Friday, September 11, 2009

Skuad Hijau Kuning makin pening


KUALA LUMPUR – Jika dua musim sebelum ini, Kedah merupakan antara pasukan yang digeruni. Malah mereka turut membuktikan kemampuan mereka untuk menjadi juara treble Liga Malaysia dua kali bagi musim 2006/07 dan 2007/08.

Namun untuk musim ini, aksi mereka agak hambar dan dikatakan bakal bergelut untuk beraksi pada saingan Piala Malaysia yang akan bermula pada 26 September ini.

Lebih hampa, juara bertahan Piala Malaysia itu juga pernah dibenam 1-3 dalam satu perlawanan persahabatan oleh skuad bawah 23 (B-23) Malaysia Ogos lalu.

Dan kali ini, Kedah bertambah pening kerana Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) didakwa tidak menjalankan urusan mendapatkan pemain baru dengan agresif dalam menguatkan pasukan pada saingan Piala Malaysia.

Menurut sumber, skuad Kenari itu dikatakan telah memohon untuk mendapatkan penjaring terbanyak Liga Perdana, Mohd. Haris Safuan daripada pasukan T-Team, namun dakwa sumber itu, permohonan itu tidak dipedulikan sehingga pemain itu terlepas ke tangan KL PLUS.

“Kami rasa rugi dengan keadaan itu kerana bagi kami, Kedah perlu mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia yang kami menang dua tahun berturut-turut.

“Malah sikap ini juga menunjukkan KFA meremehkan keadaan pasukan yang amat memerlukan penyerang untuk digandingkan dengan Khyril Muhymeen Zambri,” katanya semalam.

Selain itu dakwanya, permohonan pasukan untuk mendapatkan kembali bekas pemain mudanya, Mohd. Bunyamin Omar juga masih tidak dilakukan.

Dakwa sumber itu lagi, KFA juga sepatutnya mendapatkan pemain tengah berusia 20 tahun itu yang merupakan pemain B-23 kebangsaan ketika ini.

“Pasukan telah memohon pihak pengurusan menjalankan urusan pertukaran tempat pengajian pemain terbabit dari Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang ke Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok, sebelum dia menyertai Kedah.

“Namun sehingga sekarang tiada sebarang urusan yang dilakukan KFA untuk mendapatkan pemain itu,” dakwa sumber itu lagi.

Tindakan KFA juga telah menambah beban kepada skuad berkenaan yang sedang memperkemaskan pasukan sebelum memulakan kancah Piala Malaysia.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat KFA, Dr. Hamdan Mohamed Khalib ketika dihubungi Utusan Malaysia memberitahu, Kedah telahpun membuat permohonan untuk mendapatkan Mohd. Haris sebelum ini namun permintaan itu ditolak oleh Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT).

“Tapi kita pun mempunyai pemain yang pernah memenangi Piala Malaysia sebelum ini, cukuplah tu. Kena pula permohonan itu (mendapatkan Mohd. Haris) ditolak, jadi terpaksalah kita terus guna khidmat pemain sedia ada dalam mengharungi cabaran Piala Malaysia kali ini.

“Saya percaya pengalaman yang ada pada jurulatih boleh digunakan untuk Kedah terus mempertahankan gelaran juara yang diperolehi tahun lalu,” ujarnya.

- Rujukan di sini

No comments:

Post a Comment