Sunday, March 21, 2010

Percaturan berani Kedah berhasil

KUALA LUMPUR -- Percaturan pelik tetapi berani jurulatih Kedah, Ahmad Yusoff yang meletakkan pemain sayap kanan, Baddrol Bakhtiar sebagai penyerang, membuahkan hasil apabila pemain itu meledak dua gol dengan ketika Kedah membelasah ATM, 5-0 pada saingan Piala FA, kelmarin.

Menurut Ahmad, dia hanya terfikir membuat percubaan itu, ekoran ketiadaan beberapa penyerang utama seperti penjaring gol terbanyak Kedah, Azlan Ismail.

''Saya tidak menduga Baddrol cemerlang di posisi penyerang, malah penyudahnya begitu tajam.

''Dia juga mengkucar-kacirkan pertahanan ATM menerusi gerakannya, di samping turut bertindak sebagai perancang.

''Mungkin selepas ini saya akan mempertimbangkan untuk meletakkan Baddrol lebih kerap sebagai penyerang, namun ia bergantung kepada keadaan,'' katanya.

Kedah layak ke separuh akhir Piala FA dengan agregat 6-1, dan akan bertemu Terengganu.

Terengganu ke separuh akhir menerusi agregat 5-4 ke atas T-Team.

Ahmad juga mengakui terpaksa membuat banyak perubahan taktikal, ekoran kecederaan Shahrul Nizam Mustapa dan Ahmad Fauzi Shaari.

''Saya terpaksa meletakkan pemain pertahanan, Mohd Sabre Mat Abu di bahagian tengah dan ternyata ia membuahkan hasil.

''Terus-terang saya tidak menduga pasukan Kedah bakal memperolehi kemenangan besar,'' katanya.

Sementara itu, jurulatih ATM, Zulhamizan Zakaria kecewa dengan kekalahan itu sambil menyifatkan penjaga gol, Mohd. Khairul Anuar Mohamed 'memberikan' hadiah tiga gol kepada Kedah.

''Khairul gagal menangani tekanan dalam perlawanan besar.

''Dia hilang keyakinan selepas gagal mengagak dengan baik gol pertama Kedah.

''Saya tidak mahu cepat menghukum dia, kerana dalam bola sepak kadang-kadang pemain akan melakukan kesilapan,'' katanya.

No comments:

Post a Comment