Friday, March 20, 2009

Tiket habis, tempat duduk masih banyak kosong


TIKET astaka utama Stadium Darul Aman, Alor Setar yang berharga RM15, dilaporkan habis dijual sebaik bermulanya perlawanan Piala AFC membabitkan Kedah menentang Chonburi FC, Selasa lalu.

Namun, apa yang menimbulkan tanda tanya ialah masih terdapat banyak ruang kosong di astaka utama stadium berkenaan yang turut memuatkan tempat duduk VVIP.

Cerita tiket habis dijual itu mungkin gah bunyinya, namun realitinya, penonton yang hadir ke Stadium Darul Aman pada malam berkenaan kurang daripada 10,000.

Difahamkan, Stadium Darul Aman mampu memuatkan 35,000 penonton pada satu-satu masa.

Seorang penyokong Kedah, Boon Sis mendakwa, bagi membolehkannya memasuki astaka utama, dia terpaksa membeli dua tiket iaitu berharga RM12 dan RM7.

"Saya terpaksa membeli dua tiket iaitu tiket berbumbung dengan harga RM12 dan tiket terbuka berharga RM7.

"Saya lakukan ini bagi memastikan nilainya lebih dan layak untuk saya masuk ke astaka utama kerana tiket asal astaka utama yang berharga RM15 telah habis dijual.

"Selepas dibenarkan masuk ke astaka utama kerana mempamerkan dua tiket itu, saya terkejut melihat tempat duduk yang banyak kosong," dakwanya ketika ditemui Kosmo! semalam.

Tambah Boon Sis, selain dia, terdapat beberapa penonton lain yang turut melakukan tindakan sepertinya kerana mahu bersama rakan lain berada di astaka utama.

Jelasnya, Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) sepatutnya menyediakan tiket yang secukupnya untuk perlawanan tersebut.

"Saya tidak faham kenapa keadaan seperti ini boleh berlaku. Adakah KFA tidak memaklumkan kapasiti astaka utama kepada AFC atau perlawanan yang dipertandingkan itu tidak berprestij untuk ditonton.

"Saya mohon kepada kedua-dua badan induk itu untuk tidak mengulangi masalah ini sehingga membebankan penonton pada perlawanan seterusnya," tegasnya lagi.

KOSMO 20 Mac 2009

No comments:

Post a Comment