Wednesday, November 10, 2010

Khyril benteng sekat 'tsunami'

KUALA LUMPUR - Khyril Muhymeen Zambri mungkin mendapat kepercayaan jurulatih K. Rajagobal, bagi mengatasi masalah deretan kecederaan skuad Bawah 23 negara, yang memikul tugas lebih getir berdepan Jepun dalam acara bola sepak Sukan Asia XVI Guangzhou, petang ini.

Pemain depan serba boleh Kedah itu, kurang menyerlah di pentas tempatan, tetapi pengalaman dalam beberapa kejohanan senior, boleh diharapkan, apatah lagi dengan ketiadaan Ahmad Fakri Saarani sejak babak pertama menentang Kyrgyzstan, kelmarin.

Kemunculannya diperkuatkan dengan keadaan penjaring gol kemenangan, S. Chanturu yang turut belum pulih daripada kecederaan buku lali dan masih memerlukan balutan bongkah ais untuk meredakannya.

Rajagobal pasti tidak rela memperjudikan sayap kanan Kelantan itu lagi dengan Jepun walaupun dia sempat menguji kemampuan pemain Harimau Muda, Izzaq Faris Ramlan di barisan depan, yang masuk sebagai pemain gantian pada minit ke-83.

Ia seperti hampir mustahil untuk menjinakkan sebuah pasukan dengan reputasi segagah Jepun, walaupun untuk mencuri satu mata namun, hanya pemain berpengalaman seperti Khyril mungkin mempunyai idea tertentu.

Ada baiknya Chanturu direhatkan terlebih dulu, bagi menjalani pemulihan kerana khidmatnya mungkin lebih diperlukan bagi menentang China, Sabtu ini dalam usaha skuad negara memburu tiket ke pusingan kedua sekurang-kurangnya dengan keputusan seri.

Walaupun hanya sebagai pemain gantian, kelincahan Khyril amat ditagih, terutama dalam melancarkan serangan balas, biarpun berdepan tugas paling berat memandangkan Jepun sudah membenam tuan rumah, China 3-0 dalam satu lagi perlawanan Kumpulan A, kelmarin.

Ahmad Fakri dikatakan langsung tidak menjalani latihan semalam, malah ketiadaan ketua pasukan Norhafiz Zamani Misbah dalam sesi tersebut, turut membawakan khabar yang kurang menyenangkan pada barisan benteng kita.

Tanpa Norhafiz, lilitan lengan ketua pasukan dijangka berpindah kepada pemain tengah menyerang, Safiq Rahim dalam mengatur gerakan pasukan, biarpun dari segi usia, penyerang Norshahrul Idlan Talaha tampak lebih layak.

Pemain Selangor itu sudah pun diuji sebagai ketua pasukan Malaysia ketika persahabatan menentang Maldives di Petaling Jaya, minggu lalu dan kemahiran individunya dalam menggelecek, mencari ruang dan merembat, wajar menguatkan pemilihannya.

Penilaian di padang kelmarin membuktikan Jepun banyak memanfaatkan khidmat pemain paling seniornya, Daisuke Suzuki, 32, sehingga mampu mencipta enam percubaan ke gawang China kelmarin, berbanding dua milik tuan rumah.

Skuad negara cuma sempat menguji gawang Kyrgyzstan enam kali dengan hanya tiga daripadanya yang menuju gawang, sekali gus membayangkan betapa kubu Jepun yang bakal banyak berehat hari ini.

Ia akan disokong dengan kesukaran Malaysia menembusi mahupun menguasai bahagian tengah, yang bakal dibanjiri sehingga lima pemain Jepun yang lebih suka menggunakan formasi penyerang tunggal, Kensuke Nagai - penjaring gol ketiga ke atas China.

Jepun mendahului kumpulan dengan kelebihan jaringan dan diikuti Malaysia, tetapi mungkin keghairahan anak buah Takashi Sekizuka meraih tiket pusingan kedua lebih cepat menerusi kemenangan kedua hari ini, mungkin mampu dihukum skuad Rajagobal.

Barisan kemungkinan Malaysia: Khairul Fahmi Che Mat, Mahalli Jasuli, Muslim Ahmad, Asraruddin Putra Omar, Fadhli Shas, S. Kunanlan, Safiq Rahim, Amar Rohidan, Faizal Muhammad, Izzaq Faris Ramlan (Khyril Muhymeen Zambri), Norshahrul Idlan Talaha.

Utusan 10 Nov 2010

Sunday, October 24, 2010

Kelantan, NS ulangi final


PEMAIN-pemain Kelantan meraikan kejayaan mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia selepas menewaskan Kedah 1-0 pada pertemuan separuh akhir kedua di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu, semalam. - MINGGUAN/Hafiz Johari


KUALA LUMPUR - Bagaikan ulangan perlawanan akhir tahun lalu, Kelantan dan Negeri Sembilan sekali lagi bertemu pada pentas akhir bagi merebut kejuaraan Piala Malaysia edisi ke-84 di Stadium Bukit Jalil, 30 Oktober ini.

Jaringan tunggal daripada pemain kebangsaan Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-78 ekoran kesilapan penjaga gol Kedah, Mohd. Helmi Eliza Elias sudah cukup buat skuad Red Warriors menyingkirkan Kedah dalam aksi di Stadium Sultan Muhammed IV.

Gol tersebut membawa Kelantan ke pentas perlawanan akhir untuk dua musim berturut-turut menyebabkan stadium bertukar menjadi gegak gempita dengan sorakan padu lebih 20,000 penyokong fanatik tuan rumah.

Kehadiran semula Norshahrul dalam kesebelasan utama Kelantan ternyata membawa masalah kepada pasukan pelawat apabila merencanakan hampir setiap serangan Red Warriors.

Norshahrul hanya memerlukan tempoh empat minit untuk menguji gawang Kedah, namun percubaannya pada minit ke dua terkena tiang gol sebelum satu lagi rembatan kaki kirinya melebih palang gol, Mohd. Helmi Eliza Elias.

Percubaan pertama Kedah hadir seawal minit ke-11 melalui Mohd. Faizal Abu Bakar, namun sepakan leret diambilnya singgah di sebelah kanan gawang penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat.

Selepas asakan bertali arus, Norshahrul akhirnya menjadi pemusnah apabila sepakan sudut yang diambilnya melencong masuk ke dalam gawang dan gagal dibaca dengan baik oleh Mohd. Helmi yang tertumbuk ke dalam gawang sendiri.

''Kemenangan ini saya hadiahkan kepada semua penyokong setia Kelantan yang tidak putus-putus memberikan sokongan kepada kami.

''Mungkin ketiadaan saya dalam dua perlawanan ekoran penggantungan memberikan kelebihan kepada saya untuk beraksi baik membantu Kelantan mendapatkan gol,'' katanya selepas perlawanan.

Sementara itu, Negeri Sembilan bangkit menebus maruahnya yang tercalar di Paroi minggu lalu untuk mengatasi Johor FC 2-0 di gelanggang lawan apabila mara dengan kelebihan agregat 2-1.

Kemenangan itu melayakkan pasukan Negeri Sembilan ke Bukit Jalil buat kali kedua berturut-turut sekali gus menghancurkan harapan Sang Lebah untuk beraksi buat pertama kali.

Jaringan pertama disumbangkan oleh Mohd. Shukor Adan pada minit ke-36 melalui satu tandukan yang menerjah gawang lawan.

Gol kedua dijaringkan oleh Shahurain Abu Samah pada minit ke-60 separuh masa kedua melalui tendangan penalti selepas S. Kunalan dijatuhkan di dalam kotak penalti.

Skuad Lebah semakin hilang punca apabila pemain pertahanan mereka, Mohamad Izuan Jarudin dilayangkan kad merah selepas mengutip kad kuning kedua.

Perlawanan juga tergendala selama dua minit pada minit ke-84 apabila penyokong tuan rumah membaling botol ke dalam padang gara-gara membantah keputusan pengadil, namun pasukan keselamatan dapat mengawal keadaan.
UTUSAN 24/10/10

Final ulangan


BARISAN pemain Negeri Sembilan meraikan kejayaan mara ke final Piala Malaysia selepas menyingkirkan Johor FC di Pasir Gudang malam tadi.


DUA gergasi bola sepak tempatan, Negeri Sembilan dan Kelantan sekali lagi akan berentap pada final Piala Malaysia, 30 Oktober ini, lapor NASRI JAMALUDIN dan KHAIRI MOHAMAD.

Tatkala Negeri Sembilan menyingkirkan Johor FC, Kelantan pula membenam cabaran Kedah.

Pada aksi separuh akhir kedua malam tadi, Negeri Sembilan yang tampil selaku penyandang juara mencipta kemenangan 2-0 di Stadium J.Corp, Pasir Gudang.

Mohd. Shukor Adan meledak gol pembukaan Negeri Sembilan pada minit ke-36.

Shahurain Abu Samah melengkapkan gol kedua Negeri Sembilan menerusi sepakan penalti pada minit ke-61.

Kemenangan itu menyaksikan skuad Hoben Jang Hoben mara ke final dengan agregat 2-1 selepas mereka tewas 0-1 pada aksi separuh akhir pertama di Paroi Rabu lalu.

Kelantan pula berpeluang membalas dendam kekalahan 1-3 kepada Negeri Sembilan pada aksi final musim lalu apabila menyingkirkan Kedah dengan agregat 1-0.

Selepas seri tanpa jaringan di Alor Setar, Kelantan ternyata memiliki kelebihan apabila tampil di hadapan ribuan penyokong mereka di Stadium Sultan Muhammed IV.

Sebaik wisel permulaan dibunyikan, Kelantan terus memulakan asakan untuk mencari gol awal dalam tempoh 20 minit pertama.

Bagaimanapun, benteng Kedah yang diterajui penjaga gol, Helmi Eliza Alias bijak menafikan setiap peluang yang dicipta Kelantan sepanjang babak pertama.

Babak kedua menyaksikan Kedah memperoleh rentak dan berjaya mengimbangi permainan dengan melakukan beberapa asakan ke pintu gol Kelantan.

Bagaimanapun, gol yang dinantikan peminat Kelantan akhirnya hadir pada minit ke-78 hasil jaringan cantik Norshahrul Idlan Talaha.

Kejayaan mara ke pentas final Piala Malaysia pastinya memberikan keceriaan buat Kelantan selepas mereka 'kehilangan' jurulatih, B. Sathianathan.

Terdahulu, Sathianathan digantung selama enam bulan serta denda RM2,000 oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Ia berpunca daripada kenyataan Sathianathan yang melahirkan rasa tidak puas hati apabila aksi Liga Super antara Perlis dan Terengganu yang sepatutnya berlangsung di Stadium Utama Negeri, Kangar terpaksa diadakan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Final Piala Malaysia dijadualkan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil Sabtu ini.
KOSMO! 24/10/10

Friday, October 22, 2010

Kedah buru gol awal

hazali@utusan.com.my

Pemain Kelantan Mohd. Rizal Fahmi Rosid (kanan) dan pemain Kedah, Ahmad Fauzi Shaari akan berentap lagi pada perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia di Kota Bharu, hari ini.


KUALA LUMPUR - Kedah tidak gentar dengan reputasi gah Kelantan di laman sendiri pada perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia hari ini, sebaliknya sudah bersiap bersedia untuk membunuh harapan tinggi peminat fanatik skuad tuan rumah.

Jurulatih Kedah, Ahmad Yusoff berkata, Kedah akan memburu gol awal, kerana ia akan memberikan kelebihan kepada pasukannya untuk mengatasi Kelantan, berdasarkan peraturan gol di tempat lawan pada pertembungan di Stadium Sultan Muhammed IV.

''Pemain Kedah sudah bersedia seratus peratus untuk membawa negeri ini sekali lagi ke perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil,

''Kami akan ke Kota Bharu dengan kehadiran semula Mohd. Sabre Mat Abu dan Khairul Helmi Johari, yang akan memantapkan bahagian pertahanan.

''Perlawanan di Kota Bharu bukan mudah, tetapi tidak mustahil kami boleh mengalahkan Kelantan di hadapan ribuan penyokong mereka, berdasarkan rekod pertemuan sebelum ini.

''Pada pusingan kedua Piala FA, Kedah mengikat Kelantan 1-1 di Kota Bharu dan kami layak kerana berjaya menjaringkan satu gol di sana.

''Gol awal menjadi sasaran kami kerana ia akan memberikan banyak ruang kepada pemain untuk menyerang.

''Sebaliknya pasukan tuan rumah sudah pasti akan terdesak untuk mendapatkan gol penyamaan, '' katanya semalam.

Bagaimanapun, Ahmad Yusof sedar dia bakal menghadapi tugas berat, kerana Kelantan kembali diperkuatkan dengan kehadiran Norshahrul Idlan Talaha, yang selesai menjalani penggantungan.

''Strategi khusus telah dirangka untuk merantai Norshahrul dan Akmal Rizal Rakhli, selain beberapa pemain lain seperti Mohd. Nor Farhan Muhammad serta Indra Putra Mahayuddin.

''Pengalaman mereka yang luas mungkin akan menghukum Kedah jika barisan pemain saya lalai mengekang pergerakan mereka, '' katanya.

Kedah, yang telah kehilangan V. Thirumurugan dan Fazliata Taib, menerima khabar buruk apabila bek kiri, Azmi Muslim disahkan mengalami kecederaan paha dan tidak dapat diturunkan.

UTUSAN 23/10/10

Nor Shahrul, Akmal mampu benam Kedah


tonggak penyerang Kelantan, Nor Shahrul Idlan Talaha (dua dari kanan) dan Akmal Rizal Rakhli (tiga dari kanan) giat menjalani latihan di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu semalam sebagai persediaan menentang Kedah dalam Piala Malaysia, hari ini. - UTUSAN/Hafiz Johari

KOTA BHARU - Meskipun Kedah mempunyai rekod baik di Stadium Sultan Muhammed IV musim ini, Kelantan sudah bersiap sedia untuk menjadikan lawan mereka itu sebagai mangsa, selepas menjinakkan Selangor dalam saingan Piala Malaysia.

Beraksi di depan 25,000 penyokong setia mereka, Kelantan pasti mempunyai kelebihan psikologi pada separuh akhir kedua Piala Malaysia, hari ini.

Kelantan dilimpahi pelbagai berita gembira apabila penyerang kebangsaan, Nor Shahrul Idlan Talha akan beraksi, setelah digantung akibat menerima kad merah.

Gandingan Nor Shahrul dan Akmal Rizal Rakhli, pasti meresahkan pertahanan Kedah.

Gandingan Nor Shahrul-Akmal telah meledak lapan gol setakat ini dan ini memaksa pertahanan Kedah, terutama penjaga gol mereka, Helmi Eliza Elias perlu bekerja lebih keras.

Ketua jurulatih Kelantan, B. Sathianathan berkata, pasukannya membuat persiapan rapi untuk perlawanan hari ini.

"Kedah sebuah pasukan yang hebat. Prestasi di atas kertas juga memihak kepada mereka.

''Kedah mempunyai lima pemain kebangsaan. Mahu tak mahu, kita kena bagi yang terbaik pada perlawanan malam esok,'' katanya ketika ditemui, semalam.

Ditanya mengenai peluang pasukannya pada perlawanan hari ini, bekas pengendali skuad kebangsaan itu memberitahu: "Saya yakin kita mampu ke perlawanan akhir. Ini berdasarkan apa yang pemain tunjukkan pada perlawanan separuh akhir pertama, walaupun kita terpaksa membuat pertukaran pemain dalam tempoh sepuluh minit.

"Pemain tetap fokus dan berjaya mencipta beberapa peluang gol dalam perlawanan tersebut, inilah yang kita mahukan,'' katanya.

Tambahnya, untuk perlawanan hari ini, beliau akan membuat sedikit perubahan taktikal bagi mengisi kekosongan Azizi Mat Rose, yang cedera.

"Perubahan taktikal terpaksa dilakukan, namun bagi saya ia tidak menjejaskan persiapan saya. Rata-rata pemain yang saya miliki mampu beraksi seperti yang saya mahukan.

"Inilah peluang mereka yang tidak tersenarai sebelum ini untuk membuktikan sesuatu kepada pasukan,'' katanya.

Sathianathan juga berkata, Kelantan juga bersedia jika permainan diheret sehingga ke masa tambahan.

UTUSAN 23/10/2010

Hari penentuan ke final buat Kelantan, Kedah


BARISAN pemain Kelantan giat menjalani latihan menjelang aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu malam ini.


MALAM ini akan menjadi hari penentuan buat Kelantan dan Kedah yang akan membuat perhitungan pada aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu.

Apa yang pasti, Kelantan ada dua misi penting untuk dilaksa- nakan pada perlawanan ini.

Pertama, mereka berazam mengulangi sejarah layak ke perlawanan akhir buat kali kedua berturut -turut dan keduanya untuk membenam Kedah di laman sendiri bagi rekod cemerlang sang Kenari di Stadium Sultan Muhammed IV.

Kedah pernah menewaskan The Red War- riors dalam perlawanan Liga Super 19 Januari lalu dengan jaringan 1-0.

Kekecewaan tewas di tangan gergasi utara itu masih kemas terlekat pada memori para penyokong yang mahu anak-anak buah B. Sa- thianathan membuktikan mereka adalah jaguh sebenar Pantai Timur.

Turun tanpa dua tonggak penting, Azizi Mat Rose dan S. Subramaniam, kem Kelan- tan agak resah, namun kehadiran semula penggempur kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha mungkin mengembalikan keyakinan mereka untuk memburu kemenangan.

Perlawanan di Alor Setar tempoh hari memperlihatkan jentera serangan Kelantan kurang menyengat melalui gandingan Hairu- din Omar dan Akmal Rizal Rakhli selain tiga pertukaran dalam tempoh 15 minit pertama yang telah merencatkan rentak permainan mereka.

Perlawanan fasa kedua peringkat kumpu- lan dan suku akhir adalah ‘benchmark’ kepada Kelantan melalui gandingan Norshahrul dan Akmal Rizal yang menerajui jentera se- rangan Kelantan sehingga berjaya mengha- silkan 13 gol dalam lima perlawanan.

Daripada jumlah tersebut, 11 gol telah di- ledakkan di Kota Bharu dan statistik tersebut seharusnya mengundang resah kepada pemi- nat-peminat setia Kedah terutama buat pengendalinya, Ahmad Yusof.

Selepas seminggu kejayaan membenam dan ‘menghanyutkan’ nama Selangor dari senarai pasukan bertanding dalam Piala Malaysia, penyokong mahu stadium keramat mereka sekali lagi menjadi saksi lakaran kemenangan terus berpihak kepada Kelantan.

Malam ini sekali lagi ‘tentera-tentera merah’ akan membanjiri stadium dan mereka nyata enggan pulang hampa ketika persiapan menuju ke Shah Alam kini sudah pun bermula.

Bagi Sathia, beliau enggan mendabik dada dan lebih selesa sekiranya Kelantan hanya diletakkan selaku underdog, namun tetap op- timis pasukannya itu akan sekali lagi melangkah ke perlawanan akhir 30 Oktober ini.

“Kedah bukan satu pasukan yang mudah buat kita, mereka ada lima pemain kebang- saan dan mereka juga mendapat kembali khidmat dua pemain utama yang digantung sebelum ini. Situasi itu sedikit merisaukan saya.

“Saya percaya pemain-pemain kita sudah siap. Selepas melangkah sampai ke peringkat ini, saya tidak rasa pemain akan memberi laluan mudah kepada Kedah. Peminat setia Kelantan akan sekali lagi menjadi saksi bahawa pasukan mereka berhak ke pentas akhir,” katanya.

Tambahnya, beliau menjangkakan suatu perlawanan sengit akan berlangsung malam ini dan berharap para pemainnya memberikan fokus serta mempamerkan tahap disiplin yang tinggi bagi menjamin keja- yaan.

Jelasnya, percaya pada diri sendiri dan tidak terlalu yakin adalah kekuatan yang mampu menyumbang kejayaan dan melangkah ke perlawanan akhir selepas menewaskan Kedah adalah sesuatu yang sangat manis untuk di kecapi.

“Sebelum ini ramai juga yang tidak yakin kita mampu menewaskan Selangor tetapi pemain telah membuktikan Selangor bukan- lah sebuah pasukan yang boleh menang selalu dan saya mahu pemain melakukan- nya sekali lagi malam esok (malam ini),” ujarnya.

KOSMO 23 Oktober 2010

Thursday, October 21, 2010

Kedah Sukar di Kota Bharu

ALOR SETAR - Skuad Kedah seharusnya gusar apabila beraksi di Kota Bharu esok jika aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia menentang Kelantan di Stadium Darul Aman kelmarin, dijadikan ukuran.

Pasukan bimbingan Ahmad Yusoff itu melepaskan peluang untuk mencari kelebihan pada pertembungan pertama, apabila sekadar mencatat keputusan seri tanpa jaringan.

Meskipun semangat mereka disuntik dengan kehadiran kira-kira 25,000 penyokong, skuad Sang Kenari kurang bertenaga untuk mencari bekalan selesa pada perlawanan separuh akhir kedua di Kota Bharu, esok.

Keputusan itu menyukarkan misi mereka kerana di Kota Bharu, Sang Kenari bukan sahaja berdepan Sang Kijang, bahkan berpuluh ribu penyokong 'Wira Merah' yang bakal memenuhi Stadium Sultan Muhammed IV.

Bagaimanapun, skuad Hijau Kuning masih mempunyai 90 minit untuk 'melakukan sesuatu' bagi merealisasikan impian mara ke perlawanan akhir buat kali ketiga dalam tempoh empat musim Piala Malaysia.

Mahu atau tidak, Kedah perlu berusaha memastikan perlawanan separuh akhir kedua esok, sekurangnya-kurangnya berkesudahan dengan keputusan seri dengan jaringan gol.

Ini kerana format pertandingan menggunakan jaringan gol di tempat lawan bagi menentukan pemenang.

Berdasarkan format itu juga, jika Kedah dapat menjaringkan gol, ia pasti memberi tekanan kepada Kelantan, kerana mereka tiada pilihan selain memenangi perlawanan itu selepas gagal merobek gawang Sang Kenari di gelanggang lawan.

Ahmad mengakui pasukannya berdepan tugas getir di Kota Bharu, tetapi menganggap ia bukan misi mustahil untuk menundukkan Kelantan.

Katanya, pada perlawanan kelmarin, selepas kehilangan empat tonggak, rentak permainan Kedah sedikit terganggu, apabila seorang lagi pemain pertahanan utama di posisi kiri, Azmin Muslim terpaksa dikeluarkan seawal minit ke-11 akibat kecederaan.

"Para pemain seakan terkejut dengan keadaan itu tetapi kemudian dapat menyerap tekanan dan mengimbangi perlawanan," katanya.

Ahmad berkata, sekembalinya dua tonggak iaitu Sabree Abu dan Khairul Helmi Johari, ia akan memantapkan lagi kesebelasan Kedah dan percaya pemain mampu melakukan yang terbaik untuk ke perlawanan akhir.