Sunday, September 27, 2009

Aksi mengecewakan Kedah

MENGECEWAKAN.

Begitu perasaan jurulatih Kedah, Mohd. Azraai Khor Abdullah dengan aksi hambar anak buahnya ketika menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang sekadar seri 1-1 pada aksi pembuka tirai saingan Piala Malaysia Kumpulan E di Stadium Darul Aman, Alor Setar kelmarin.

Kehampaan pengendali skuad Hijau Kuning itu ada asasnya, deretan peluang terhidang depan gawang lawan dipersiakan begitu sahaja.

Kedah boleh menang besar tetapi ketumpulan barisan serangan mengheret skuad Kenari ke laluan yang berliku selepas ini.

“Saya tidak puas hati dengan keputusan ini. Ia sungguh mengecewakan biarpun kita menguasai perlawanan dengan tiga atau empat peluang pada separuh masa pertama tetapi akhirnya kita gagal.

“Kelemahan serangan amat ketara. Sebab itu kita mahu meminjam pemain bagi mengatasi masalah penyerang tetapi itu pun kita gagal,” kata Azraai pada sidang media selepas perlawanan tersebut.

Pada perlawanan itu pasukan tuan rumah mendahului pada minit ketujuh menerusi Mohd. Faizal Abu Bakar sebelum jaringan penyamaan pasukan pelawat disempurnakan oleh M. Chadarashekar menerusi sepakan percuma pada minit ke-78.

Selepas jaringan Faizal, skuad Kenari memperoleh banyak peluang menerusi Badrol Bakhtiar, Sabree Abu dan Mohd. Azrul Ahmad, namun gagal merobek gawang lawan.

Dalam satu lagi saingan Kumpulan E kelmarin, Kelantan yang dibimbing bekas jurulatih kebangsaan B. Sothianathan menewaskan Pulau Pinang 2-1.

Azraai memberitahu, dengan laluan sukar setelah seri perlawanan pertama, anak buahnya perlu tampil lebih positif selepas ini lebih-lebih lagi ketika bertandang ke Kota Bharu menentang Kelantan, esok.

“Saya berharap pemain dapat melakukan sesuatu walaupun perlawanan itu bakal menyaksikan pertembungan sengit. Apa yang pasti kita perlu bekerja kuat dan tidak berputus asa,” katanya.

Menyentuh kemungkinan Kedah akan mengumpulkan semula kesebelasan utama mereka, Azraai berkata, ia tidak boleh dilakukan pada Piala Malaysia kali ini ekoran kecederaan empat pemain utama termasuk Mohd. Khyril Muhyameen Zambri yang terpaksa berehat enam bulan.

V. Thirumurugan dan Mohd. Fadly Baharum mungkin boleh beraksi semula pada pertengahan saingan Piala Malaysia manakala K. Samransak biarpun sudah menyertai rakan-rakan menjalani latihan tetapi aksi yang ditunjukkan masih belum menyakinkan.

- Rujukan di sini

No comments:

Post a Comment