Sunday, September 27, 2009

Serangan tumpul hantui Kedah

ALOR SETAR - Kedah terpaksa merintis laluan berduri untuk mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia selepas hanya mampu mencatat keputusan seri dalam perlawanan pembukaan kempen menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Darul Aman kelmarin.

Ketua jurulatih, Mohd. Azraai Khor Abdullah mengakui, skuadnya perlu bangkit segera pada perlawanan akan datang jika mahu mengekalkan trofi berprestij itu di negeri jelapang padi.

Menurutnya, persembahan yang ditunjukkan anak buahnya kelmarin jika tidak ditingkatkan mampu membawa padah kepada penyandang juara tersebut.

Meskipun bersikap positif dengan peluang Sang Kenari, Mohd. Azraai menyifatkan ketumpulan barisan serangan yang cuba diperbaiki selepas kehilangan beberapa pemain tonggak di bahagian itu masih menghantui pasukan Hijau Kuning.

"Ini keputusan pembuka tirai yang mengecewakan. Walaupun menguasai perlawanan, namun sekurang-kurangnya lima peluang terhidang untuk menjaringkan gol dipersiakan pemain.

"Masalah ini sudah banyak kali diulangi tetapi barisan serangan masih tidak dapat melaksanakan tugas," katanya kepada pemberita selepas perlawanan menentang ATM malam kelmarin.

Dalam perlawanan Kumpulan E itu, Kedah yang gah sebagai juara treble pada musim lalu hanya mampu seri 1-1 meskipun peminatnya meletakkan harapan tinggi untuk mencipta kemenangan.

Skuad Sang Kenari mendahului pada minit ketujuh menerusi Faizal Abu Bakar yang menyudahkan hantaran lintang Sabree Abu namun penyerang ATM, M. Chandrashekar meranapkan impian tuan rumah untuk meraih tiga mata apabila menyamakan kedudukan pada minit ke-78.

Mohd. Azraai berkata, Kedah dijangka tidak dapat menurunkan kesebelasan terbaiknya sepanjang kempen Piala Malaysia ekoran kecederaan pemain utama seperti Khyril Muhymeen Zambri, Fadly Baharom, Saramsak Kram dan V. Thirumurugan selain gagal mendapatkan pemain pinjaman untuk membantu menguatkan pasukan.

Justeru, katanya, para pemain sedia ada perlu meningkatkan prestasi dan yakin dengan kemampuan diri masing-masing kerana harapan penyokong skuad Hijau Kuning digalas di bahu mereka.

"Saya berharap pada perlawanan menentang Kelantan selepas ini para pemain dapat bangkit dan mencapai keputusan yang didamkan," katanya.
28 Sept 2009/Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment