Wednesday, August 10, 2011

Demi tugas antarabangsa


KIM SWEE (kiri) memberi arahan kepada anak-anak buahnya pada sesi latihan di Slovakia baru-baru ini.


TUJUH pemain skuad Olimpik terpaksa melupakan hasrat beraksi bersama pasukan negeri masing-masing pada aksi awal Piala Malaysia bermula 6 September depan demi kepentingan negara.

Ini kerana, Khairul Fahmi Che Mat (Kelantan), Izuan Solahuddin (Kelantan), Zubir Azmi (Terengganu), Ahmad Fakri Saarani (Negeri Sembilan), Faizal Abu Bakar (Kedah), Ahmad Hazwan Bakri (Kuala Lumpur) dan Azrif Nasrul- haq Badrul (PKNS) terikat dengan kem latihan pusat.

Ia sebagai persiapan menghadapi perlawanan sulung Kumpulan C, pusingan akhir Kelayakan Olimpik 2012 Zon Asia menentang Jepun di Tosu, Fukuoka pada 21 September depan.

Pengurus skuad Olimpik kebangsaan, Datuk Afandi Hamzah berkata, kem latihan pusat akan diteruskan di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Hari Raya keempat disusuli latihan terakhir di China seminggu sebelum aksi bertemu Jepun.

"Selepas pulang dari latihan selama sebulan di Slovakia pada 28 Ogos ini, para pemain hanya diberi cuti beberapa hari untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri sebelum kembali menyambung latihan.

"Jadi bagi pemain-pemain negeri, mereka tidak dapat dilepaskan untuk empat aksi awal peringkat kumpulan Piala Malaysia (6, 10, 13 dan 17 September) dan saya fikir semua pasukan negeri faham dengan kepentingan tugasan negara.

"Kita sebenarnya sudah suntuk dalam melakukan persiapan. Seminggu sebelum ke Jepun, kita mungkin akan ke China untuk latihan dan aksi persahabatan. Ia sama seperti dilakukan sebelum ke Lebanon, apabila kita seminggu berlatih di Qatar.

"Kita perlukan persiapan rapi kerana sedar cabaran begitu hebat untuk ditempuh dengan menentang Jepun, Bahrain dan Syria dalam saingan Kumpulan C nanti," kata Afandi ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Ditanya tentang prestasi cemerlang skuad Olimpik kebangsaan yang menang ketiga-tiga perlawanan awal di Slovakia, Afandi yang juga Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkata, ia suatu perkembangan yang po- sitif.

"Alhamdulillah, saya harap mereka cuba sebaik mungkin meneruskan rentak cemerlang ini dalam beberapa lagi baik perlawanan di sana. Saya sentiasa berhubung dengan jurulatih Ong Kim Swee.

"Harap para pemain dapat belajar banyak perkara di sana dan berusaha memperbaiki segala kelemahan serta meningkatkan prestasi sepasukan," jelasnya.

Skuad Olimpik kebangsaan berjaya mara ke pusingan akhir kelayakan Zon Asia selepas me- nyingkirkan Pakistan pada pusingan pertama dan Lebanon pada pusingan kedua.

Kosmo 10/8/11

No comments:

Post a Comment