Wednesday, August 26, 2009

Kedah Cemas Harungi Piala Malaysia


ALOR SETAR, 26 Ogos (Bernama) -- Juara bertahan Piala Malaysia, Kedah mengakui bakal berdepan misi sukar untuk merangkul gelaran buat kali ketiga berturut-turut musim ini selepas usaha untuk mendapatkan beberapa pemain bagi memantapkan pasukan itu seolah-olah menemui jalan buntu.

Ketua jurulatihnya, Mohd Azraai Khor Abdullah berkata, usaha untuk mendapatkan tiga pemain seperti yang telah ditetapkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), sehingga kini masih belum berhasil.

Katanya, Kedah juga terpaksa melupakan hasrat untuk menggunakan khidmat penyerang pasukan Harimau Muda, Ahmad Shakir Ali yang terikat dengan program pembangunan untuk pasukan itu, yang telah ditetapkan lebih awal oleh FAM, manakala Mohd Bunyamin Omar pula masih tidak dapat disahkan statusnya.

"Bunyamin yang dikatakan akan berpindah tempat pengajiannya dari Universiti Putra Malaysia (UPM) ke Universiti Utara Malaysia (UUM) juga belum pasti statusnya," katanya kepada Bernama hari ini.

Azraai memberitahu bahawa beliau kesuntukkan masa untuk membentuk sebuah pasukan yang mantap sambil mengakui Kedah kini berada dalam situasi cemas untuk menghadapi saingan Piala Malaysia .

Selain itu, Azraai berkata kecederaan lutut yang agak serius yang dialami penyerang utamanya, Mohd Khyril Muhymeen Zambri juga turut menjejaskan persiapan pasukannya.

"Saya tidak pasti apakah Khyril akan sempat pulih sebelum perlawanan sulung Piala Malaysia bermula," katanya.

Walau bagaimanapun, Azraai berkata misi dalam Piala Malaysia akan tetap diteruskan oleh pemain-pemain sedia ada dengan meletakkan sasaran untuk mara ke peringkat separuh akhir biarpun menyedari bakal dicabar hebat sejak dari peringkat kumpulan lagi.

Dalam kempen Piala Malaysia yang akan bermula 26 September ini, Kedah diundi dalam Kumpulan E yang turut menampilkan Kelantan, Pulau Pinang dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Kedah akan berhati-hati dengan Kelantan kerana mereka mempunyai banyak bekas pemain kebangsaan yang berpengalaman," katanya.

Kedah menjulang Piala Malaysia pada musim 2007 selepas menundukkan Perak 3-0 dan mempertahankannya pada musim lepas dengan mengalahkan Selangor 3-2.

No comments:

Post a Comment