Monday, March 23, 2009

Disiplin penyokong Kedah tercorot di ASIA

ALOR SETAR - Disiplin dan tingkah laku penyokong pasukan bola sepak Kedah adalah yang tercorot berbanding negara lain di Asia.

Pegawai Media Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Mohd Fakhri Ahmad berkata, walaupun permainan pasukan bola sepak dan pemainnya bagus dalam perlawanan, tetapi sikap penyokong setiap kali berlangsungnya satu perlawanan adalah yang paling teruk sekali.

Menurutnya, KFA terpaksa menanggung kerugian akibat perbuatan tidak berdisiplin penyokong apabila ada diantara mereka membaling mercun dan sebagainya ketika perlawanan berlangsung.

“Setiap balingan mercun yang dilontarkan, pihak KFA terpaksa membayar saman sebanyak USD 5,000 (RM15,000) kepada Kelab Bola Sepak Asia (AFC) dan pada musim lepas, KFA menjelaskan saman sebanyak RM15,000 akibat perbuatan penyokong itu.

“KFA juga pernah menerima saman sehingga RM10,000 dan paling maksima hingga kini adalah sebanyak RM35,000. Ini adalah satu pembaziran,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, semalam.

Fakhri berkata, wang sebanyak itu tidak seharusnya dibazirkan semata-mata untuk menjelaskan saman yang dikenakan. Wang itu boleh digunakan untuk pembangunan sukan bola sepak negeri.

“Saya meminta kerjasama semua penyokong agar menjaga disiplin masing-masing semasa berlangsung perlawanan akan datang bagi mengelak kejadian sama berulang,” katanya.

Mengulas mengenai kutipan tiket, Fakhri berkata, kutipan tiket sekarang semakin menurun termasuk semasa perlawanan antara Chonburi FC dari Thailand menentang pasukan Kedah pada perlawanan Kumpulan G, Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2009, 17 Mac lalu.

Menurutnya, hal itu mungkin disebabkan prestasi pasukan bola sepak Kedah, walaupun pasukan kita menang dalam beberapa perlawanan, tetapi nasib tidak menyebelahi kita.

No comments:

Post a Comment