Monday, October 18, 2010

Perlawanan Tidak Jejas Tanpa Pemain Utama

ALOR SETAR – Kedah bakal beraksi menentang Kelantan dalam aksi separuh akhir Piala Malaysia yang dijadualkan pada 20 Oktober ini tanpa dua pemain utama, Mohd Khairul Helmi Johari dan Sabree Mat Abu.

Ketua Jurulatih, Ahmad Yusof berkata, walaupun bakal beraksi tanpa kehadiran dua pemain utama itu, masalah berkenaan tidak akan menjejaskan rentak permainan pasukannya.

Menurutnya, pasukannya tetap akan meneruskan permainan menentang Kelantan di Stadium Darulaman nanti, malah dia yakin pemain lain mampu menggalas tanggungjawab berkenaan bagi memastikan Kedah layak ke peringkat akhir.

“Kita tidak gusar apabila dua pemain utama ini tidak dapat beraksi pada perlawanan separuh akhir nanti.

“Malah, ketika perlawanan suku akhir menentang Terengganu malam kelmarin, terdapat dua pemain lagi iaitu Fadzliata Taib dan V Thirumurugan tidak diturunkan akibat mengalami kecederaan sebelum ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam perlawanan penentuan ke separuh akhir Piala Malaysia, Kedah berjaya menewaskan Terengganu dengan jaringan tiga gol, seterusnya melayakkan pasukan bola sepak Kedah mara ke peringkat separuh akhir bertemu Kelantan.

Dua pemain utama Kedah itu, Sabree Mat Abu menerima kad kuning ke tiga selepas melakukan terjahan terhadap pemain lawan, manakala Khairul Helmi dilayangkan kad merah selepas menerima kad kuning kedua ketika permainan berbaki dua minit sebelum tamat.

Ahmad berkata, dia berharap tanpa dua pemain itu dalam perlawanan separuh akhir nanti tidak akan menggoyahkan bahagian pertahanan..

No comments:

Post a Comment