Monday, October 18, 2010

Jangan gentar hadapi Kelantan


SABREE ABU terpaksa menjadi penonton pada aksi separuh akhir pertama menentang Kelantan esok.

"JANGAN gugup dan gunakan kelebihan beraksi di tempat sendiri untuk meraih kemenangan."

Begitu nasihat kapten Kedah, Mohd. Sabre Abu yang tidak dapat diturunkan kerana layangan kad kuning pada saingan separuh akhir pertama Piala Malaysia menentang Kelantan di Stadium Darulaman, Alor Setar malam esok.

Sabree yang pernah membantu Kedah meraih gelaran treble pada musim 2007 dan 2008 berharap rakan sepasukannya dapat menunjukkan komitmen yang tinggi lebih-lebih lagi beraksi di depan penyokong sendiri.

Katanya, pemain juga perlu tenang dan menyerap tekanan dengan baik agar tidak menjejaskan rentak permainan pasukan.

"Pemain perlu beraksi macam biasa dan tidak gugup. Kelebihan bermain di tempat sendiri sewajarnya digunakan untuk beraksi dengan lebih baik," katanya kepada Kosmo! semalam.

Tambahnya, peluang Kedah meraih kemenangan ke atas Kelantan adalah seim- bang, namun pemain perlu mencapai kemenangan sebagai bekalan untuk dibawa ke Kota Bharu, Sabtu ini.

"Pertemuan dengan Kelantan adalah sengit. Bagaimanapun, pemain mampu meraih kemenangan apabila dapat memanfaatkan peluang dengan jaringan," katanya.

Dalam pada itu ayam tambatan skuad Hijau Kuning, Baddrol Bakhtiar pula bertekad untuk membantu Kedah meraih kemenangan pada pertemuan itu sebagai pembakar semangat kepada pemain dan penyokong.

Katanya, beliau menjanjikan aksi terbaik dan berharap rakan sepasukan dapat menunjukkan persefahaman yang mantap bagi berdepan saingan Kelantan yang mahu mencuri mata di Alor Setar.

"Pemain berdepan tugas berat menentang Kelantan. Pemain menaruh harapan untuk menang dan bertekad mempamerkan kesungguhan yang tinggi," ujarnya

Kedah akui pikul tugas sukar


Pemain Kedah, Khairil Muhymeen (tengah) diasak dua pemain Terengganu pada pertemuan suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Darul Aman, Alor Setar, kelmarin. Kedah layak ke saingan separuh akhir dengan agregat 5-2.

ALOR SETAR - Kebangkitan Kedah yang layak ke perlawanan separuh akhir Piala Malaysia selepas mengalami 'mimpi buruk' musim lalu memberi keyakinan kepada Hijau Kuning bahawa mereka mampu mengulangi kejayaan berprestij itu.

Musim lepas, Sang Kenari yang merupakan juara pada edisi 2008 tersingkir awal apabila gagal ke peringkat suku akhir sehingga mencetuskan resah kepada para penyokong setianya mengenai keupayaan pasukan bimbingan Ahmad Yusoff itu untuk bersaing merebut Piala Malaysia tahun ini.

Biarpun mengharungi tugas penuh liku untuk melepasi peringkat kumpulan, skuad Kedah mempamerkan kebangkitan apabila menjinakkan Terengganu dengan agregat 5-2 pada peringkat suku akhir sekali gus mencerahkan peluangnya untuk mengintai aksi perlawanan akhir kedua pada musim ini selepas Piala FA.

Ahmad berkata, ketika bertemu Terengganu di Stadium Darul Aman kelmarin, kesebelasan Kedah beraksi dengan baik dan menunjukkan komitmen yang tinggi untuk memenangi perlawanan tersebut.

Lebih positif, katanya, persefahaman di kalangan pemain juga menampakkan peningkatan ketara, namun beranggapan masih ada ruang yang perlu diperbaiki bagi memantapkan persembahan.

Kedah bagaimanapun menyedari mereka menghadapi cabaran getir apabila bakal berdepan dengan pasukan Kelantan pada perlawanan separuh akhir yang diadakan secara timbal balik masing-masing pada Rabu ini di Kota Bharu dan di gelanggang sendiri beberapa hari kemudian.

Menurut Ahmad, kemenangan ke atas Terengganu tidak seharusnya membuatkan pemainnya alpa tetapi mahu mereka menjadikannya sebagai pendorong untuk beraksi dengan lebih baik menentang sebuah lagi pasukan dari pantai timur itu.

"Hanya ada tiga hari lagi sebelum perlawanan separuh akhir pertama, jadi kami perlu 'lupakan' kemenangan itu dengan memberi sepenuh fokus terhadap perlawanan penting menentang Kelantan," katanya di sini, semalam.

Kunjungan Sang Kenari ke Kota Bharu sedikit tempang apabila dua tonggaknya iaitu Sabre Mat Abu dan Khairul Helmi Johari tidak dapat beraksi kerana digantung perlawanan selepas menerima layangan kad kuning serta merah.

Berikutan itu, katanya, kem Kedah akan mengatur strategi terbaik untuk memerangkap Kelantan dan percaya mempunyai barisan pemain yang sentiasa bersedia menggalas tugas dengan penuh komited apabila diturunkan beraksi.

Peluang menjadi juara Piala Malaysia sama rata buat empat pasukan

TUMBANGNYA Selangor kepada Kelantan bermakna persaingan merebut kejuaraan Piala Malaysia dilihat begitu seimbang di antara empat pasukan yang berjaya meneruskan perjuangan di separuh akhir.

Kini, jaguh Pantai Timur, Kelantan bakal meneruskan impian dalam mengecap kejuaraan pertama Piala Malaysia, namun skuad Hijau Kuning, Kedah bakal menyediakan laluan berduri buat anak-anak buah B. Sathianathan menjelang pertemuan pertama separuh akhir pertama pada Rabu ini di Stadium Darul Aman.

Biarpun atas kertas, ramai melihat Kelantan sebagai pasukan pilihan berbanding Kedah, jangan sesekali lupa Red Warriors sebenarnya masih gagal mengatasi Kedah dalam empat pertemuan mereka pada musim ini, iaitu dua perlawanan di Liga Super, dua di Piala FA.

Rekod jelas memihak kepada Kedah dengan satu kemenangan dan jika diamati, hanya tiga jaringan yang berjaya dihasilkan dalam empat perlawanan lalu. Apa yang pasti, kedua-dua pasukan akan tampil dengan corak permainan berhati-hati.

Namun, kehebatan prestasi bekas penyerang kebangsaan, Akmal Rizal Rakhli yang semakin mengganas di hadapan pintu gol lawan dengan enam gol dalam kempen Piala Malaysia pasti menggerunkan barisan pertahanan Kedah.

Jangan dilupakan Indra Putra Mahayuddin dan Mohd. Nor Farhan Muhammad di samping kehadiran Hairuddin Omar, Kelantan boleh dianggap mempunyai barisan penggempur paling sempurna berbanding tiga pasukan lain.

Kedah yang ditunjangi ramai pemain muda berkaliber, juga harus dihormati kerana mereka sudah mempunyai pengalaman beraksi di peringkat kalah mati sebagaimana dibuktikan ketika beraksi di perlawanan akhir Piala FA berdepan Negeri Sembilan.

Walaupun mempunyai prestasi yang disifatkan agak yo-yo, skuad Kenari tetap dianggap sebagai salah satu pasukan elit di kancah Liga Malaysia berdasarkan rekod baik pada kejohanan Piala FA dan Piala Malaysia dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Jurulatih Kedah, Ahmad Yusoff yang terus mendapat tekanan daripada penyokong Kedah yang masih dibuai mimpi indah menjuarai 'treble' pada musim 2007 dan 2008, perlu segera mencari ramuan mujarab dalam melumpuhkan kekuatan Kelantan terutamanya di bahagian tengah yang menjadi pusat kekuatan Red Warriors.

Satu lagi separuh akhir akan mempertemukan dua wakil selatan tanah air iaitu antara juara Piala FA, Negeri Sembilan dan pasukan berstatus kelab, Johor FC.

Skuad Hoben Jang Hoben yang seolah-olah kembali menemui rentak di Piala Malaysia selepas prestasi hambar di Liga Super sudah tentu makin bersemangat dalam usaha mempertahankan kejuaraan buat kali kedua berturut-turut.

Ketiadaan Zaquan Adha Abdul Radzak tidak menggusarkan Wan Jamak Wan Hassan kerana ayam tambatan terbarunya, Abdul Halim Zainal akan memegang kunci kejayaan Negeri Sembilan di Piala Malaysia.

Adik kepada dua bekas pemain kebangsaan iaitu Khairil Zainal dan Faizal Zainal itu menjadi kekuatan 'Si Rusa' di samping beberapa pemain pengalaman lain seperti Idris Karim, Rezal Zambery Yahya dan Mohd. Shukor Adan.

Bagi skuad Lebah, kejayaan mara ke separuh akhir sebenarnya boleh dianggap satu pencapaian cukup baik kerana mereka tidak pernah mara sejauh ini di pertandingan Piala Malaysia.

Johor FC layak dilabel sebagai underdog berbanding Negeri Sembilan dan beraksi tanpa sebarang tekanan boleh memberikan kelebihan buat anak-anak buah Azuan Zain untuk mencipta sejarah selaku pasukan kelab kedua menjuarai Piala Malaysia selepas MBPJ pada tahun 2004.

Wednesday, August 4, 2010

United hampakan MSS Kedah


SUGUL... Barisan pemain MSS Kedah jelas kecewa selepas mudah diratah Manchester United pada aksi pembukaan kempen MUPC 2010 di pusat latihan Carrington, Manchester semalam. MSS Kedah tewas 2-1.

MANCHESTER – MSS Kedah memula- kan kempen pada pusingan akhir Kejoha- nan Bola Sepak Piala Premier Manchester United (MUPC) 2010 dengan menen- tang tuan rumah, Manchester United di pusat latihan Carrington semalam.

Pada aksi pembukaan itu. wakil Malay- sia turun dengan misi mencari kemena- ngan bagi mengintai peluang melangkah ke suku akhir.

Impian itu hadir selepas lawan mereka itu tewas 0-3 kepada FC Barcelona pada perlawanan pembukaan Kumpulan 3 pagi semalam.

Namun, hajat mereka tidak kesampaian kerana terpaksa akur dengan kehebatan United meskipun pada satu ketika perlawa- nan seakan-akan berkesudahan seri 1-1.

Begitupun, skuad remaja negara dari Kedah itu tewas 1-2 dan kini perlu menang ke atas wakil Australia, Sutherland Sharks FC pada perlawanan kedua (lewat petang semalam, kira-kira pukul 12 tengah malam waktu Malaysia).

Meskipun tewas, skuad bimbingan Barkis Ismail itu tampil dengan aksi yang me- yakinkan, namun kesilapan yang dilaku- kan barisan pertahanan pada separuh masa kedua membawa padah.

Kedudukan terikat tanpa jaringan pada separuh masa pertama sebelum United membuka jaringan untuk menjadikan kedudukan 1-0.

Bagaimanapun, ia tidak kekal lama kerana MSS Kedah pantas menyamakan ke- dudukan menerusi gerakan solo, Adam Aidil Iskandar Rosli.

Ketika perlawanan hanya tinggal tiga minit lagi untuk tamat, kelekaan jentera pertahanan MSS Kedah mengundang padah.

United bijak meloloskan diri daripada kelemahan itu untuk menjaringkan gol ke- menangan menerusi John Pritchard dan hasrat wakil Malaysia untuk sekurang-kurangnya mencuri satu mata daripada perlawanan itu musnah.

“Kami terlalu hampir untuk mengikat United tetapi kesilapan pada minit-minit terakhir itu membawa padah. Pertahanan leka dan akibatnya kami kehilangan mata,” kata Barkis.

Secara keseluruhannya, beliau berpuas hati dengan aksi yang dipamerkan oleh anak-anak buahnya sepanjang perlawanan tersebut kerana tampil yakin untuk menyaingi lawan mereka yang lebih berpengalaman itu.

Pada pusingan akhir ini, MSS Kedah diundi dalam Kumpulan 3 bersama tuan rumah, Manchester United, FC Barcelona (Sepanyol), Alta Loma Arsenal FC (Amerika Syarikat) dan Sutherland Sharks FC (Australia).

Dua pasukan teratas setiap kumpulan layak ke pusingan suku akhir

Tuesday, August 3, 2010

MSS Kedah boleh berbangga


SKUAD MSS Kedah sudah bersedia menghadapi MUPC 2010 yang bermula hari ini di Manchester.


MANCHESTER – Pasukan MSS Kedah seharusnya berasa bangga kerana berada dalam kelompok 20 pasukan terbaik di dunia yang berjaya menempah slot ke pusingan akhir kejohanan bola sepak Piala Premier Manchester United (MUPC) 2010.

MSS Kedah layak ke pusingan akhir selepas muncul juara pering- kat kelayakan Asia Tenggara yang berlangsung di Pulau Pinang pada 7 hingga 10 Jun lalu.

Pada perlawanan akhir peringkat kelayakan, skuad dari utara tanah air itu menewaskan wakil Indonesia, Villa 2000 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedudukan terikat tanpa jari- ngan sehingga tamat perlawanan masa tambahan.

Kemenangan tersebut sungguh bermakna kerana ia telah membuka ruang kepada pemain-pemain muda negara itu menjejak kaki ke bumi Manchester untuk berada tenaga dengan 19 lagi pasu- kan lain yang telah berjaya menempah slot ke pusingan akhir kejohanan kali ini.

“Kejayaan layak ke pusingan akhir sudah boleh dianggap kemena- ngan besar kepada pemain-pemain muda ini.

“Ini adalah peluang terbaik buat mereka untuk menimba pengala- man serta mempelajari sesuatu yang baru dalam bola sepak bagi membantu meningkatkan tahap kemahiran mereka,” kata ketua jurulatih MSS Kedah, Barkis Ismail ketika ditemui selepas sesi latihan mereka di pusat latihan Withenshawe Pavillion semalam.

Menurutnya, pemain tidak perlu berasa rendah diri kerana mereka adalah antara 20 pasukan terbaik di dunia pada kejohanan ini.

“Ini merupakan peluang terbaik buat mereka menimba pengalaman serta mempelajari sesuatu yang baru dalam bola sepak dari- pada kelompok pemain antarabangsa yang lain.

“Ini adalah misi utama kami, namun akan tetap berusaha untuk meraih kejayaan. Pemain-pemain muda ini perlukan pendedahan di peringkat antarabangsa kerana ia akan membantu membentuk keyakinan diri mereka.

“Saya berpendapat bahawa mereka ini adalah generasi baru yang akan menentukan hala tuju bola sepak Malaysia dan oleh itu, pendedahan pada kejohanan antarabangsa seperti ini sangat diperlu- kan,” kata Barkis yang juga Penolong Kanan Ko-Korikulum di Sekolah Menengah (SM) Tunku Anum Tunku Abd. Rahman, Jitra, Kedah.

Ditanya dari segi kemahiran, Barkis mememberitahu: “Saya tidak nampak perbezaan. Kemahiran tidak jauh berbeza, cuma kita perlu akui perbezaan paling ketara ialah dari segi fizikal.”

Namun katanya, mereka ada cara tersendiri untuk mengatasi masalah fizikal dan ia tidak boleh di- jadikan halangan.

“Bola sepak adalah strategi dan jika pemain mengikut perancangan, segala-galanya akan menjadi mudah. Apa yang penging ialah kami perlu yakin dengan diri sendiri dan mempunyai semangat untuk bersaing,” katanya yang telah mendidik pasukan ini sejak empat tahun lalu.

Keserasian sudah pasti tidak timbul dalam skuad MSS Kedah ini kerana mereka sudah bersama sejak dua tahun lalu.

Skuad yang terdiri daripada pemain bawah 15 tahun ini, sudah tahu dengan tanggungjawab masing-masing dan atas kesedaran itu, mereka berazam untuk menampilkan yang terbaik.

“Kami akan turun dengan aksi terbaik dalam usaha mengharumkan nama negara,” kata kapten, Mohd. Fahmi Zakaria yang juga perancang dalam pasukan.

Mohd. Fahmi yang tampil cemerlang pada pusingan kelayakan Jun lalu, berharap untuk mengula- ngi prestasi tersebut pada pusingan akhir ini dalam misinya membawa MSS Kedah mara lebih jauh.

Atas kertas, peluang melangkah ke pusingan kedua adalah cerah berdasarkan pengalaman serta pendedahan yang mereka peroleh sejak tahun 2006.

Pada tahun 2006, skuad ini turut berjaya layak ke pusingan akhir Piala Danone di Lyon, Perancis selain kejohanan Piala Cuppy di Croatia pada tahun 2007.

Pengalaman itu dilihat boleh membantu anak-anak didik Barkis ini untuk melakukan kejutan meskipun mereka belum tahu siapa yang akan menjadi lawan mereka pada perlawanan pembukaan esok.

Lawan mereka hanya akan diketahui selepas majlis undian lewat malam ini (semalam).

Skuad MSS Kedah terdiri dari- pada 16 pemain dan empat orang pegawai.

Sebahagian besar daripada pemainnya adalah dari SM Tunku Anum Tunku Abd. Rahman, Jitra iaitu 13 orang.

Manakala tiga lagi dengan setiap seorang dari SM Tanjung Putri, Alor Setar; SMK Gulau, Sik dan SMK Khir Johari, Sungai Petani.

Turut beraksi pada pusingan akhir MUPC 2010 ini termasuk tuan rumah, Manchester United serta wakil benua yang lain – Asia, Afrika Selatan, Amerika Latin dan juga Asia Pasifik.

Monday, July 26, 2010

Bola sepak: Piala Dunia dan 1Malaysia

SUDAH dua minggu bola sepak Piala Dunia berakhir. Pesta selama sebulan mempengaruhi ramai peminat bola sepak diseluruh dunia termasuk di Malaysia juga.

Pertandingan yang melibatkan tiga waktu permainan di negara kita iaitu pukul 7.30 malam, 10 malam dan 2.30 pagi memaksa peminat bola sepak mengatur jadual harian mereka, terutamanya bila melibatkan pertandingan pasukan yang besar seperti Argentina, Brazil, England, Perancis dan Itali.

Jadual perlawanan ini juga mempengaruhi tabiat harian peminat bola untuk selama sebulan supaya tidak terlepas perlawanan yang menjadi pilihan masing-masing.

Kalau tidak menonton di rumah, anak-anak muda berhimpun di tempat-tempat yang menjadi pilihan untuk bersama-sama kawan-kawan dan peminat yang lain untuk menyaksikan pertandingan secara langsung dari bandar-bandar Afrika Selatan.

Apabila kejohanan bola sepak berakhir, maka terdapat semacam satu kekosongan di kalangan peminat bola dan memerlukan sedikit masa untuk membuat penyesuaian untuk kembali hidup secara normal tanpa Piala Dunia.

Saya amat terperanjat ketika melihat gambar yang disiarkan oleh akhbar tempatan yang menunjukkan padang di Dataran Merdeka dipenuhi oleh peminat bola sepak menyaksikan pertandingan akhir antara Sepanyol dengan Belanda walaupun bermula jam 2.30 pagi.

Bayangkan bagaimanakah gambarannya sekiranya pasukan Malaysia juga berada di Afrika Selatan sebagai pasukan yang layak ke pusingan akhir.

Sudah tentu tempat-tempat seperti di Dataran Merdeka akan dipenuhi oleh peminat seperti yang berlaku di Seoul atau di negara lain yang mana pasukan masing-masing berada di Afrika Selatan.

Kempen promosi Piala Dunia oleh sebuah syarikat komunikasi juga menarik perhatian.

Ikon bola sepak kita pada tahun 1970-an dan 80-an seperti Datuk Soh Chin Aun, Santokh Singh, James Wong dan Hassan Sani dipertontonkan semula kejaguhan masing-masing di era yang mana prestasi pasukan bola sepak kita cukup menonjol di kalangan negara-negara Asia.

Dua lagi nama yang patut menyertai mereka ini ialah Allahyarham Mokhtar Dahari dan mendiang Arumugam - penyerang dan penjaga gol pasukan Malaysia yang tidak ada tolok bandingnya.

Sekurang-kurangnya promosi ini mendedahkan kepada generasi muda nama-nama besar bola sepak negara yang mungkin tidak dikenali oleh mereka sebelum ini.

Promosi ini mengingatkan kita bahawa negara kita juga pernah menjadi jaguh bola sepak antarabangsa bermula dengan Pesta Bola Merdeka hingga layak bertanding ke Sukan Olimpik 1972 dan 1980.

Lebih daripada itu, promosi ini melontarkan satu peringatan bagi semua pihak yang bertanggungjawab memajukan sukan bola sepak tanah air bahawa konsep 1Malaysia sudah dicerminkan lebih awal oleh pasukan bola sepak negara kita tahun 70an dan 80an.

Kalau dilihat komposisi pasukan negara ketika itu dan dibandingkan dengan yang ada sekarang, maka kita lihat bahawa ia mencerminkan komposisi kaum yang ada di negara ini.

Oleh itu, tidak hairanlah pada masa itu, sokongan kepada pasukan bola sepak kita datangnya dari berbilang kaum yang memenuhi stadium ketika pasukan kebangsaan kita bermain.

Mengapakah pasukan kebangsaan kita sekarang ini tidak lagi seperti dahulu yang terdiri dari pemain-pemain berbilang kaum?

Adakah tidak ada pemain-pemain dari keturunan Cina atau India sekarang ini sehebat dulu?

Atau adakah bola sepak sekarang ini tidak lagi diminati remaja dan pemuda dari keturunan selain dari keturunan Melayu oleh kerana rata-rata pemain Melayu sahaja yang banyak mengisi tempat dalam pasukan-pasukan yang bertanding dalam Liga M dan pasukan kebangsaan.

Dalam mencari kaedah serta pendekatan untuk memulihkan martabat pasukan bola sepak kebangsaan kita, perkara ini perlulah diberi perhatian.

Rasanya kita sudah mempunyai pengetahuan bagaimana negara-negara sama ada di barat atau di Jepun membangunkan bola sepak mereka.

Lawatan-lawatan sudah pun dilakukan. Pada perhatian saya, sumbangan dan usaha yang dilakukan oleh banyak pihak untuk melatih pemain-pemain yang muda di merata tempat sekarang ini perlulah diberi perhatian, sokongan dan motivasi untuk membolehkan mereka meneruskan sumbangan masing-masing.

Apa yang perlu ialah kaedah mereka ini melatih pemain-pemain muda ini patut diseragamkan supaya kemahiran asas yang diberikan oleh semua pihak relevan dan sesuai dengan umur pemain yang dilatih.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan mengadakan pemilihan pemimpin pada hujung bulan ini dan tugas memulihkan mutu bola sepak negara bermula dari peringkat akar umbi mestilah dilipatgandakan.

Pilihlah pemimpin yang benar-benar mampu menyahut cabaran ini.

Peminat bola sepak negara sudah hampir-hampir hilang kesabaran untuk melihat kejayaan bola sepak kebangsaan.

UTUSAN 27 Julai 2010

Kedah juara MELC 2010


SKUAD Kedah meraikan kejayaan muncul juara kejohanan bola sepak Liga Piala Menteri Pelajaran 2010 bagi kategori B-15 dan B-17.


KEDAH muncul juara edisi ketiga kategori bawah umur 15 tahun (B-15) kejohanan bola sepak Liga Piala Menteri Pelajaran (MELC) 2010.

Kejayaan tersebut diraih setelah menewaskan Terengganu 3-2 pada perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Darul Aman, Alor Setar kelmarin.

Edisi pertama kejohanan pada 2008 dimenangi Selangor dan diikuti Sekolah Sukan Bandar Pena- war (SSBJ) pada 2009.

Ketua jurulatih Kedah, Basirul Abu Bakar merupakan individu yang paling bangga dengan kejayaan tersebut dan memuji persembahan anak-anak buahnya yang telah mempamerkan semangat juang tinggi pada aksi final tersebut.

"Pemain-pemain telah menunjuk- kan komitmen serta disiplin dan kerjasama berpasukan yang begitu tinggi sepanjang 90 minit tempoh perlawanan sehingga kami (Kedah) berjaya merangkul gelaran juara pada edisi kali ini.

"Meskipun beraksi di atas padang becak ekoran hujan yang turun, namun itu tidak menjadi penghalang buat pemain-pemain saya memberikan persembahan terbaik mereka.

"Hampir 90 peratus barisan pemain yang disenaraikan kali ini telah bersama sejak darjah empat lagi, dan diharapkan untuk kejohanan pada tahun depan kami mampu mencungkil lebih ramai bakat muda daripada program pembangunan peringkat akar umbi," jelas Basirul.

Pada aksi kelmarin, Terengganu terlebih dahulu membuka jaringan selepas Muhd. Akram Asidi membuka tirai jaringan seawal minit ke-18.

Begitupun, gol pendahuluan Terengganu itu sedikit pun tidak melunturkan semangat anak-anak buah Basirul yang kembali bangkit dengan jaringan penyamaan menerusi Muhd. Ariff Farhan Mohd. Isa pada minit ke-35.

Muhd. Fitri Che Hassan muncul wira apabila meledak dua gol buat Kedah pada minit ke-45 dan 47 untuk meletakkan pasukannya didepan sebelum Akram sekali lagi menjaringkan gol kedua buat Terengganu merapatkan jurang gol minit-minit terakhir perlawanan.

Biarpun tewas, ketua jurulatih Terengganu, Zainudin Mohd. Zain tetap berpuas hati dengan persembahan anak-anak buahnya dan melahirkan keyakinan bahawa skuad kendaliannya itu akan kembali menebus kehampaan tersebut pada edisi akan datang.

"Kedah sememangnya layak bergelar juara kerana mereka tampil hebat berbanding Terengganu. Namun, saya akan memastikan yang Terengganu akan tampil lebih bertenaga dengan beberapa lagi muka baru yang dijangka disenaraikan untuk sekali lagi mara ke final dan sekali gus muncul juara pada edisi tahun depan," katanya.

Dalam pada itu, kejayaan skuad B-15 Kedah itu diteruskan oleh 'abang-abang' mereka yang turut merangkul kejuaraan kejohanan yang sama dalam kategori bawah 17 tahun (B-17) setelah menewaskan Pahang 2-1 pada perlawanan akhir.