Saturday, October 1, 2011

MUFC teguh kerana Alex Ferguson


Sir Alex Ferguson (kiri) menyatakan sesuatu kepada maskot MUFV, Fred the Red di Old Trafford, Manchester pada 18 September lalu.


APAKAH yang menjadikan Manchester United sebuah kelab bola sepak paling berjaya dalam Liga Perdana Inggeris? Pilih satu jawapan sahaja:

A) Memiliki bintang-bintang bola sepak yang mahir seperti Dwight Yorke, Roy Keane, Ryan Giggs, Eric Cantona, David Beckham, Carlos Tevez, Christino Ronaldo, Wayne Rooney?

B) Memiliki Old Trafford, stadium termoden dan antara terbesar di England?

C) Memiliki jutaan peminat di seluruh dunia walaupun hakikatnya warga Manchester sendiri cenderung kepada kelab Manchester City?

D) Dimiliki oleh keluarga Glazers yang memberi dana besar untuk membeli pemain ternama, memulakan trend sebelum Chelsea atau Manchester City?

E) Sir Alex Ferguson. Pengurus tunggal MUFC sejak 1986. Pintar dalam taktik, tegas dalam pengurusan. Diktator?

Maaf, tiada pilihan untuk jawapan ‘semua di atas’. Ini kerana ramai penyanjung dan penyokong MUFC akan memilih E iaitu Sir Alex Ferguson.

Teknik, gaya dan amalan pengurusannya telah dianalisis secara terperinci oleh pemerhati sukan bola sepak dan juga sektor korporat, jika tidak pun sesetengah negara yang masih mengamalkan sistem pemerintahan diktator.

Rata-rata analisis itu merumuskan faktor kejayaan Ferguson sebegitu meluas sebagai ‘keupayaan kelas pekerja’ bagi menilai kualiti para pemainnya, malah ada yang menyanjungnya sebagai memiliki ‘wawasan terowong’.

Beliau yang kini berusia 69 tahun, masih mengekalkan disiplin kerja yang diamalnya sejak mula menjadi pengurus kelab St. Mirren pada 1975, iaitu tiba di padang latihan seawal 7.30 pagi dan kerap bekerja selama 18 jam sehari.

Dikenali sebagai seorang pengurus yang ‘setia’ kepada pemain di bawah naungannya, menjadikan Ferguson suatu enigma kepada mana-mana pemain yang datang dan pergi.

Kesetiaan seumpamanya telah didokumentasi semasa skandal Ryan Giggs dengan isteri adiknya pada awal Mei lalu. Skandal memalukan itu meletup apabila Giggs mendapatkan perintah injuksi terhadap media daripada mendedahkan namanya tetapi kes itu menjadi hujah perdebatan Ahli-ahli Parlimen British, yang memiliki imuniti daripada tindakan mahkamah.

Begitu gentingnya kes itu, ia berlaku beberapa hari menjelang perlawanan akhir Piala Juara-juara Eropah menentang Barcelona. Seorang wartawan telah menanya ‘sejauh mana pentingnya Giggs kepada MUFC dalam perlawanan itu?”.

Kemarahan

Ia mendatangkan kemarahan Ferguson yang sememangnya memiliki rekod tebal memusuhi media (malah pernah mengarahkan pembatalan siaran MUFC TV daripada menyiarkan komen Roy Kean) telah didengar mengarahkan pegawainya agar ‘melarang’ wartawan itu daripada memasuki sidang akhbar sebelum perlawanan akhir.

Mungkin orang luar menganggap tindakan Ferguson tersebut sebagai ‘luar biasa’ tetapi tindakannya itu lebih kepada memastikan Giggs memberi tumpuan kepada tugasnnya, dan biarkan skandalnya itu diselesaikan sendiri di luar kelab.

Walaupun begitu, Ferguson tidak teragak-agak ‘mengajar’ para pemainnya yang tidak mematuhi arahan atau salah laku menerusi ‘layanan pengering rambut’. Ia digambarkan Ferguson akan menjerit-jerit marah dengan kepalanya rapat ke kepala individu yang malang.

Menurut seorang pencatat, legenda ‘layanan pengering rambut’ bermula pada zaman Andrei Kanchelskis bermain dengan MUFC pada 1991. Kanchelskis yang bermain di bahagian tengah telah dimaki-hamun Ferguson kerana prestasi buruk. Semua pemain di dalam bilik persalinan terkejut menyaksikan insiden tersebut. Dipendekkan cerita, selepas hari itu, MUFC memenangi 10 perlawanan berturut-turut.

Ferguson juga memastikan tiada siapa menjadi primadona dalam kelab, walau sehebat mana pun pemain itu. Paling diingati ialah Roy Keane yang ditunjukkan pintu keluar setelah merungut secara terbuka prestasi rakan-rakannya yang lain. David Beckham juga dijual ke Real Madrid setelah Ferguson bagaikan menyampah dengan publisiti yang menyelubungi kehidupan sosial superstar itu dengan isterinya, Victoria. Paling terkini ialah Christiano Ronaldo tatkala dia dianggap antara pemain penting MUFC.

Teknik pengurusan yang keras dan tegas telah menyaksikan Ferguson membawa MUFC mencatat rekod 19 kali juara England, lebih satu mengatasi Liverpool FC yang memiliki rekod lima kali Juara Eropah, lebih dua berbanding MUFC. Musim ini, MUFC bermula dengan cemerlang tatkala ramai mengharapkan kelab itu akan terencat sebaik sahaja pemain utamanya mengalami kecederaan.

Untuk seseorang yang makan-tidur dengan bola sepak, Ferguson agak memeranjatkan pemerhati dan para penyokong kelab itu sendiri dengan aktiviti di luar kelab. Dia amat menyukai sukan lumba kuda dan kes perbalahannya merebut kuda juara berakhir dengan penyelesaian berjuta-juta pounds.

Namun, satu sudut yang tidak ramai tahu mengenai Ferguson ialah dia berkecimpung dalam arena politik tempatan. Sebagai seorang protestan berasal dari Scotland, Ferguson berkempen untuk bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair dan merupakan ahli Parti Buruh.

Kempen

Dalam satu kempen di kawasan Holryood pada Mei lalu, satu mesej Ferguson dipaparkan dalam sekeping surat yang diedarkan kepada 100,000 pengundi. Ia menegaskan ‘Hanya Parti Buruh mampu menentang Tories pimpinan David Cameron (Perdana Menteri Britain sekarang)’.

Tidak dapat dipastikan apakah ramai penyokong MUFC menuruti kempen pilihan raya Ferguson dan mengundi parti Buruh kerana majoriti penyokong kelab itu bukan rakyat Britain pun.

Para penyokong kelab lain memahami mengapa MUFC dibawah teraju Ferguson begitu menonjol di kalangan generasi muda sekarang. Dalam tempoh dua dekad, MUFC adalah pasukan yang paling bergaya dan berjaya. Sesiapa yang membesar dalam tempoh ini, pasti terpikat dengan lambang kejayaan MUFC. Ia memerlukan kefahaman tersendiri mengapa dalam kejayaan MUFC itu, ramai juga memilih untuk menyokong pasukan England lain.

Persembahan skuad MUFC yang kini mengagumkan dan sepatutnya menjadi pendorong kepada lebih ramai peminat tetapi masih ada yang tidak terpengaruh. Ia adalah kerana sikap penyokong MUFC yang dilabel sebagai bongkak dan takbur menyebabkan sebilangan neutral memilih pasukan lain.

Mungkin itu bukan salah penyokong MUFC. Pasukan mereka menang, maka mereka berhak untuk bersorak riang. Tetapi bersoraklah sesama penyokong MUFC dalam lingkungan mereka sendiri. Tidak perlulah bersorak di hadapan penyokong lain seperti Gary Neville. Dan bagi sesiapa yang menyanjung Ferguson, ketahuilah dia tidak pernah mempersoalkan semangat patriotik sesiapa, sama ada orang itu memakai jersi MUFC atau tidak.

No comments:

Post a Comment