Saturday, August 29, 2009

Khyril kena rehat enam bulan


Terkilan tak dapat bantu negara sahut cabaran Sukan Sea

TATKALA rakan sepasukannya sudah berada di Asia Barat bagi kunjungan persahabatan sebagai persiapan ke Sukan Sea, Mohd Khyril Muhymeen Zambri (gambar) hanya mampu melihat dari jauh dengan dirinya tidak mampu berbuat apa-apa untuk membantu mereka dalam misi menamatkan kemarau emas di temasya itu, Disember nanti.

Tonggak sayap skuad K Rajagobal itu hanya mampu tabah menghadapi hakikat dirinya tidak akan berada dalam kumpulan pemain ke Laos selepas doktor mengesahkan pemain berusia 22 tahun itu memerlukan enam bulan untuk pulih daripada kecederaan otot kartilaj lutut yang dialami ketika menentang Kenya dalam perlawanan persahabatan, 12 Ogos lalu.

Khyrill terpaksa diusung keluar selepas terbabit dalam pertembungan dengan pemain Kenya pada lewat perlawanan, seterusnya diketepikan bagi perlawanan menentang China tiga hari selepas itu.

Namun pemeriksaan perubatan baru-baru ini mendapati tahap kecederaannya begitu serius sehinggakan bukan saja terpaksa melupakan dua perlawanan persahabatan menentang Arab Saudi, hari ini dan Selasa depan serta Jordan pada 5 September tetapi juga sepak mula Sukan Sea, 5 Disember depan.

“Kecederaan yang saya alami adalah ‘torn meniscus’ dan memerlukan saya menjalani pembedahan minggu depan.

“Doktor menasihati saya untuk berehat selama enam bulan. Ini bermakna saya tidak dapat beraksi pada Sukan Sea nanti,” katanya.

Kecederaan ini juga bermakna jurulatih Kedah, Mohd Azraai Khor Abdullah juga terpaksa melupakan khidmat pemain kelahiran Alor Setar itu bagi menghadapi kempen Piala Malaysia yang bermula pada 26 September ini.

No comments:

Post a Comment