Friday, October 22, 2010

Kedah buru gol awal

hazali@utusan.com.my

Pemain Kelantan Mohd. Rizal Fahmi Rosid (kanan) dan pemain Kedah, Ahmad Fauzi Shaari akan berentap lagi pada perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia di Kota Bharu, hari ini.


KUALA LUMPUR - Kedah tidak gentar dengan reputasi gah Kelantan di laman sendiri pada perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia hari ini, sebaliknya sudah bersiap bersedia untuk membunuh harapan tinggi peminat fanatik skuad tuan rumah.

Jurulatih Kedah, Ahmad Yusoff berkata, Kedah akan memburu gol awal, kerana ia akan memberikan kelebihan kepada pasukannya untuk mengatasi Kelantan, berdasarkan peraturan gol di tempat lawan pada pertembungan di Stadium Sultan Muhammed IV.

''Pemain Kedah sudah bersedia seratus peratus untuk membawa negeri ini sekali lagi ke perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil,

''Kami akan ke Kota Bharu dengan kehadiran semula Mohd. Sabre Mat Abu dan Khairul Helmi Johari, yang akan memantapkan bahagian pertahanan.

''Perlawanan di Kota Bharu bukan mudah, tetapi tidak mustahil kami boleh mengalahkan Kelantan di hadapan ribuan penyokong mereka, berdasarkan rekod pertemuan sebelum ini.

''Pada pusingan kedua Piala FA, Kedah mengikat Kelantan 1-1 di Kota Bharu dan kami layak kerana berjaya menjaringkan satu gol di sana.

''Gol awal menjadi sasaran kami kerana ia akan memberikan banyak ruang kepada pemain untuk menyerang.

''Sebaliknya pasukan tuan rumah sudah pasti akan terdesak untuk mendapatkan gol penyamaan, '' katanya semalam.

Bagaimanapun, Ahmad Yusof sedar dia bakal menghadapi tugas berat, kerana Kelantan kembali diperkuatkan dengan kehadiran Norshahrul Idlan Talaha, yang selesai menjalani penggantungan.

''Strategi khusus telah dirangka untuk merantai Norshahrul dan Akmal Rizal Rakhli, selain beberapa pemain lain seperti Mohd. Nor Farhan Muhammad serta Indra Putra Mahayuddin.

''Pengalaman mereka yang luas mungkin akan menghukum Kedah jika barisan pemain saya lalai mengekang pergerakan mereka, '' katanya.

Kedah, yang telah kehilangan V. Thirumurugan dan Fazliata Taib, menerima khabar buruk apabila bek kiri, Azmi Muslim disahkan mengalami kecederaan paha dan tidak dapat diturunkan.

UTUSAN 23/10/10

No comments:

Post a Comment