Monday, November 2, 2009

Saya sudah sedia kemudi Kedah - Ahmad Yusof

ALOR SETAR - Teka teki mengenai siapa yang bakal mengemudi skuad bola sepak Kedah akhirnya terjawab apabila bekas jurulatih Pahang, Ahmad Yusof secara rasmi dilantik sebagai ketua jurulatih yang baru berkuat kuasa semalam.

Jurulatih berusia 49 tahun itu mengikat kontrak selama setahun bersama Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) bagi menggantikan Mohd. Azraai Khor Abdullah yang meninggalkan Sang Kenari untuk membimbing pasukan Harimau Muda mengharungi saingan Liga Malaysia musim depan.

Meskipun menyedari berdepan dengan tugas berat, namun Ahmad menyatakan dia sudah sedia sepenuhnya mengambil alih jawatan itu daripada Mohd. Azraai di sebalik harapan menggunung yang disandarkan terhadapnya.

Katanya, dia menyasarkan untuk membantu Kedah mengulangi kejayaan gemilang memenangi tiga piala seperti yang dikecapi pada musim 2007 dan 2008.

"Apabila bersetuju menerima tugas ini, saya tahu tiada pilihan lain kecuali memberi yang terbaik untuk membimbing sebuah pasukan elit seperti Kedah.

"Dengan barisan pemain dan kerjasama daripada pihak pengurusan serta penolong-penolong jurulatih, insya-Allah Kedah akan kembali pada landasan yang diharapkan," katanya pada majlis menandatangangi kontrak bersama KFA di sini semalam.

Hadir pada majlis itu ialah Timbalan Presiden KFA, Datuk Paduka Syed Unan Mashri Syed Abdullah; Setiausaha Kehormat KFA, Dr. Hamdan Mohamed Khalib dan pengurus pasukan, Datuk Khazali Din.

Pada majlis itu, KFA turut mengumumkan pengguguran lima pemain daripada skuad Hijau Kuning pada musim depan iaitu Rafiz Abu Bakar; Mohd. Afif Amiruddin; Mohd. Azrul Ahmad; Manopasak Kram dan Mohd. Nazmi Baharom.

Mengenai kemasukan pemain baru, Ahmad yang pernah menjadi ketua pasukan kebangsaan pada sekitar tahun 90-an berkata, keutamaan ialah untuk mencari penyerang bagi mempertajamkan sentuhan penyudah skuad Sang Kenari.

Dalam pada itu, Syed Unan berkata, pemilihan Ahmad sebagai jurulatih dibuat selepas namanya dicadangkan oleh pengurus dan penolong jurulatih Kedah yang percaya dia calon terbaik untuk mengisi jawatan tersebut.

Ditanya tempoh kontrak selama setahun yang mungkin tidak cukup bagi Ahmad membentuk pasukan, beliau berkata, KFA akan menilai prestasi ketua jurulatih baru itu daripada segenap sudut sebelum mempertimbangkan keputusan seterusnya pada akhir musim.

Mengenai KFA kemungkinan akan melantik seorang penasihat bagi memantapkan pengurusan pasukan Kedah, Syed Unan berkata, persatuan itu belum membuat keputusan terhadap cadangan berkenaan.

UTUSAN MALAYSIA 3 November 2009

No comments:

Post a Comment