Monday, July 26, 2010

Bola sepak: Piala Dunia dan 1Malaysia

SUDAH dua minggu bola sepak Piala Dunia berakhir. Pesta selama sebulan mempengaruhi ramai peminat bola sepak diseluruh dunia termasuk di Malaysia juga.

Pertandingan yang melibatkan tiga waktu permainan di negara kita iaitu pukul 7.30 malam, 10 malam dan 2.30 pagi memaksa peminat bola sepak mengatur jadual harian mereka, terutamanya bila melibatkan pertandingan pasukan yang besar seperti Argentina, Brazil, England, Perancis dan Itali.

Jadual perlawanan ini juga mempengaruhi tabiat harian peminat bola untuk selama sebulan supaya tidak terlepas perlawanan yang menjadi pilihan masing-masing.

Kalau tidak menonton di rumah, anak-anak muda berhimpun di tempat-tempat yang menjadi pilihan untuk bersama-sama kawan-kawan dan peminat yang lain untuk menyaksikan pertandingan secara langsung dari bandar-bandar Afrika Selatan.

Apabila kejohanan bola sepak berakhir, maka terdapat semacam satu kekosongan di kalangan peminat bola dan memerlukan sedikit masa untuk membuat penyesuaian untuk kembali hidup secara normal tanpa Piala Dunia.

Saya amat terperanjat ketika melihat gambar yang disiarkan oleh akhbar tempatan yang menunjukkan padang di Dataran Merdeka dipenuhi oleh peminat bola sepak menyaksikan pertandingan akhir antara Sepanyol dengan Belanda walaupun bermula jam 2.30 pagi.

Bayangkan bagaimanakah gambarannya sekiranya pasukan Malaysia juga berada di Afrika Selatan sebagai pasukan yang layak ke pusingan akhir.

Sudah tentu tempat-tempat seperti di Dataran Merdeka akan dipenuhi oleh peminat seperti yang berlaku di Seoul atau di negara lain yang mana pasukan masing-masing berada di Afrika Selatan.

Kempen promosi Piala Dunia oleh sebuah syarikat komunikasi juga menarik perhatian.

Ikon bola sepak kita pada tahun 1970-an dan 80-an seperti Datuk Soh Chin Aun, Santokh Singh, James Wong dan Hassan Sani dipertontonkan semula kejaguhan masing-masing di era yang mana prestasi pasukan bola sepak kita cukup menonjol di kalangan negara-negara Asia.

Dua lagi nama yang patut menyertai mereka ini ialah Allahyarham Mokhtar Dahari dan mendiang Arumugam - penyerang dan penjaga gol pasukan Malaysia yang tidak ada tolok bandingnya.

Sekurang-kurangnya promosi ini mendedahkan kepada generasi muda nama-nama besar bola sepak negara yang mungkin tidak dikenali oleh mereka sebelum ini.

Promosi ini mengingatkan kita bahawa negara kita juga pernah menjadi jaguh bola sepak antarabangsa bermula dengan Pesta Bola Merdeka hingga layak bertanding ke Sukan Olimpik 1972 dan 1980.

Lebih daripada itu, promosi ini melontarkan satu peringatan bagi semua pihak yang bertanggungjawab memajukan sukan bola sepak tanah air bahawa konsep 1Malaysia sudah dicerminkan lebih awal oleh pasukan bola sepak negara kita tahun 70an dan 80an.

Kalau dilihat komposisi pasukan negara ketika itu dan dibandingkan dengan yang ada sekarang, maka kita lihat bahawa ia mencerminkan komposisi kaum yang ada di negara ini.

Oleh itu, tidak hairanlah pada masa itu, sokongan kepada pasukan bola sepak kita datangnya dari berbilang kaum yang memenuhi stadium ketika pasukan kebangsaan kita bermain.

Mengapakah pasukan kebangsaan kita sekarang ini tidak lagi seperti dahulu yang terdiri dari pemain-pemain berbilang kaum?

Adakah tidak ada pemain-pemain dari keturunan Cina atau India sekarang ini sehebat dulu?

Atau adakah bola sepak sekarang ini tidak lagi diminati remaja dan pemuda dari keturunan selain dari keturunan Melayu oleh kerana rata-rata pemain Melayu sahaja yang banyak mengisi tempat dalam pasukan-pasukan yang bertanding dalam Liga M dan pasukan kebangsaan.

Dalam mencari kaedah serta pendekatan untuk memulihkan martabat pasukan bola sepak kebangsaan kita, perkara ini perlulah diberi perhatian.

Rasanya kita sudah mempunyai pengetahuan bagaimana negara-negara sama ada di barat atau di Jepun membangunkan bola sepak mereka.

Lawatan-lawatan sudah pun dilakukan. Pada perhatian saya, sumbangan dan usaha yang dilakukan oleh banyak pihak untuk melatih pemain-pemain yang muda di merata tempat sekarang ini perlulah diberi perhatian, sokongan dan motivasi untuk membolehkan mereka meneruskan sumbangan masing-masing.

Apa yang perlu ialah kaedah mereka ini melatih pemain-pemain muda ini patut diseragamkan supaya kemahiran asas yang diberikan oleh semua pihak relevan dan sesuai dengan umur pemain yang dilatih.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan mengadakan pemilihan pemimpin pada hujung bulan ini dan tugas memulihkan mutu bola sepak negara bermula dari peringkat akar umbi mestilah dilipatgandakan.

Pilihlah pemimpin yang benar-benar mampu menyahut cabaran ini.

Peminat bola sepak negara sudah hampir-hampir hilang kesabaran untuk melihat kejayaan bola sepak kebangsaan.

UTUSAN 27 Julai 2010

No comments:

Post a Comment