Sunday, September 11, 2011

Polis pantau bookie Piala Malaysia 2011


SAINGAN Piala Malaysia yang sedang rancak berlangsung sekarang akan dipantau dengan rapi agar ia bersih daripada gejala mengatur perlawanan.


PIHAK polis memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menjadi bookie dalam saingan Piala Malaysia 2011 yang sedang rancak berlangsung sekarang.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya tidak teragak- agak untuk mengambil tindakan tegas sekiranya terdapat pihak yang cuba mengatur perlawanan.

Katanya, pihak polis kini sedang memantau perkembangan itu selepas kejayaan menahan seorang lelaki yang disyaki bookie dalam satu perlawanan Piala Malaysia di Johor baru-baru ini.

"Kita memberi amaran keras kepada mereka ini (bookie) supaya tidak meneruskan kegiatan haram tersebut kerana kita sentiasa memantau perkara ini.

"Sekiranya terdapat kegiatan seperti itu kita tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka," katanya semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Raya di rumahnya di Kampung Gebok, Mantin, Negeri Sembilan semalam.

Tambahnya, ketika ini kegiatan tersebut masih terkawal tetapi pihaknya sentiasa memantau setiap perlawanan bagi menjamin piala paling berprestij itu bebas daripada segala gejala tidak sihat berkenaan.

Akhbar tempatan sebelum ini melaporkan, seorang lelaki berusia 28 tahun ditahan Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin, Johor kerana disyaki mengambil pertaruhan dalam perlawanan yang membabitkan pasukan Johor menentang Kedah.

Rujuk di sini

No comments:

Post a Comment