Saturday, March 20, 2010

Teruskan Sokongan Pada Kenari

ALOR SETAR- Penyokong bola sepak Kedah diminta untuk sentiasa memberikan sokongan kepada pasukan Sang Kenari walaupun kehebatan pasukan itu masih belum menyerlah pada musim ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian dan Warisan, Kebudayaan, Dr Hamdan Mohammed Khalib berkata, penyokong pasukan Sang Kenari tidak perlulah berputus asa untuk memberikan sokongan kerana yakin pemain mampu memberikan corak permainan yang hebat pada perlawanan akan datang.

Menurutnya, pemain kini bukanlah tidak mampu beraksi cemerlang kerana berdasarkan setiap perlawanan pemain mampu menampilkan corak permainan yang amat baik namun masih belum berjaya menjaringkan gol.

“Buat masa ini mungkin kehebatan pasukan belum menyerlah disebabkan kecederaan yang dialami pada barisan tunggak utama namun, selepas tempoh kecederaan mereka tamat dan beraksi semula sudah pasti corak permainan pemain akan menjadi lebih mantap.

“Jadi, sebab itulah penyokong perlulah sentiasa memberi semangat dan sokongan kepada pemain untuk memastikan pemain dapat menampilkan corak permainan menarik dengan adanya kehadiran penonton,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, sasaran Kedah untuk menduduki tangga ketiga Liga Super pasti dapat tercapai kerana Kedah kini berada di tangga keenam.

Dr Hamdan berkata, faktor lain yang menyebabkan pasukan Kedah tidak dapat beraksi cemerlang berkemungkinan disebabkan pemain tidak dapat mengawal emosi sewaktu perlawanan berlangsung.

“Apabila pemain tidak dapat mengawal emosi dengan baik, secara tidak langsung mampu menjejaskan corak perlawanan,” katanya.

No comments:

Post a Comment