Wednesday, October 20, 2010

Sejarah Bola Sepak Kedah

SINOPSIS

Setiap dari kita ada kali pertama. Kali pertama mengorat makwe, kali pertama cuba-cuba nak hisap rokok atau kali pertama ke stadium untuk tengok bola. Aku ingat betul kali pertama aku ke stadium, di bawa oleh Abah yang dapat tiket percuma dari kawannya dalam Perak FA. Dan kali pertama aku tengok bola di stadium ialah Perak lawan Kedah dalam satu pertembungan Piala Malaysia, tahun 1989.

Stadium Perak tahun itu tidaklah besar seperti sekarang. Paling-paling kalau tidak silap aku boleh mengisi 15,000 penonton. Pun begitu jumlah yang hadir tersangatlah ramai dan aku ingat jelas memori melihat orang tak bertiket memanjat pagar stadium yang dililit kawat berduri. Dan semestinya luka terkena kawat itu berbaloi buat mereka kerana ini pertemuan Perak dan Kedah, derbi utara Semenanjung.

Status raja bolasepak Malaysia memang kita tidak dapat nafikan adalah milik Selangor. Tetapi kalau ada pesaing untuk hegemoni Selangor dalam bolasepak ianya pada pendapat aku datang dari negeri-negeri utara Semenanjung. Bukan negeri Sultan Bola, bukan negeri kaki bakar stadium dan jauh sekali negeri Jang bersembilan. Secara kolektif, Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak telah menghimpun 17 Piala Malaysia, 8 kejuaraan liga dan 6 Piala FA. Masih belum mampu menandingi rekod peribadi Selangor tetapi jauh lebih banyak jika dibandingkan dengan himpunan kolektif negeri Pantai Timur, selatan Semenanjung atau Borneo. Pendek kata, wilayah kuasa dan kegilaan bolasepak Malaysia ialah di utara Semenanjung, sama seperti utara England (Manchester – Liverpool) yang menjadi wilayah bolasepak mereka.

Tahun 1989 itu, Perak tumpas kepada Kedah dan terkeluar dari saingan Piala Malaysia. Walaupun kecewa, bermula dari hari itu terbit rasa hormat aku pada Kedah dan Hijau Kuning.

PULUN KEDAH PULUN

Tidak ada siapa yang kenal Kedah sebelum pertengahan dekad 1980-an. Satu-satunya pencapaian terbaik mereka dalam bolasepak Malaysia datang pada tahun 1940 sebagai naib juara Piala Malaysia (tewas kepada Singapura 2-0). Tetapi pada tahun 1986 angin perubahan melanda Kedah FA dan ianya dibawa oleh satu susuk bernama Ahmad Basri Akil.

Siapa Ahmad Basri Akil ini? Tidak ramai yang kenal melainkan mereka yang selalu berkunjung ke Jabatan Tanah dan Mineral Kedah pada tahun itu. Kenapa? Sebab dia pengarah jabatan. Itu pun nak tanya lagi ke?

Rancangan pertama Ahmad Basri Akil sebaik saja menjawat pengurus Kedah FA ialah mewujudkan rancangan pembangunan 5 tahun (1987 – 1991) bolasepak Kedah dengan matlamat utama memenangi Piala Malaysia. Di dalam fikiran Ahmad Basri Akil hanya satu, mengubah Kedah dari pasukan bawahan kepada kuasa baru bolasepak Malaysia.

Dengan perancangan teliti dan pengurusan yang cekap, hasil rancangan pembangunan 5 tahun ini sudah mula menunjukkan potensi pada tahun pertama. Kedah layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia buat kali kedua dalam sejarah mereka. Malangnya, bertemu Kuala Lumpur pasukan hijau kuning tunduk 1-0.

Tahun 1987 itu juga menyaksikan lagu ‘Biar Jasa Jadi Kenangan’ diangkat menjadi lagu rasmi pasukan Kedah, lirik ilham Ahmad Basri Akil dan muzik oleh Freddie Fernandes.

1988 menyaksikan Kedah sekali lagi layak ke akhir Piala Malaysia. Sekali lagi juga negeri jelapang padi berdepan dengan skuad metropolitan Kuala Lumpur. Kedah tumpas lagi, kali ini 3-0. Tetapi dengan kejayaan layak ke perlawanan akhir dua kali berturut-turut, rakyat Malaysia mula memandang Kedah dengan rasa hormat.

Apabila FAM memberi lampu hijau kepada pemain import buat kali pertama dalam bolasepak Malaysia pada tahun 1989, Kedah pantas bertindak. Sekali pun sebuah negeri yang miskin tetapi berkat pengurusan cekap Ahmad Basri Akil, Kedah mempunyai dana yang cukup untuk mendapatkan khidmat jurulatih Czechoslovakia, Milous Kvacek. Kedah juga mendapatkan khidmat pemain import dari Yugoslavia, Rincic Bratislav dan Goran Tankovic serta memanggil pulang pemain Singapura, V Sundramoorthy yang ketika itu bermain di Switzerland. Turut menguatkan Kedah ialah penjaga gol tersohor Ahmad Sabri Ismail dan Captain Marvel, Muhammad Radhi Mat Din.

Ahmad Basri Akil selaku pengurus sedar bahawa mendapatkan khidmat import perlukan dana tambahan. Kedah pantas mencari penaja dan hasilnya pada tahun 1989 itu mereka berjaya mengikat perjanjian dengan Sharp Roxy, menjadi pasukan Asia pertama di taja oleh syarikat elektronik itu dan kedua di dunia. Sebuah lagi kelab bawah tajaan Sharp ketika itu ialah Manchester United. Ya, kita boleh katakan Kedah setaraf dengan Manchester United hebatnya pada zaman itu.

Kedah layak sekali lagi ke perlawanan akhir Piala Malaysia 1989, sekali lagi bertemu Kuala Lumpur tapi malangnya sekali lagi tewas, 2-1. Tiga kali kalah kepada pasukan yang sama seakan satu sumpahan. Tetapi ianya sumpahan yang akan berakhir.

1990 – BERTEMU SANG SINGA

Tahun 1990 terbukti menjadi tahun bertuah buat Kedah. Sekali lagi layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia, Kedah berdepan dengan lawan yang berbeza, kali ini Singapura. Kali ini menyaksikan Kedah menerima sokongan padu 100% dari rakyat Malaysia. Kenapa? Kerana tidak ada seorang pun rakyat Malaysia yang mahu melihat Singapura merampas piala kebanggaan bolasepak Malaysia. Kali terakhir Singapura melakukannya ialah pada tahun 1980, menewaskan Selangor 2-1. Tahun 1990 menyaksikan Sang Singa kembali lagi, dengan dibarisi pemain seperti D Tokijan, Borhan Abu Samah dan awang import Abbas Saad dan Alistair Edwards.

Kemuncak malam perlawanan akhir, aku masih ingat TV3 menayangkan dokumentari khas bolasepak Kedah sebelum bermulanya siaran langsung. Lagu Biar Jasa Jadi Kenangan diperdengarkan, sambil mengisahkan tentang bolasepak Kedah dah messiah di belakangnya, Ahmad Basri Akil. Tidak terkelaluan untuk dikatakan harapan 100% rakyat Malaysia ialah untuk Kedah menang ke atas Singapura.


MALAM KERAMAT

Perlawanan akhir Piala Malaysia 1990. Stadium Merdeka yang padat, api dan asap flare dari penyokong. Inilah zaman kegemilangan bolasepak Malaysia. Siapa yang lahir selepas tahun 1990 dan hanya kenal bolasepak Inggeris, memang malang nasibmu wahai anak muda.

Di Stadium Merdeka, stadium keramat bolasepak Malaysia, Kedah bertemu Singapura. Ini adalah perlawanan akhir Piala Malaysia ke-4 buat Kedah dalam tempoh 4 tahun dan peminat Hijau Kuning tidak mahu kempunan lagi. Kedua-dua pasukan memulakan permainan dengan berhati-hati. Ketika separuh masa pertama hampir tamat dan perlawanan kelihatan seperti terus buntu, pemain Kedah Rincic Bratislav melakukan larian pantas di sebelah kanan dan membuat hantaran silang ke dalam kotak kepada Husin Jaafar. Husin pantas menanduk bola kepada V Sundramoorthy yang meledak gol melepas penjaga gol Singapura, David Lee. Kedah 1 – Singapura 0.

Hujan renyai turun ketika waktu rehat dan pada ketika itu kelihatan seakan sumpahan Kedah dalam Piala Malaysia akan berakhir. Tetapi seperti kita tahu, football is a game of two halves.

Singapura bangkit pada separuh masa kedua melalui gandingan import Australia mereka, Alistair Edwards dan Abbas Saad. Minit ke-73, Singapura diberi tendangan percuma. Hasnim Haron menghantar bola ke dalam kotak penalti Kedah dan ditanduk baik oleh Alistair Edwards untuk gol penyamaan.

Kedudukan terikat hingga minit ke-90 dan kedua pasukan terpaksa bermain dalam masa tambahan. Tiga minit dalam masa tambahan, Ng Chew Beng merembat gol kedua Kedah dan kemudiannya Romli Ghani memastikan kedudukan menjadi 3-1 selepas menyambut baik sepakan sudut Aziz Azizan.

Kedah menang 3-1 dan rakyat Malaysia menarik nafas lega kerana Singapura berjaya disekat. Ahmad Basri Akil berjaya membawa Kedah menggapai matlamatnya dan ia merupakan langkah sulung Kedah menjadi kuasa bolasepak Malaysia.

(Nota: Singapura akhirnya berjaya juga merampas Piala Malaysia buat kali terakhir pada tahun 1994, negeri Sultan Bola yang ditugaskan untuk menghalang Sang Singa telah mengecewakan kita semua apabila dilauk 4-0. Dasar tak boleh nak diharap)

JATUH BANGUN

Susuk yang mentransformasi bolasepak Kedah, Ahmad Basri Akil kekal bersama skuad Hijau Kuning hingga tahun 1996. Dalam eranya bolasepak Kedah tidaklah sentiasa indah, tetap ada jatuh bangun (Kedah tersingkir ke Divisyen 2 pada tahun 1991). Tetapi kemudiannya sekali lagi Ahmad Basri Akil membawa Kedah ke mercu jaya, juara Piala Malaysia dan juara liga pada 1993 dan juara Piala FA 1996.

Di peringkat kebangsaan, Ahmad Basri Akil kali pertama menjadi pengurus Malaysia dan membawa Harimau Malaya kepada kejayaan pingat emas Sukan SEA 1989 (kejayaan yang hanya dapat diulang 20 tahun kemudian). Beliau memangku tugas Naib Presiden FAM dari tahun 1994 hingga 1998 dan terkenal kerana pendirian lantang beliau dan keengganan menjadi Pak Turut dalam pentadbiran FAM.

Pendirian lantang dan keengganan menjadi Pak Turut inilah yang menyaksikan beliau tersingkir dari FAM kemudiannya. Ahmad Basri Akil kemudian digantung dari memegang apa-apa jawatan berkaitan bolasepak dalam Malaysia oleh FAM dari tahun 2001 hingga 2005, hanya kerana beliau mengkritik FAM dan bersuara untuk masa depan bolasepak Malaysia. Pun begitu ia tidak menyekat Ahmad Basri Akil dari terus cuba berbakti kepada bolasepak, khususnya buat Kedah.

KEMBALI BERSAMA HIJAU KUNING

Dan itulah yang dibuktikannya sebaik tamat penggantungan pada tahun 2005. Ahmad Basri Akil kembali bersama Kedah tahun berikutnya, di saat skuad Hijau Kuning melalui zaman gelap, terperosok di Liga Perdana. Sekali messiah Hijau Kuning membuktikan sentuhan ajaib beliau, membawa Kedah menjuarai Liga Perdana dan dipromosi naik ke Liga Super untuk musim 2007.

(Nota: Kedah FA mendapatkan khidmat Ahmad Basri Akil sebagai ‘penasihat’ semenjak 2004, ia adalah strategi Kedah FA menggunakan kepincangan teknikal FAM yang menghalang Ahmad Basri Akil dari memegang jawatan rasmi. Sebaik tamat tempoh penggantungan, fungsi ‘penasihat’ ditukar secara rasmi kepada pengurus. Rebel juga Kedah FA!)

Bersama Ahmad Basri Akil ialah bekas pemain Kedah, Azraai Khor Abdullah (sebagai jurulatih), Muhammad Radhi Mat Din (penolong jurulatih) dan Ahmad Sabri Ismail (jurulatih penjaga gol) dalam musim pertama Kedah kembali sebagai pesaing Liga Super. Hijau Kuning muncul juara treble, menyapu bersih Piala Malaysia, Liga Super dan Piala FA.

Trio Double Treble yang dibawa masuk oleh Ahmad Basri Akil dalam gelombang kedua kebangkitan Kedah

Dalam kenyataan beliau selepas mencatat treble, Ahmad Basri Akil mendedahkan perancangan jangka pendek bermula seawal 2005 dan disasarkan dalam tepoh 3 tahun. Kedah dijangka berjaya memonopoli bolasepak Malaysia menjelang 2008, tetapi ia berlaku setahun lebih awal. Bukti jelas keberkesanan perancangan jangka pendek dari tahun 2005 itu.

Di sebalik kejayaan treble 2007 beliau masih tidak dapat lari dari kontroversi. Malaysia ketika itu sedang sibuk menyediakan persiapan untuk Piala Asia 2007 dan pada masa yang sama Manchester United pula mahu bertandang ke Kuala Lumpur. FAM sebagai sebuah badan organisasi bolasepak yang terkenal dengan budaya mengampu, membodek dan menjilat pantas menyambut kedatangan Manchester United, yang membuatkan AFC dan FIFA berang kerana dilihat mengabaikan persiapan Piala Asia 2007. Ahmad Basri Akil, selaku tokoh bolasepak tersohor mengkritik FAM yang mengagungkan kelab bolasepak Inggeris dan sekali lagi digantung untuk tempoh 3 tahun.

Ahmad Basri Akil sekali lagi disekat dari cintanya terhadap bolasepak. Namun begitu beliau tabah menerima dugaan berdepan dengan sebuah persatuan bolasepak kebangsaan yang tidak sedar diri dan gila kuasa. Atau mungkin, di luar pengetahuan kita, Ahmad Basri Akil sebenarnya sedar hidup kita di dunia ini hanya sementara maka biar jasa jadi kenangan.

LEGASI

15 Julai 2008, Ahmad Basri Akil kembali menemui Sang Pencipta. Pemergian beliau merupakan kehilangan besar buat bolasepak Malaysia tetapi legasi beliau kekal. Kedah muncul juara treble sekali lagi pada 2008, sekaligus mencatat pencapaian Double Treble (pencapaian yang tidak bisa dicapai untuk tempoh 100 tahun lagi mengikut kata Radhi Mat Din). Penghujung musim, FAM menghukum Kedah berserta Marlon Alex James, Bernard Huggins dan Nelson San Martin dengan mengharamkan pemain import atas alasan ia menjejaskan pembangunan bolasepak Malaysia. Tetapi yang sebenarnya negeri-negeri kesayangan Sultan Bola tidak mampu membayar khidmat pemain import kerana banyak songlap duit.

Dato’ Paduka Haji Ahmad Basri Akil ialah legenda sebenar bolasepak Malaysia, selayaknya menerima gelaran Dato’ Paduka dan dipahat namanya dalam Hall of Fame bolasepak Malaysia. Tetapi seperkara yang perlu kita fikirkan, kenapa sepanjang hayatnya kita tidak meletakkan beliau sebagai peneraju FAM dan bolasepak Malaysia sekaligus mengubah nasib bolasepak kita?

“Saya memang gembira demi Hijau Kuning walaupun jasa tidak dikenang lagi” – Allahyarham Dato’ Paduka Haji Ahmad Basri Akil

AL-FATIHAH UNTUK ALLAHYARHAM DATO' PADUKA HAJI AHMAD BASRI AKIL DAN JARI TENGAH UNTUK FAM.

4 comments:

  1. Mohon share Di FB sahabat . . Jatuh air Mata saya membacanya . . Al Fatihah DAB . .

    ReplyDelete
  2. Mohon share Di FB sahabat . . Jatuh air Mata saya membacanya . . Al Fatihah DAB . .

    ReplyDelete