampakkan sengat di bahagian sayap kiri.


RAJAGOBAL (kanan) memeluk pemainnya selepas pasukan Malaysia mencatat kemenangan 2-1 ke atas Thailand di Stadium Utama, Kompleks Sukan Nasional, Laos semalam.


Hasilnya, skuad negara memperoleh gol penyamaan pada minit ke-80 selepas pemain pertahanan, Mohd. Nasriq Baharom menyudahkan hantaran lintang Azmi.

Gol penyamaan itu telah membangkitkan semangat barisan pemain negara untuk terus menambah gol.

Akhirnya, gol 'keramat' yang dicari-cari terjelma pada masa kecederaan apabila gerakan menarik Norshahrul Idlan Talaha berjaya disempurnakan oleh Ahmad Fakri Saa- rani.

"Kami beraksi dalam perlawanan ini tanpa sebarang tekanan. Sepatutnya, kami mampu menjaringkan tiga gol pada separuh masa pertama menerusi gerakan serangan balas.

"Tetapi pemain serangan saya gagal menyempurnakan peluang itu dengan baik.

"Bagaimanapun, saya tetap berasa gembira kerana pada separuh masa kedua, kami beraksi dengan lebih baik sehingga mampu menjaringkan dua gol pada 10 minit terakhir per- lawanan," kata Rajagobal.

Rujuk di sini

Sukan Sea: Kejutan anak buah Rajagobal


PEMAIN Malaysia merai detik gemilang selepas Ahmad Fakri meledak gol kemenangan 2-1 ke atas Thailand petang semalam.

Singkir juara lapan kali berturut-turut untuk ke separuh akhir

TANGISAN bukan milik Malaysia apabila skuad negara gah menempah tiket mara ke separuh akhir selepas menyingkirkan juara lapan kali berturut-turut, Thailand 2-1 pada aksi terakhir Kumpulan A di Stadium Utama, Kompleks Sukan Nasional Laos, petang semalam.

Ketika segalanya ibarat sudah ternoktah, apabila Thailand menjaringkan gol pendahuluan pada minit ke-53, anak buah K Rajagobal menjelmakan kebangkitan luar biasa dengan dua jaringan dalam tempoh 10 minit terakhir untuk menebus kehampaan dua tahun lalu di Korat.

Kejayaan itu menjamin pertemuan dengan tuan rumah, Laos, Isnin ini, ketika Thailand dipaksa pulang berduka selepas rekod 36 tahun tidak pernah gagal mara ke peringkat empat terakhir itu, akhirnya dileburkan.

"Hari ini, pasukan yang lebih baik menang dan pasukan itu adalah Malaysia. Saya amat gembira untuk pemain saya. Mereka tidak pernah mengalah biarpun ketinggalan. Saya bangga kerana mereka membuktikan punya kemampuan bangkit biar pun dalam situasi sesukar ini," kata Rajagobal sebaik tamat perlawanan.

Sememangnya pada peringkat mula, segalanya menuding ke arah pintu keluar. Malaysia perlukan kemenangan ketika Thailand hanya mencari seri untuk melangkah.

PEMAIN negara meraikan kejayaan luar dugaan mereka selepas mengejutkan juara lapan kali berturut-turut, Thailand 2-1.

Petanda bahaya terjelma seawal minit keenam, apabila Ahmad Sharbinie Allawee berdepan situasi satu lawan satu dengan Sompong Soleb. Rembatan deras dijelmakan lawan, namun Sharbinie kemas mendakapnya.

Dua kesempatan dimiliki skuad negara pada babak pertama � kedua-duanya menerusi gerak serang balas pantas. Sayangnya, Safiq Rahim tertampan sipi umpanan silang Norshahrul Idlan Talaha ketika Shahrul kemudian lambat menolak bola umpanan Safiq untuk benteng lawan cepat mengeluarkannya.

Minit ke-53, apa yang dibimbangkan bertukar menjadi nyata. Daripada sepakan percuma sedikit di luar kawasan penalti, Arthit Sunthorphit melencongkan bola cantik terus menerjah jaring tanpa Sharbinie mampu berbuat apa-apa.

Tetapi kemasukan Mohamad Azmi Muslim kemudiannya menyuntik kebangkitan apabila benteng lawan kerap kali dipaksa berundur. Hasil gerak balas pantas pada minit ke-81, lintangan pemain itu yang berlalu di hadapan pintu gol Thailand disambut Nasriq Baharom untuk mengikat kedudukan.

Selepas itu, Malaysia terus mengasak tanpa kenal erti mengalah. Dua minit pada masa kecederaan, usaha itu dibalas gol kemenangan Ahmad Fakri Saarani yang menghulur kaki untuk menyambung umpanan Norshahrul terus ke sasaran.

Kesebelasan Thailand rebah kecewa, diiringi tangisan, ketika seluruh pemain negara melonjak gembira apabila manisnya kejayaan berjaya direalitikan.

Rujuk di sini

Tuesday, December 8, 2009

Pasukan Liga Super 2010

awatankuasa Pertandingan Tempatan FAM telah bermesyuarat baru-baru ini.14 pasukan telah disahkan bertanding di liga super dan 12 di liga perdana.

Perlawanan Liga Super dijadualkan bermula pada 9 Januari 2010.Jawatankuasa Pertandingan FAM menetapkan tarikh akhir perndaftaran pemain pada 19 Disember ini.

Pasukan Liga Super yang dikeluarkan FAM:

1.Selangor
2.Perlis
3.Kedah
4.Johor FC
5.Terengganu
6.Kelantan
7.Plus FC
8.Negeri Sembilan
9.PERAK
10.Pulau Pinang
11.T.Team(Terengganu)
12.Johor
13.Kuala Lumpur
14.Harimau Muda (A)

Sebentar tadi di Ipoh telah berlaku upacara perjanjian antara wakil PAFA melalui DS Nizar dengan pemain. Difahamkan 20 orang pemain telah menandatangani perjanjian untuk mewakili Perak.Antaranya termasuk Razali Umar.Megat Amir,Nantahakumar,Arif Ismail(Negeri Sembilan)dan Shafuan Adli(T-team)

Monday, December 7, 2009

Piala emas : Kedah Mara Ke Separuh Akhir

Kedah melangkah ke peringkat separuh akhir dalam persaingan merebut Piala Emas Raja-Raja siri ke-69 apabila menewaskan Kelantan menerusi sepakan penalti.


Kedua-dua pasukan terikat 2-2 selepas tamat masa permainan sebenar dan berlarutan ke masa tambahan. Selepas 120 minit bertarung, penjaga gol Kedah, Mohd Al-Hafiz menjadi wira hijau kuning apabila menggagalkan dua sepakan penalti pemain Kelantan.

Kedah mendahului seawal minit ke-3 apabila tandukan Chun Keng Hong gagal diselamatkan penjaga gol Kelantan, Halim Napi.

Kelantan menyamakan kedudukan tiga minit kemudian sebelum Kedah mendahului semula melalui jaringan Mohd Faizal Abu Bakar pada minit ke-35.

Pasukan pelawat menyamakan kedudukan pada separuh masa kedua sebelum pemain Kedah, Mohd Sany Mat Isa diperintahkan keluar padang. Kelantan gagal memanfaatkan keadaan untuk menambahkan jaringan ketika Kedah bermain sepuluh orang.

Kedudukan terus terikat sehingga tamat permainan sebenar. Pada masa tambahan, seorang pemain Kelantan diberikan kad merah dan kedua-dua pasukan gagal menjaringkan gol sehingga permainan masa tambahan berakhir.

Kedah akan bertandang ke Singapura untuk perlawanan separuh akhir pertama pada 12 Disember ini.

Thursday, December 3, 2009

Piala emas : Kedah Sedia Hadapi Kelantan

lor Setar - Penyokong Kedah diminta penuhi Stadium Darul Aman pada malam Sabtu (5 Disember) ini bagi memberi sokongan semangat kepada pasukan hijau kuning yang menerima kunjungan pasukan Kelantan pada perlawanan suku akhir kedua Piala Emas Raja-Raja.

Bendahari Persatuan Bola Sepak Melayu Kedah, Zulkifli Ismail berkata, sokongan itu mampu bagi menyemarakkan semangat pemain Kedah untuk beraksi dengan lebih baik.

Menurutnya, kehadiran penyokong Kedah itu mampu melonjakkan semangat pemain yang berazam untuk mengembalikan keyakinan penyokong negeri ini terhadap mereka selepas kecewa dengan persembahan semasa Liga Super.

Menurutnya, pasukan Piala Emas Raja-raja Kedah berazam untuk membawa pulang piala tersebut untuk penyokong-penyokong mereka bagi mengembalikan sokongan mereka terhadap pasukan hijau kuning.

“Kami mengharapkan kedatangan semua penyokong hijau kuning untuk membanjiri Stadium Darul Aman bagi memberi sokongan padu kepada barisan pemain kita bagi menghadapi Kelantan pada malam Sabtu ini, pasti menjanjikan satu perlawanan yang sangat sengit,” katanya kepada Sinar Harian.

Barisan pemain Piala Emas Raja-raja Kedah akan diperkuatkan oleh lima pemain dari Liga Super iaitu Mumahad al-Hafiz Hamzah, Mohd Fazliata Taib, Mohd Faizal Abu Bakar, Muhamad Shafiq Jamal dan Chun Keng Hong.

Zulkifli berkata, pasukan di bawah kendalian Ketua Jurulatih, Mohamad Ramlee sudah bersedia dari segi mental dan fizikal bagi menghadapi Kelantan selepas mereka seri dengan pasukan itu pada pertemuan suku akhir pertama pada 30 November lalu.

“Kami percaya Ketua jurulatih, Mohamad Ramlee sudah memberi yang terbaik di dalam merencanakan pasukan ini dan sekarang menjadi tanggungjawab penyokong untuk hadir menyemarakkan semangat pemain-pemain kedah,” katanya.

Menurutnya, tiket perlawanan boleh didapati seawal jam 5 petang pada Sabtu dan bayaran untuk tiket astaka utama ialah RM10 dan terbuka ialah RM5.

Monday, November 30, 2009

Suku Akhir Piala Emas Raja-raja

inga Selatan rantai PDRM


ANTARA aksi menarik pada perlawanan suku akhir pertama antara PDRM (jersi biru) dengan Singapura di padang Pulapol petang semalam.





POLIS Diraja Malaysia (PDRM) gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri setelah seri 1-1 dengan Singapura di Padang Pulapol, Jalan Semarak pada saingan suku akhir pertama Puncak Piala Emas Raja-Raja 2009 petang semalam.

Malah PDRM gagal menggunakan kelebihan berdepan lawan yang beraksi hanya sembilan pemain pada 20 minit terakhir perlawanan.

Biarpun PDRM memperagakan corak permainan kemas yang diterajui pemain Liga Super yang bertindak selaku kapten pasukan, Mohd. Fauzi Abdul Majid, namun ketumpulan jentera serangan menyaksikan beberapa peluang awal berakhir begitu sahaja.

Manakala Singapura yang diperkuatkan enam bekas pemain kebangsaan, Rafi Ali, Nazri Nazir, Mohd Mardani, Dalis Supait, Ali Imran Omar dan Nahar Daud, dilihat menggunakan taktik serangan balas pantas bagi memecah benteng kebal PDRM.

Bagaimanapun pada minit ke-36, penjaga gol Singapura, Riduan Barudin dilayangkan kad merah oleh pengadil Mohd. Yusof Mohd. Karim setelah mengasari penyerang PD- RM, Mohd. Ariff Azhar.

Sungguhpun beraksi dengan 10 pemain, rentak permainan Singapura masih mampu menggugat benteng pertahanan PDRM.

Akhirnya pada minit ke-45, berpunca daripada gerakan sebelah kiri di luar kawasan penalti PDRM, Nazri Nasir melepaskan rembatan kencang yang gagal diselamatkan oleh penjaga gol PDRM, Nur Hisham Hashim.

Tempo PDRM semakin kemas pada separuh masa kedua dan hasil- nya pada minit ke-58, Khairul Izuan Abdullah menjaringkan gol penyamaan PDRM.

Pertemuan suku akhir kedua di antara kedua-dua pasukan akan berlangsung pada Sabtu ini di Stadium Jalan Besar, Singapura.

Sementara itu, di Stadium Utama Negeri, Kangar petang semalam, Perlis turut gagal menggunakan kelebihan di gelanggang sendiri setelah seri 2-2 dengan ATM.

Perlis mendahului 2-0 melalui dua jaringan Mohd Faiz Subri pada minit ke-20 dan 59.

ATM merapatkan kedudukan pada minit ke-72 hasil jaringan sendiri Somchat Narong sebelum Badrol Hisham Sopian menyamakan kedudukan buat ATM pada minit ke-76.

Di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu malam tadi pula, Kelantan dan Kedah terikat tanpa jaringan pada aksi yang berlangsung di atas padang licin dan hujan renyai-renyai.

Kelantan memiliki beberapa peluang terbaik terutama menerusi penyerang utama mereka, Azlan Ismail tetapi gawang Kedah tetap gagal dibolosi sehingga tamat perlawanan.

Manakala di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin malam tadi, Johor mendapat bekalan selesa apabila berjaya menewaskan Kuala Lumpur 3-1.

Sunday, November 29, 2009

Kenari Bangkit

ALOR SETAR- Skuad Kenari mengadakan latihan bagi memperlengkapkan diri pemain dengan teknik sepakan yang betul bagi memastikan kejuaraan Liga Malaysia musim depan adalah milik Kedah.

Ketua Pasukan Bola sepak Kedah, Victor Andrag berkata, pasukan ini telah memulakan latihan sejak tiga bulan yang lalu iaitu enam hari seminggu dengan menekankan aspek stamina dan fizikal.

Menurutnya, latihan yang dijalankan itu juga adalah latihan yang biasa dijalankan sebelum ini namun aspek tersebut amat ditekankan oleh jurulatih pasukan, Ahmad Yusof agar pemain dapat mengekalkan stamina dalam diri mereka.

“Latihan yang dijalankan sama seperti sebelum ini namun kedua aspek itu lebih ditekankan setiap kali latihan kerana stamina dan fizikal amatlah penting bagi memastikan pemain tidak akan hilang fokus sewaktu beraksi nanti.

“Walaupun latihan kali ini dijalankan bersama jurulatih baru namun semua pemain tidak mempunyai masalah dengan latihan yang diberikan oleh beliau,” katanya.

Victor berkata, pasukan Kedah juga tidak ada masalah sewaktu menjalani latihan bersama jurulatih baru kerana latihan yang dijalankan masih lagi sama dengan latihan yang dijalankan oleh jurulatih terdahulu, Mohd Azraai Khor Abdullah.

Sementara itu, beliau berkata, pasukan Kedah yang baru memenangi anugerah Pasukan Legenda Negeri Kedah pada majlis Malam Persatuan Bola sepak Kedah (KFA) telah memberikan satu suntikan baru kepada pasukan itu.

Victor berkata, anugerah yang diperoleh oleh pasukan itu merupakan hasil kemenangan yang diperoleh pada 2007 dan 2008 itu juga mampu meningkatkan semangat pasukan itu menjuarai Liga Malaysia musim depan.

Monday, November 2, 2009

Saya sudah sedia kemudi Kedah - Ahmad Yusof

ALOR SETAR - Teka teki mengenai siapa yang bakal mengemudi skuad bola sepak Kedah akhirnya terjawab apabila bekas jurulatih Pahang, Ahmad Yusof secara rasmi dilantik sebagai ketua jurulatih yang baru berkuat kuasa semalam.

Jurulatih berusia 49 tahun itu mengikat kontrak selama setahun bersama Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) bagi menggantikan Mohd. Azraai Khor Abdullah yang meninggalkan Sang Kenari untuk membimbing pasukan Harimau Muda mengharungi saingan Liga Malaysia musim depan.

Meskipun menyedari berdepan dengan tugas berat, namun Ahmad menyatakan dia sudah sedia sepenuhnya mengambil alih jawatan itu daripada Mohd. Azraai di sebalik harapan menggunung yang disandarkan terhadapnya.

Katanya, dia menyasarkan untuk membantu Kedah mengulangi kejayaan gemilang memenangi tiga piala seperti yang dikecapi pada musim 2007 dan 2008.

"Apabila bersetuju menerima tugas ini, saya tahu tiada pilihan lain kecuali memberi yang terbaik untuk membimbing sebuah pasukan elit seperti Kedah.

"Dengan barisan pemain dan kerjasama daripada pihak pengurusan serta penolong-penolong jurulatih, insya-Allah Kedah akan kembali pada landasan yang diharapkan," katanya pada majlis menandatangangi kontrak bersama KFA di sini semalam.

Hadir pada majlis itu ialah Timbalan Presiden KFA, Datuk Paduka Syed Unan Mashri Syed Abdullah; Setiausaha Kehormat KFA, Dr. Hamdan Mohamed Khalib dan pengurus pasukan, Datuk Khazali Din.

Pada majlis itu, KFA turut mengumumkan pengguguran lima pemain daripada skuad Hijau Kuning pada musim depan iaitu Rafiz Abu Bakar; Mohd. Afif Amiruddin; Mohd. Azrul Ahmad; Manopasak Kram dan Mohd. Nazmi Baharom.

Mengenai kemasukan pemain baru, Ahmad yang pernah menjadi ketua pasukan kebangsaan pada sekitar tahun 90-an berkata, keutamaan ialah untuk mencari penyerang bagi mempertajamkan sentuhan penyudah skuad Sang Kenari.

Dalam pada itu, Syed Unan berkata, pemilihan Ahmad sebagai jurulatih dibuat selepas namanya dicadangkan oleh pengurus dan penolong jurulatih Kedah yang percaya dia calon terbaik untuk mengisi jawatan tersebut.

Ditanya tempoh kontrak selama setahun yang mungkin tidak cukup bagi Ahmad membentuk pasukan, beliau berkata, KFA akan menilai prestasi ketua jurulatih baru itu daripada segenap sudut sebelum mempertimbangkan keputusan seterusnya pada akhir musim.

Mengenai KFA kemungkinan akan melantik seorang penasihat bagi memantapkan pengurusan pasukan Kedah, Syed Unan berkata, persatuan itu belum membuat keputusan terhadap cadangan berkenaan.

UTUSAN MALAYSIA 3 November 2009

Friday, October 16, 2009

Sapa nak ganti Azraai Khor???

Kini Mohd Azraai Khor Abdullah sah meninggalkan pasukan Kedah dan khabarnya sedang menuju ke Kelana Jaya untuk membimbing pasukan Harimau Muda yang bakal beraksi dalam Liga Super pada musim 2010. Persoalannya kini ialah siapakan nanti yang bakal mengisi kerusi panas tersebut untuk membimbing sang Kenari dalam kempen Liga Super 2010?

Berdasarkan kepada rekod, terdapat 5 jurulatih yang memiliki Lesen Kejurulatihan A Persatuan Bolasepak Malaysia. Mereka ialah Hj Ahmad Shafie, Mosthakeen Omar, Azman Yusoff, P.Ganasamoorthy dan Fisol Razak. Dari senarai 5 jurulatih tersebut, hanya P.Ganasamoorthy yang belum pernah membimbing pasukan utama negeri manakala 4 yang lain pernah menjadi jurulatih Hijau Kuning.

Hj Ahmad Shafie mengemudi Kedah ke 3 perlawanan akhir Piala Malaysia (1987-1989) dan memenangi pingat emas bersama pasukan kebangsaan di Sukan SEA 1989. Mosthakeen Omar melatih sang Kenari pada tahun 1995-1997 dan berjaya memenangi Piala FA selain pernah menjadi penolong jurulatih skuad Olimpik negara. Fisol Razak menjadi jurulatih Kedah pada 1998. Azman Yusoff pula satu-satunya jurulatih yang berjaya di peringkat antarabangsa dengan membimbing kelab DPMMFC Brunei menjuarai Liga Brunei (2003), naib juara Liga Vietnam bersama kelab Dong Tham FC (2004) sebelum menjadi jurulatih kelab Proton (2004), TNB Kelantan (2005-2006) dan memenangi pingat perak di Sukan Universiti ASEAN 2008.

Apakah ada di antara mereka ini yang bakal dipertanggungjawabkan untuk membimbing skuad Kenari atau apakah mungkin jurulatih dari luar Kedah atau luar negara diberi kepercayaan untuk mengembalikan reputasi yang tercalar?

Biarlah Azraai Pergi...


Azizan yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) bagaimanapun berkata, pihaknya akan mengkaji surat peletakan jawatan Mohd Azraai terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan sama ada menerima atau menolak peletakan jawatan jurulatih itu.

Sementara itu, pengurus pasukan Kenari, Datuk Khazali Din berkata, beliau tidak akan memaksa Mohd Azraai meneruskan khidmatnya jika jurulatih itu sudah hilang minat dan semangat untuk berbuat demikian.

“Dalam perkara ini, kita tidak boleh memaksa jika dia sudah tidak berminat. Saya katakan begini kerana keadaan mungkin tidak akan menjadi lebih baik jika dia kembali kepada pasukan dalam keadaan tidak bersemangat dan tidak ada komitmen,” katanya.

Menurutnya, beliau mahukan seorang jurulatih yang mampu memberikan komitmen sepenuhnya kepada pasukan Kedah .

“Saya tidak rasa Azraai letak jawatan sebab kekalahan Kedah tetapi saya rasa, mungkin dia sudah rasa tidak selesa untuk terus membimbing skuad Kenari .

“Bagi saya, kekalahan adalah perkara biasa dalam perlawanan, kadang-kadang berhasil, kadang-kadang tidak berhasil. Jadi jangalanlah jadikan alasan kekalahan itu untuk meletak jawatan,” katanya.

Khazali berkata, beliau hanya menerima keputusan yang dibuat oleh Mohd Azraai dan beliau tidak akan memaksa jurulatih itu untuk kembali kepada skuad Kenari

Semalam, Mohd Azraai menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai ketua jurulatih Skuad Kenari berikutan kegagalan pasukan Kedah layak ke suku akhir Piala Malaysia musim ini.

Azraai tinggalkan Kedah


ALOR SETAR - Selepas hampir enam tahun bersama pasukan bola sepak Kedah, jurulatih, Mohd. Azraai Khor Abdullah semalam secara rasmi meninggalkan Sang Kenari untuk membimbing pasukan Harimau Muda mengharungi saingan Liga Super musim depan.

Jurulatih berusia 57 tahun yang menjadi watak penting membantu Hijau Kuning meraih gelaran treble berganda Liga Malaysia itu menyerahkan surat peletakan jawatannya sebagai ketua jurulatih kepada Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Dr. Hamdan Mohamed Khalib semalam.

Keputusan itu antara lain dipercayai berpunca daripada prestasi hambar Kedah dalam saingan Liga Malaysia 2009 selain didakwa kecewa kerana tidak mendapat sokongan sepenuhnya pengurusan ketika mengendalikan skuad Hijau Kuning musim ini.

Mohd. Azraai memberitahu, dia akan mengendalikan skuad bawah 21 kebangsaan sedia ada iaitu juara Liga Perdana musim ini, Harimau Muda, mulai 1 November ini selepas menerima tawaran daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Jurulatih yang sinonim dengan skuad Hijau Kuning itu berkata, perasaannya bercampur baur antara sedih, hiba dan akan merindui pasukan Kedah tetapi berdasarkan perkembangan semasa termasuk mendakwa tidak mendapat sokongan sewajarnya, membuatkan dia tidak berminat untuk menyambung kontrak bersama Sang Kenari.

"Saya menerima panggilan daripada wakil FAM tengah hari ini (semalam) mengenai tawaran itu dan surat pengesahan akan dihantar kemudian.

"Dengan situasi semasa yang berlaku, saya tidak berminat untuk menyambung kontrak dengan Kedah dan telah menghantar surat memohon dilepaskan daripada jawatan,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Mohd. Azraai yang mula membimbing Kedah sejak 2004 membantu pasukan itu menjuarai Liga Perdana pada musim 2005/2006, kemudian mencipta sejarah apabila muncul sebagai juara treble berganda Liga Malaysia dua musim berikutnya.

Menurutnya, dia telah membuktikan keupayaannya sebagai jurulatih dalam saingan domestik dan sekarang merupakan masa terbaik baginya untuk berbakti kepada negara dengan menghulurkan pengalaman membimbing skuad Harimau Muda.

"Sudah tiba masanya bagi saya untuk berusaha menghulurkan sumbangan pengalaman kepada skuad bola sepak negara khususnya dalam membangunkan bakat pemain-pemain muda,'' katanya.

Mengakui masih sayang dengan pasukan Kedah, Mohd. Azraai berkata, dia berharap Sang Kenari akan mendapat pengganti yang lebih baik dan mendoakan kejayaan itu pada musim-musim akan datang.

"Fokus saya kini ialah untuk membimbing pasukan Harimau Muda yang akan beraksi dalam saingan Liga Super musim depan. Pada masa sama, saya perlu berusaha mengembangkan bakat-bakat pemain muda dalam skuad itu kerana ia merupakan pelapis sukan bola sepak negara,'' katanya.

Utusan Malaysia 16 Oktober 2009

Azraai tinggalkan skuad Hijau Kuning


Bosan karenah pegawai KFA, pilih kendali Harimau Muda bagi Liga Malaysia musim depan

BOSAN dengan karenah pegawai Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), jurulatih skuad Hijau Kuning, Mohd Azraai Khor Abdullah, akhirnya meletak jawatannya dan memilih menjadi pengendali pasukan Harimau Muda pada Liga Super musim depan.

Menurut Azraai, dia sudah tidak tahan dengan pegawai tinggi KFA yang gagal memberi kerjasama, sehingga memaksanya mengambil keputusan drastik itu.

“Saya sudah memberikan surat peletakan jawatan saya kepada Dr Hamdan Mohd Khalib (Setiausaha KFA) dan turut menyatakan sebab-sebab saya menarik diri sebagai jurulatih Kedah.

“Saya dibawa oleh arwah Datuk Ahmad Basri (Akil) dari Kelantan untuk membangunkan skuad Kedah menjadi pasukan yang digeruni dan berjaya dan saya puas hati setelah berjaya melakukannya.

“Namun ketika ini, saya gagal mendapat kerjasama dari pegawai KFA dan ini menyukarkan tugas saya untuk terus memastikan Kedah kekal sebagai pasukan elit pada Liga Malaysia, sehingga terpaksa menyerahkan tiga kejuaraan yang dimenangi sejak dua musim lalu," kata Azraai.

Sebelum ini, Azraai berjaya memastikan pasukan Kedah mencatatkan sejarah dengan menjuarai Piala Malaysia, Piala FA dan Liga Super sejak dua musim lalu.

"Ketika saya mengambil alih tugas daripada Miranda, pasukan Kedah sedang menuju ke arah Liga Perdana tetapi kami berjaya melayakkan diri ke perlawanan akhir Piala Malaysia musim itu sebelum tewas kepada Perlis 1-0.

"Apa yang membuat saya sedih ialah meninggalkan barisan pemain yang sudah setia bersama saya sejak enam tahun lalu. Tapi, saya tiada pilihan kecuali memilih menabur budi dan ilmu saya bersama pasukan Harimau Muda pada Liga Super musim depan.

“Saya juga berterima kasih kepada pemain Kedah dan juga ribuan peminat yang memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi terhadap kejayaan pasukan Hijau Kuning," kata Azraai.

Sementara itu, Dr Hamdan mengesahkan beliau sudah menerima surat peletakan jawatan dari Azraai dan KFA akan bermesyuarat secepat mungkin untuk mengambil keputusan mengenai perkara itu.

Berita Harian 16 Oktober 2009

Monday, October 5, 2009

Misi sukar menanti Kedah di Selayang


ATAS kertas, memang sukar bagi juara treble, Kedah untuk melangkah ke suku akhir Piala Malaysia.

Namun, mereka belum mahu menyerah kerana masih ada tiga lagi perlawanan untuk diharungi dalam saingan peringkat Kumpulan E.

Malam ini, skuad Kenari itu mahu menang ke atas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada perlawanan yang akan berlangsung di Stadium Majlis Perbanda- ran Selayang.

Mereka hanya mahu tiga mata bagi mengembalikan keyakinan semua pemain dalam pasukan.

Jurulatih, Mohd. Azraai Khor Abdullah berkata, skuadnya perlu bermain habis-habisan bagi mencapai kemenangan biarpun sedar bakal menghadapi saingan sengit daripada lawan yang turut mahu melakar kejutan.

Katanya, walaupun sukar bagi Kedah untuk meraih sembilan mata daripada baki tiga perlawa- nan ini tetapi sasaran itu perlu dicapai bagi menghidupkan peluang.

"Saya akui keadaan kami agak tenat ketika ini. Pemain perlu 'all out'. Mereka tiada pilihan melain- kan menang dalam kesemua tiga perlawanan pusingan kedua ini," katanya kepada Kosmo! semalam.

Pada perlawanan di Stadium Darul Aman lalu, Kedah yang cuma sekadar meraih satu mata mencatat keputusan seri 1-1 dengan ATM.

Laluan Kedah ke suku akhir akan tertutup seandainya tewas lagi malam ini.

Selepas mengharungi tiga perlawanan pusingan pertama, Kedah hanya meraih satu mata untuk menduduki tempat tercorot Kumpulan E.

Azraai memberitahu, moral pemain ketika ini berada di tahap yang baik biarpun kecewa dengan keputusan yang dicatat pada tiga perlawanan sebelum ini.

Katanya, bagi mencapai kejayaan itu, pemain perlu memberi komitmen 110 peratus, fokus dan komited terhadap permainan.

"Pemain tahu peranan mereka. Manfaatkan peluang dengan baik dan jangan leka ketika bertahan," katanya.

Selepas beraksi di Selayang, Kedah akan menanti kunjungan Kelantan di Alor Setar dan selepas itu akan bertandang ke Seberang Perai untuk menentang Pulau Pinang.
Kosmo 6 Okt 2009

Sunday, October 4, 2009

Kemelut Kedah Semakin Parah


Perpecahan antara dua puak dalam skuad punca Hijau Kuning merudum

KEMEROSOTAN juara bertahan, Kedah secara mendadak dalam kempen Piala Malaysia musim ini menggambarkan sesuatu yang tidak kena dalam pasukan ini selepas kecemerlangan gelaran kedua berturut-turut pada 2008.

Sungguhpun, jurulatih, Mohd Azraai Khor menyalahkan penyerangnya atas kegagalan mereka meledakkan lebih daripada satu gol dalam tiga perlawanan Kumpulan E yang menyaksikan mereka hanya meraih satu mata, masalah itu sebenarnya lebih parah daripada itu dengan kemerosotan Hijau Kuning dikatakan ada kaitannya dengan pergolakan dalaman pasukan.


Perpecahan antara dua puak dalam pasukan Kedah dikatakan menjejaskan skuad dengan kelompok yang masih setia dengan bekas pengurus, Datuk Othman Aziz dikatakan enggan memberikan kerjasama kepada Mohd Azraai dengan niat untuk menjatuhkan kepimpinan baru yang diterajui Datuk Khazali Din.

Sikap pegawai yang berkepentingan sendiri dilihat menyukarkan tugas Mohd Azraai untuk mendapatkan penyerang tempatan berkualiti bagi mengharungi kempen Piala Malaysia musim ini.

Kegagalan mendapatkan khidmat Mohd Haris Safwan Kamal daripada T-Team berpunca daripada keengganan pengurusan untuk meluluskan pembiayaan walaupun memiliki jumlah kewangan yang mencukupi.

Mohd Azraai jelas kecewa dengan tindak tanduk pengurusan yang menunjukkan ketiadaan inisiatif untuk memperkuatkan pasukan, yang juga ditunjukkan ketika berputih mata dalam usaha mendapatkan Indra Putra Mahyuddin dan Mohd Nor Farhan Muhammad pada awal musim.

Apa yang mampu dilakukan oleh seorang jurulatih, jika tidak mendapat sokongan yang diperlukan. Ketika dia meminta pemain baru untuk memperkuatkan pasukan, permintaan itu ditolak pengurusan dengan alasan tiada wang.

Ini menyebabkan pasukan berputih mata mendapatkan Haris Safwan dengan dirinya beralih ke KL Plus. Keadaan sama turut berlaku pada awal musim ketika Indra Putra dan Nor Farhan terlepas daripada menjadi milik Kedah, kata sumber rapat dengan pasukan.

Kini ketika pusingan kedua peringkat kumpulan menjengah, Selasa depan, tiada pilihan buat Mohd Azraai selain terus menaruh kepercayaannya kepada barisan penyerang dengan setiap perlawanan selepas ini umpama hidup mati.

Kegagalan untuk mendapatkan selain daripada tiga mata penuh bermula dengan pertemuan menentang pendahulu kumpulan, Kelantan di tempat sendiri.
Kedah Lanie 5 Oktober 2009

Ustaz Azizan Kecewa


KECEWA.

Begitu luahan orang kuat Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) mengenai prestasi skuad Kenari dalam saingan Piala Malaysia musim ini yang ketika ini berada di tangga tercorot kumpulan E.

Bagi Presiden KFA, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, prestasi skuad itu perlu dikaji dan dibuat bedah siasat bagi mencari puncanya.

Katanya, pasukan Kedah belum tersingkir lagi dalam saingan dan berharap prestasi itu dapat dibaiki segera.

"Kecewa. Kekalahan itu ada alasannya, seperti ketika kalah kepada Kelantan ada masalah teknikal. Apa pun kita perlu kaji apa masalahnya," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis rumah terbuka Aidilfitri di Alor Setar semalam.

Dalam tiga perlawanan, Kedah sekadar meraih satu mata setelah seri 1-1 dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), tewas 1-0 kepada Kelantan dan malam kelmarin kalah 1-0 kepada Pulau Pinang.

Azizan turut menafikan kemerosotan pasukan itu berpunca daripada masalah dalaman persatuan, sebaliknya memberitahu, hal berkaitan kebajikan pemain dijaga dengan baik oleh pengurusan.

Malah katanya, urusan pembayaran gaji dibuat mengikut jadual dan kerajaan negeri sentiasa mengambil berat hal itu.

"Gaji cukup, pengurusan bagus malah antara yang terbaik di negara ini," katanya.

Menyentuh kelewatan Kedah menguruskan pemain pinjaman bagi saingan musim ini, Azizan memberitahu, beliau tidak pasti berhubung pengendalian proses tersebut, namun perkara itu perlu dikaji.

Kedah Lanie 5 Oktober 2009

Sunday, September 27, 2009

Aksi mengecewakan Kedah

MENGECEWAKAN.

Begitu perasaan jurulatih Kedah, Mohd. Azraai Khor Abdullah dengan aksi hambar anak buahnya ketika menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang sekadar seri 1-1 pada aksi pembuka tirai saingan Piala Malaysia Kumpulan E di Stadium Darul Aman, Alor Setar kelmarin.

Kehampaan pengendali skuad Hijau Kuning itu ada asasnya, deretan peluang terhidang depan gawang lawan dipersiakan begitu sahaja.

Kedah boleh menang besar tetapi ketumpulan barisan serangan mengheret skuad Kenari ke laluan yang berliku selepas ini.

“Saya tidak puas hati dengan keputusan ini. Ia sungguh mengecewakan biarpun kita menguasai perlawanan dengan tiga atau empat peluang pada separuh masa pertama tetapi akhirnya kita gagal.

“Kelemahan serangan amat ketara. Sebab itu kita mahu meminjam pemain bagi mengatasi masalah penyerang tetapi itu pun kita gagal,” kata Azraai pada sidang media selepas perlawanan tersebut.

Pada perlawanan itu pasukan tuan rumah mendahului pada minit ketujuh menerusi Mohd. Faizal Abu Bakar sebelum jaringan penyamaan pasukan pelawat disempurnakan oleh M. Chadarashekar menerusi sepakan percuma pada minit ke-78.

Selepas jaringan Faizal, skuad Kenari memperoleh banyak peluang menerusi Badrol Bakhtiar, Sabree Abu dan Mohd. Azrul Ahmad, namun gagal merobek gawang lawan.

Dalam satu lagi saingan Kumpulan E kelmarin, Kelantan yang dibimbing bekas jurulatih kebangsaan B. Sothianathan menewaskan Pulau Pinang 2-1.

Azraai memberitahu, dengan laluan sukar setelah seri perlawanan pertama, anak buahnya perlu tampil lebih positif selepas ini lebih-lebih lagi ketika bertandang ke Kota Bharu menentang Kelantan, esok.

“Saya berharap pemain dapat melakukan sesuatu walaupun perlawanan itu bakal menyaksikan pertembungan sengit. Apa yang pasti kita perlu bekerja kuat dan tidak berputus asa,” katanya.

Menyentuh kemungkinan Kedah akan mengumpulkan semula kesebelasan utama mereka, Azraai berkata, ia tidak boleh dilakukan pada Piala Malaysia kali ini ekoran kecederaan empat pemain utama termasuk Mohd. Khyril Muhyameen Zambri yang terpaksa berehat enam bulan.

V. Thirumurugan dan Mohd. Fadly Baharum mungkin boleh beraksi semula pada pertengahan saingan Piala Malaysia manakala K. Samransak biarpun sudah menyertai rakan-rakan menjalani latihan tetapi aksi yang ditunjukkan masih belum menyakinkan.

- Rujukan di sini

Serangan tumpul hantui Kedah

ALOR SETAR - Kedah terpaksa merintis laluan berduri untuk mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia selepas hanya mampu mencatat keputusan seri dalam perlawanan pembukaan kempen menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Darul Aman kelmarin.

Ketua jurulatih, Mohd. Azraai Khor Abdullah mengakui, skuadnya perlu bangkit segera pada perlawanan akan datang jika mahu mengekalkan trofi berprestij itu di negeri jelapang padi.

Menurutnya, persembahan yang ditunjukkan anak buahnya kelmarin jika tidak ditingkatkan mampu membawa padah kepada penyandang juara tersebut.

Meskipun bersikap positif dengan peluang Sang Kenari, Mohd. Azraai menyifatkan ketumpulan barisan serangan yang cuba diperbaiki selepas kehilangan beberapa pemain tonggak di bahagian itu masih menghantui pasukan Hijau Kuning.

"Ini keputusan pembuka tirai yang mengecewakan. Walaupun menguasai perlawanan, namun sekurang-kurangnya lima peluang terhidang untuk menjaringkan gol dipersiakan pemain.

"Masalah ini sudah banyak kali diulangi tetapi barisan serangan masih tidak dapat melaksanakan tugas," katanya kepada pemberita selepas perlawanan menentang ATM malam kelmarin.

Dalam perlawanan Kumpulan E itu, Kedah yang gah sebagai juara treble pada musim lalu hanya mampu seri 1-1 meskipun peminatnya meletakkan harapan tinggi untuk mencipta kemenangan.

Skuad Sang Kenari mendahului pada minit ketujuh menerusi Faizal Abu Bakar yang menyudahkan hantaran lintang Sabree Abu namun penyerang ATM, M. Chandrashekar meranapkan impian tuan rumah untuk meraih tiga mata apabila menyamakan kedudukan pada minit ke-78.

Mohd. Azraai berkata, Kedah dijangka tidak dapat menurunkan kesebelasan terbaiknya sepanjang kempen Piala Malaysia ekoran kecederaan pemain utama seperti Khyril Muhymeen Zambri, Fadly Baharom, Saramsak Kram dan V. Thirumurugan selain gagal mendapatkan pemain pinjaman untuk membantu menguatkan pasukan.

Justeru, katanya, para pemain sedia ada perlu meningkatkan prestasi dan yakin dengan kemampuan diri masing-masing kerana harapan penyokong skuad Hijau Kuning digalas di bahu mereka.

"Saya berharap pada perlawanan menentang Kelantan selepas ini para pemain dapat bangkit dan mencapai keputusan yang didamkan," katanya.
28 Sept 2009/Utusan Malaysia

Saturday, September 12, 2009

Kedah sasar separuh akhir Piala Malaysia: Azraai


ANDAI berpandu kepada gelagat pengurusan pasukan, Kedah berdepan kemungkinan sukar untuk mempertahankan mahkota kejuaraan Piala Malaysia apabila kancah saingan itu bermula 26 September ini.

Ketua jurulatih Kedah, Mohd Azraai Khor Abdullah terpaksa menerima hakikat ini dan dia boleh meletakkan sasaran sekadar layak ke separuh akhir daripada memasang impian besar selepas gagal mengulangi kejayaan Liga Super dan Piala FA, musim ini.

Kepincangan itu boleh dikaitkan dengan kelembapan pegawai Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) yang lambat bertindak mendapat sumbangan pemain dari negeri lain ketika sebelum ini mereka berpeluang mendapatkan khidmat Harif Safwan - penjaring terbanyak Liga Perdana yang mewakili pasukan T Team (Terengganu) dan Bunyamin Omar yang beraksi untuk MyTeam pada Liga Super.

Ia bukan pertama kali KFA lambat bertindak atau pun tidak bertanggungjawab dalam tugas mereka yang mengakibatkan pasukan dan ribuan peminat terpaksa berputih mata pada akhir musim ini.

Kini Azraai tiada pilihan kecuali menurunkan barisan pemain yang masih kekal bersamanya kecuali penyerang kebangsaan, Khyril Muhymeen yang terpaksa berehat selama enam bulan selepas pembedahan lutut.

“Saya terpaksa menerima hakikat membariskan pemain muda musim ini dan sasaran layak ke separuh akhir menjadi matlamat ketika ini,” katanya.

Kedah akan bertemu Selangor pada Selasa ini di Selangor pada perlawanan ujian dan Azraai difahamkan akan menggunakan kesempatan ini untuk mengenal pasti kesebelasan utama beraksi di Piala Malaysia.

Anelka dan agama Islam



BAGI peminat bola sepak dunia terutamanya penyokong kelab Inggeris, Chelsea, nama Nicolas Anelka mungkin sudah tidak asing lagi. Dia dianggap salah seorang penyerang paling berbahaya apabila berada di hadapan pintu gol lawan.

Pada musim lalu, dia menjadi penjaring terbanyak dalam Liga Perdana Inggeris apabila menjaringkan 22 gol. Anelka kini dikenali sebagai seorang pemain yang sentiasa tenang dan tidak emosional di padang.

Keadaan itu berbeza ketika lelaki kelahiran Versailes, Perancis itu mewakili Real Madrid, Liverpool, Manchester City dan Arsenal. Ini kerana ketika itu dia dikenali sebagai pemain yang suka merungut dan emosional.

Perubahan sikap Anelka itu sememangnya menarik perhatian banyak pihak. Dia dilihat semakin bijak dan tenang dalam apa juga situasi. Dalam wawancara dengan sebuah media di Britain baru-baru, Anelka mendedahkan perubahan di dalam dirinya berlaku sejak dia memeluk agama Islam pada tahun 2004 ketika mewakili kelab di Turki.

''Islam banyak membantu saya untuk bersikap tenang, menumpukan perhatian dan mempunyai semangat yang tinggi. Saya gembira menjadi seorang Muslim kerana Islam adalah satu agama yang penuh ketenangan," kata Anelka atau nama Islamnya, Abdul Salam Bilal Anelka.

Sebelum ini, Anelka pernah menyembunyikan identitinya sebagai seorang Islam kepada umum. Keadaan itu berbeza dengan rakan senegaranya Franck Ribery yang bermain dengan kelab Bayern Munich. Ribery sentiasa berdoa setiap kali hendak memulakan sesuatu perlawanan tetapi Anelka tidak berbuat demikian. Bagi Anelka, agama adalah soal peribadi yang tidak perlu dihebahkan kepada orang ramai.

Namun begitu selepas umum mengetahui agamanya, Anelka telah membuat pengakuan secara terbuka bahawa dia kini seorang Islam dan mendapat hidayah pada tahun 2004, ketika bermain dengan kelab Fenerbahce, Turki.

Anelka yang dilahirkan di Versailles, Perancis, pada 14 Mac 1979, menghabiskan masa kecilnya di Trappes - sebuah kota kecil di pinggir barat Paris. Sebelum menjadi seorang Muslim, Anelka adalah seorang yang tiada agama. Pada ketika itu, Anelka banyak bergaul dan menjalin persahabatan dengan keluarga Muslim dan di situlah dia mula tertarik dengan Islam.

Ketika ditanya dalam satu wawancara kenapa dia memilih Islam, Anelka menjelaskan, '' Islam adalah cara hidup yang sesuai dengan dirinya dan saya berasa tenang selepas menganut agama itu."

Anelka mengakui, sejak menjadi seorang Muslim, ia banyak membawa perubahan positif kepada dirinya sama ada sebagai seorang hamba Allah mahupun seorang pemain bola sepak profesional.

''Islam membimbing saya untuk bersikap arif dan ini banyak membantu saya supaya sentiasa bersikap tenang dan bersemangat tinggi ketika turun ke padang. Islam adalah sumber kekuatan saya sama ada ketika di dalam atau luar padang.

Ketenangan

''Saya menempuh pelbagai cabaran dalam kehidupan, oleh itu saya perlu mencari ketenangan dan akhirnya saya menemui Islam," katanya.

Dari sudutu kehidupan peribadinya, Anelka bernikah dengan seorang warga Belgium, Barbara Tausia, pada 9 Jun 2007 di Morocco.

Walaupun berbeza agama, namun ia tidak menggugat pendirian Anelka terhadap Islam, malah untuk perancangan masa depan Anelka bercadang untuk bermastautin di Emiriyah Arab Bersatu (UAE), apabila bersara kelak.

Apa yang menarik biarpun terpaksa mengharungi perlawanan ketika bulan Ramadan, namun Anelka tetap taat menunaikan ibadah puasa.

''Kami mempunyai ramai pemain beragama Islam dalam liga Inggeris dan kami tetap berpuasa kerana ibadah itu tidak menjejaskan kemampuan kami. Sebagai seorang Islam kami wajib menghormati Ramadan,'' kata Anelka.

Bagaimanapun Anelka mengakui beberapa kali ketika bulan Ramadan, dia mengalami kecederaan sehingga tidak memungkinkan dia berpuasa.

Kini Anelka menjadi salah seorang pemain bola sepak yang dikagumi dan dalam masa yang sama berusaha menjadi Muslim yang baik.

Kehadiran Ramadan kali ini disambut oleh Anelka dengan penuh kesyukuran dan yakin selagi dia berada dalam Islam, selagi itulah kehidupannya akan terus diberkati.

Sesungguhnya, Anelka bersyukur kerana pemindahannya ke Turki telah membolehkan dia menemui agama yang sebenar iaitu Islam. Kehidupannya yang sebelum ini terumbang-ambing tanpa agama, kini dipenuhi dengan seribu ketenangan.

Rujukan di sini

Friday, September 11, 2009

Skuad Hijau Kuning makin pening


KUALA LUMPUR – Jika dua musim sebelum ini, Kedah merupakan antara pasukan yang digeruni. Malah mereka turut membuktikan kemampuan mereka untuk menjadi juara treble Liga Malaysia dua kali bagi musim 2006/07 dan 2007/08.

Namun untuk musim ini, aksi mereka agak hambar dan dikatakan bakal bergelut untuk beraksi pada saingan Piala Malaysia yang akan bermula pada 26 September ini.

Lebih hampa, juara bertahan Piala Malaysia itu juga pernah dibenam 1-3 dalam satu perlawanan persahabatan oleh skuad bawah 23 (B-23) Malaysia Ogos lalu.

Dan kali ini, Kedah bertambah pening kerana Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) didakwa tidak menjalankan urusan mendapatkan pemain baru dengan agresif dalam menguatkan pasukan pada saingan Piala Malaysia.

Menurut sumber, skuad Kenari itu dikatakan telah memohon untuk mendapatkan penjaring terbanyak Liga Perdana, Mohd. Haris Safuan daripada pasukan T-Team, namun dakwa sumber itu, permohonan itu tidak dipedulikan sehingga pemain itu terlepas ke tangan KL PLUS.

“Kami rasa rugi dengan keadaan itu kerana bagi kami, Kedah perlu mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia yang kami menang dua tahun berturut-turut.

“Malah sikap ini juga menunjukkan KFA meremehkan keadaan pasukan yang amat memerlukan penyerang untuk digandingkan dengan Khyril Muhymeen Zambri,” katanya semalam.

Selain itu dakwanya, permohonan pasukan untuk mendapatkan kembali bekas pemain mudanya, Mohd. Bunyamin Omar juga masih tidak dilakukan.

Dakwa sumber itu lagi, KFA juga sepatutnya mendapatkan pemain tengah berusia 20 tahun itu yang merupakan pemain B-23 kebangsaan ketika ini.

“Pasukan telah memohon pihak pengurusan menjalankan urusan pertukaran tempat pengajian pemain terbabit dari Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang ke Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok, sebelum dia menyertai Kedah.

“Namun sehingga sekarang tiada sebarang urusan yang dilakukan KFA untuk mendapatkan pemain itu,” dakwa sumber itu lagi.

Tindakan KFA juga telah menambah beban kepada skuad berkenaan yang sedang memperkemaskan pasukan sebelum memulakan kancah Piala Malaysia.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat KFA, Dr. Hamdan Mohamed Khalib ketika dihubungi Utusan Malaysia memberitahu, Kedah telahpun membuat permohonan untuk mendapatkan Mohd. Haris sebelum ini namun permintaan itu ditolak oleh Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT).

“Tapi kita pun mempunyai pemain yang pernah memenangi Piala Malaysia sebelum ini, cukuplah tu. Kena pula permohonan itu (mendapatkan Mohd. Haris) ditolak, jadi terpaksalah kita terus guna khidmat pemain sedia ada dalam mengharungi cabaran Piala Malaysia kali ini.

“Saya percaya pengalaman yang ada pada jurulatih boleh digunakan untuk Kedah terus mempertahankan gelaran juara yang diperolehi tahun lalu,” ujarnya.

- Rujukan di sini

Saturday, August 29, 2009

Khyril kena rehat enam bulan


Terkilan tak dapat bantu negara sahut cabaran Sukan Sea

TATKALA rakan sepasukannya sudah berada di Asia Barat bagi kunjungan persahabatan sebagai persiapan ke Sukan Sea, Mohd Khyril Muhymeen Zambri (gambar) hanya mampu melihat dari jauh dengan dirinya tidak mampu berbuat apa-apa untuk membantu mereka dalam misi menamatkan kemarau emas di temasya itu, Disember nanti.

Tonggak sayap skuad K Rajagobal itu hanya mampu tabah menghadapi hakikat dirinya tidak akan berada dalam kumpulan pemain ke Laos selepas doktor mengesahkan pemain berusia 22 tahun itu memerlukan enam bulan untuk pulih daripada kecederaan otot kartilaj lutut yang dialami ketika menentang Kenya dalam perlawanan persahabatan, 12 Ogos lalu.

Khyrill terpaksa diusung keluar selepas terbabit dalam pertembungan dengan pemain Kenya pada lewat perlawanan, seterusnya diketepikan bagi perlawanan menentang China tiga hari selepas itu.

Namun pemeriksaan perubatan baru-baru ini mendapati tahap kecederaannya begitu serius sehinggakan bukan saja terpaksa melupakan dua perlawanan persahabatan menentang Arab Saudi, hari ini dan Selasa depan serta Jordan pada 5 September tetapi juga sepak mula Sukan Sea, 5 Disember depan.

“Kecederaan yang saya alami adalah ‘torn meniscus’ dan memerlukan saya menjalani pembedahan minggu depan.

“Doktor menasihati saya untuk berehat selama enam bulan. Ini bermakna saya tidak dapat beraksi pada Sukan Sea nanti,” katanya.

Kecederaan ini juga bermakna jurulatih Kedah, Mohd Azraai Khor Abdullah juga terpaksa melupakan khidmat pemain kelahiran Alor Setar itu bagi menghadapi kempen Piala Malaysia yang bermula pada 26 September ini.

Wednesday, August 26, 2009

Kedah Cemas Harungi Piala Malaysia


ALOR SETAR, 26 Ogos (Bernama) -- Juara bertahan Piala Malaysia, Kedah mengakui bakal berdepan misi sukar untuk merangkul gelaran buat kali ketiga berturut-turut musim ini selepas usaha untuk mendapatkan beberapa pemain bagi memantapkan pasukan itu seolah-olah menemui jalan buntu.

Ketua jurulatihnya, Mohd Azraai Khor Abdullah berkata, usaha untuk mendapatkan tiga pemain seperti yang telah ditetapkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), sehingga kini masih belum berhasil.

Katanya, Kedah juga terpaksa melupakan hasrat untuk menggunakan khidmat penyerang pasukan Harimau Muda, Ahmad Shakir Ali yang terikat dengan program pembangunan untuk pasukan itu, yang telah ditetapkan lebih awal oleh FAM, manakala Mohd Bunyamin Omar pula masih tidak dapat disahkan statusnya.

"Bunyamin yang dikatakan akan berpindah tempat pengajiannya dari Universiti Putra Malaysia (UPM) ke Universiti Utara Malaysia (UUM) juga belum pasti statusnya," katanya kepada Bernama hari ini.

Azraai memberitahu bahawa beliau kesuntukkan masa untuk membentuk sebuah pasukan yang mantap sambil mengakui Kedah kini berada dalam situasi cemas untuk menghadapi saingan Piala Malaysia .

Selain itu, Azraai berkata kecederaan lutut yang agak serius yang dialami penyerang utamanya, Mohd Khyril Muhymeen Zambri juga turut menjejaskan persiapan pasukannya.

"Saya tidak pasti apakah Khyril akan sempat pulih sebelum perlawanan sulung Piala Malaysia bermula," katanya.

Walau bagaimanapun, Azraai berkata misi dalam Piala Malaysia akan tetap diteruskan oleh pemain-pemain sedia ada dengan meletakkan sasaran untuk mara ke peringkat separuh akhir biarpun menyedari bakal dicabar hebat sejak dari peringkat kumpulan lagi.

Dalam kempen Piala Malaysia yang akan bermula 26 September ini, Kedah diundi dalam Kumpulan E yang turut menampilkan Kelantan, Pulau Pinang dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Kedah akan berhati-hati dengan Kelantan kerana mereka mempunyai banyak bekas pemain kebangsaan yang berpengalaman," katanya.

Kedah menjulang Piala Malaysia pada musim 2007 selepas menundukkan Perak 3-0 dan mempertahankannya pada musim lepas dengan mengalahkan Selangor 3-2.

Friday, August 21, 2009

Kedah Pancing Syakir dan Bunyamin


ALOR SETAR - Juara bertahan Piala Malaysia, Kedah sedang berusaha mendapatkan khidmat dua pemain yang pernah mewakili pasukan itu iaitu Ahmad Shakir Mohd Ali dan Mohd Bunyamin Omar bagi menghadapi saingan Piala Malaysia yang akan bermula penghujung bulan depan.

Ketua jurulatihnya Mohd Azraai Khor Abdullah berkata, rundingan bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sedang dilakukan agar dua pemain itu dapat menyarung jersi Hijau Kuning.

“Kedah masih menunggu jawapan daripada FAM berhubung status Shakir,” katanya.

Mohd Azraai berkata, kehadiran semula kedua-dua pemain itu sudah pasti akan memberi kekuatan baru kepada pasukan Kedah memandangkan mereka telah beraksi cemerlang untuk pasukan masing-masing ketika saingan Liga Super dan Liga Perdana musim ini.

Ahmad Shakir merupakan penyerang skuad Harimau Muda yang muncul juara Liga Perdana musim ini, manakala Bunyamin pula bermain untuk pasukan UPB-MyTeam yang tidak akan beraksi untuk Piala Malaysia.

Mengenai khidmat Bunyamin pula, Azraai berkata perkara itu juga sedang diusahakan kerana banyak perkara yang perlu diselesaikan termasuklah soal tempat pengajiannya.

“Kita sedang cuba untuk menukarkan Bunyamin yang sedang menuntut di Universiti Putra Malaysia (UPM) ke Universiti Utara Malaysia (UUM). Jika semuanya berjalan lancar, harapan untuk mendapatkan khidmatnya adalah cerah,” katanya.

Mohd Azraai ditemui selepas perlawanan persahabatan antara pasukan Kedah menentang Kelab Fourway Rangers dari Hong Kong di Stadium Darul Aman di sini petang tadi yang menyaksikan tuan rumah mencatat kemenangan tipis 2-1.

Nostalgia Kedah VS. Kuala Lumpur


Kedah yang kecundang tiga kali berturut-turut kepada Kuala Lumpur pada saingan akhir Piala Malaysia pada 1987, 1988, 1989 akhirnya berjaya menewaskan skuad ibu kota itu malam kelmarin.Itupun setelah 20 tahun dan rata- rata pemain sudah bergelar veteran dengan usia sekitar 40-an.

Kemenangan itu dicapai pada perlawanan Nostalgia Akhir Piala Malay- sia merebut Piala Sultan Kedah di Stadium Darul Aman, Alor Setar.Kejayaan 7-6 veteran Kedah digapai menerusi penentuan sepakan penalti setelah seri 3-3 selepas tamat masa perlawanan sebenar.

Pada tiga final itu, Kedah tewas 0-1 (1987), 0-3 (1988) dan 1-2 (1989).Veteran Kedah yang diketuai Radhi Mat Din terlebih dahulu menggegar gawang veteran Kuala Lumpur pada minit kedua menerusi Mohd. Farouk Ismail setelah penjaga gol lawan M. Pavalamani gagal menampan hantaran silang Tan Cheng Hoe.

Kedah menguasai saingan dengan hantaran serta serangan pantas ke pintu gol pelawat dan pada minit ketujuh, mereka sekali lagi menembusi gawang Kuala Lumpur menerusi Hussein Jaafar. Walaupun ketinggalan dua gol, Kuala Lumpur bangkit dan menemui sasaran menerusi sentuhan Fandi Ahmad pada minit ke-16 yang membuat hantaran satu dua dengan Shahrin Majid.Ternyata sentuhan Fandi masih berbisa dan dia sekali lagi menggegar gawang tuan rumah pada minit ke-26 untuk menjadikan kedudukan 2-2.

Skuad Hijau Kuning tidak berputus asa dan hasilnya pada minit-minit akhir babak kedua, Hussein tampil menyambar bola yang terlepas dari- pada dakapan Pavalamani. Pada babak kedua lebih 2,000 penonton tuan rumah dikejutkan dengan gol awal Kuala Lumpur menerusi jaringan Shahrin pada minit ke-42. Selepas gol tersebut kedua-dua pasukan memperlahankan rentak permainan dengan bola banyak berlegar di tengah padang.

Pada penentuan penalti Fandi gagal meneruskan sentuhan cemerlangnya apabila sepakannya ditampan Ahmad Sobri dan rentak kekala- han Kuala Lumpur disahkan Ghani Malek yang gagal menyempurnakan sepakan kelima. Sebelum itu tiga sepakan penalti Kuala Lumpur disempurnakan K. Gunalan, Amirudin Ahmad dan Azlan Meri manakala empat sepakan Kedah pula disempurnakan oleh Khatul Anuar Abdul Hamid, Mohd. Nizam Adzhar Yusuff, Cheng Hoe dan Manja Man.Hadiah disampaikan Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Friday, July 31, 2009

Tiga pasukan rebut RM200,000


KEJAYAAN Terengganu membelasah Pulau Pinang 4-1 pada aksi Liga Super malam kelmarin telah menghidupkan peluang mereka untuk mencuri kedudukan tempat ketiga keseluruhan musim ini.

Terengganu kini menghuni tangga keempat dengan 46 mata manakala Kedah di tangga ketiga dengan 48 mata dan Johor FC pula di tangga kelima dengan 45 mata.

Mereka masing-masingnya akan menghadapi perlawanan terakhir pada Sabtu ini.

Hanya tiga pasukan ini masih berpeluang untuk meraih tempat ketiga Liga Super sekali gus merangkul hadiah wang tunai RM200,000 kerana pasukan di tangga keenam, Kelantan kini hanya memiliki 44 mata dan terkeluar daripada persaingan.

Juara Liga Super dengan hadiah wang tunai RM500,000 telah sah milik Selangor manakala naib juara dengan hadiah wang tunai RM300,000 menjadi milik Perlis.

Antara Kedah, Terengganu dan Johor FC, kelebihan untuk muncul pemenang tempat ketiga berpihak kepada juara Liga Super 2007 dan 2008 iaitu Kedah.

Ini kerana, jika Kedah berjaya mencatat kemenangan ketika melayan kunjungan Pulau Pinang di Alor Setar Sabtu ini, mereka tidak mampu lagi dipintas oleh Terengganu mahu pun Johor FC.

Namun jika Kedah tewas mengejut, Terengganu mampu muncul pemenang tempat ketiga jika mereka berjaya menewaskan Negeri Sembilan di Paroi.

Bagi Johor FC, mereka seakan mengharapkan keajaiban supaya Kedah dan Terengganu tewas dalam perlawanan terakhir sambil mereka pula mencatat tiga mata penuh ke atas Kelantan di Pasir Gudang untuk menduduki tangga ketiga.

Sementara itu, jaringan hatrik oleh Ashaari Shamsudin ketika Terengganu menewaskan Pulau Pinang 4-1 malam kelmarin memungkinkan dia berpeluang memenangi anugerah Kasut Emas selaku penjaring terbanyak.

Ashaari, 24, kini berkongsi 16 gol bersama penyerang Perlis, Nizaruddin Yussof dan mana-mana pemain yang berjaya menjaringkan lebih banyak gol Sabtu ini akan muncul pemenang Kasut Emas.

Saturday, July 18, 2009

Owen hampakan Malaysia


KUALA LUMPUR: Michael Owen menghampakan Malaysia dengan menjaringkan gol lima minit sebelum wisel penamat untuk membolehkan Manchester United menang 3-2 pada perlawanan persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, di sini, sebentar tadi.

Kedudukan sebelum itu terikat 2-2 apabila Amri Yahya menjaringkan gol kedua beliau dan negara pada minit ke-52 hasil kesilapan penjaga gol gantian, Ben Foster.

Amri sebelum itu menewaskan penjaga gol utama United, Edwin van der Saar, dengan lambungan dari luar kotak penalti seminit sebelum rehat untuk menjadikan kedudukan 1-2.

Terdahulu, Wayne Rooney dan Nani meletakkan United selesa di depan menerusi gol pada minit kelapan dan ke-27.

Saturday, July 4, 2009

Darul Aman tidak "Aman"


PERTEMBUNGAN antara Kuala Muda Naza (KM Naza) bertemu Kedah yang awalnya disangkakan hambar menjadi sebaliknya apabila kedua-dua pasukan mempamerkan corak permainan pantas sebaik perlawanan bermula.

Begitupun, aksi 'panas' yang memperlihatkan insiden pergaduhan antara pemain kedua-dua pasukan itu menyaksikan Kedah berjaya menewaskan KM Naza 4-0 dalam saingan Liga Super di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam tadi.

Akibat tindakan agresif pemain dari kedua-dua wakil negeri Kedah itu menyebabkan mereka terpaksa bermain 10 pemain ketika babak pertama hanya berbaki dua minit sebelum ditamatkan.

Pemain tengah KM Naza, Zul hissyam Jamaluddin serta pertahanan Kedah, Shafizan Hashim diarahkan keluar padang oleh penga- dil perlawanan, Anuar Che Hussin selepas mereka berbalas tumbukan.

Insiden itu berpunca apabila Zulhissyam mengasari pemain tengah Kedah, Shahrulnizam Mustaffa.

Sebelum itu, Kedah terlebih dulu berada di depan hasil jaringan Bad- rol Bakhtiar pada minit ke-15.


Tuan rumah memperoleh jaringan kedua menerusi Mohd. Azrul Ahmad pada minit ke-48.


Selepas permainan kembali tenang, perlawanan pula terpaksa dihentikan pada minit ke-62 selama 15 minit akibat salah satu daripada empat lampu limpah stadium terpadam.

Seminit selepas lampu kembali menyala, Khyril Muhymeen Zambri meledakkan dua jaringan Kedah pada minit ke-78 dan 80.

Tuan rumah sekali lagi ditimpa malang apabila Azizi Mat Rose dilayangkan kad merah seminit sebelum perlawanan tamat.

Sementara itu, Perlis menang 1-0 ke atas Johor FC, KL Plus membelasah Negeri Sembilan 5-2, UPB-MyTeam tewas 1-4 kepada Selangor manakala Pulau Pinang menewaskan PDRM 2-0.

Di Kota Bharu, Kelantan meraih mata penuh selepas membenam Pahang 3-2, sementara Terengganu seri 1-1 dengan Perak di Kuala Terengganu.
5/7/2009