Saturday, September 12, 2009

Kedah sasar separuh akhir Piala Malaysia: Azraai


ANDAI berpandu kepada gelagat pengurusan pasukan, Kedah berdepan kemungkinan sukar untuk mempertahankan mahkota kejuaraan Piala Malaysia apabila kancah saingan itu bermula 26 September ini.

Ketua jurulatih Kedah, Mohd Azraai Khor Abdullah terpaksa menerima hakikat ini dan dia boleh meletakkan sasaran sekadar layak ke separuh akhir daripada memasang impian besar selepas gagal mengulangi kejayaan Liga Super dan Piala FA, musim ini.

Kepincangan itu boleh dikaitkan dengan kelembapan pegawai Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) yang lambat bertindak mendapat sumbangan pemain dari negeri lain ketika sebelum ini mereka berpeluang mendapatkan khidmat Harif Safwan - penjaring terbanyak Liga Perdana yang mewakili pasukan T Team (Terengganu) dan Bunyamin Omar yang beraksi untuk MyTeam pada Liga Super.

Ia bukan pertama kali KFA lambat bertindak atau pun tidak bertanggungjawab dalam tugas mereka yang mengakibatkan pasukan dan ribuan peminat terpaksa berputih mata pada akhir musim ini.

Kini Azraai tiada pilihan kecuali menurunkan barisan pemain yang masih kekal bersamanya kecuali penyerang kebangsaan, Khyril Muhymeen yang terpaksa berehat selama enam bulan selepas pembedahan lutut.

“Saya terpaksa menerima hakikat membariskan pemain muda musim ini dan sasaran layak ke separuh akhir menjadi matlamat ketika ini,” katanya.

Kedah akan bertemu Selangor pada Selasa ini di Selangor pada perlawanan ujian dan Azraai difahamkan akan menggunakan kesempatan ini untuk mengenal pasti kesebelasan utama beraksi di Piala Malaysia.

No comments:

Post a Comment