Tuesday, March 17, 2009

PIALA AFC : Kedah gagal buat kejutan


ALOR SETAR - Hajat membuat kejutan di gelanggang sendiri gagal ditunaikan Kedah apabila tewas 0-1 kepada Chonburi FC dari Thailand pada perlawanan Kumpulan G, Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2009 di Stadium Darulaman, semalam.

Selepas tewas 1-3 kepada ACB Hanoi pada perlawanan terdahulu, Kedah yang cuba mencari kemenangan sulung beraksi garang pada awal permainan dengan mengatur beberapa asakan pantas tetapi dalam satu serangan balas pasukan pelawat, tuan rumah dikejutkan jaringan Kone Mohamed pada minit ke-33.

Dalam perlawanan semalam, sebaik pengadil dari China, Zhao Liang meniupkan wisel permulaan, Kedah tampak bersemangat mengatur asakan yang menyaksikan pada minit kedua, penyerang Badrol Bakhtiar memperoleh peluang keemasan tetapi rembatannya tersasar.

Ini membangkitkan semangat Kedah untuk meneruskan asakan tetapi kecetekan pengalaman beraksi di peringkat antarabangsa dan ketiadaan penyudah menghampakan penyokong tuan rumah walaupun beroleh kesempatan.

Bagaimanapun, perlawanan kembali seimbang dengan Chonburi FC pula mencemaskan benteng pertahanan Kedah, namun tuan rumah tanpa beberapa tonggak masih mampu mengekang asakan pelawat yang membariskan tujuh pemain kebangsaan dan pemain import.

Akhirnya dalam satu gerakan, penyerang Chonburi FC, Kone mudah memperdayakan pemain pertahanan, Victor Andrag sebelum menyepak masuk ke penjuru gawang yang gagal diselamatkan penjaga gol, Helmi Eliza Alias pada minit ke-33 untuk pasukan pelawat mendahului 1-0.

Walaupun ketinggalan, Kedah tetap bersemangat untuk mencari jaringan penyamaan pada babak kedua dengan menyaksikan Badrol sekali lagi mempunyai peluang untuk merembat ke dalam pintu gol Chonburi FC ketika penjaga gawang, Kosin Hathairattanakool terlajak ke depan.

Namun, sepakan Badrol ditampan pemain pertahanan, Surat Sukha untuk bola yang melantun kembali ke dalam dakapan Kosin pada minit ke-46.

Permainan kemudiannya kembali seimbang tetapi tuan rumah ternyata gagal menembusi benteng Chonburi FC untuk kedudukan kekal dengan pasukan pelawat memungut mata penuh di Stadium Darulaman.

No comments:

Post a Comment