Friday, March 26, 2010

Kedah hilang penyerang utama


KUALA LUMPUR - Kedah menerima 'tamparan' awal menjelang perlawanan separuh akhir pertama Piala FA menentang Terengganu pada 30 Mac ini selepas kehilangan penyerang utamanya, Azlan Ismail yang digantung tujuh perlawanan dan didenda RM4,000 selepas mengaku salah mengasari pengadil.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad berkata, keputusan itu telah diputuskan oleh Lembaga Tata Tertib FAM setelah menerima laporan daripada pegawai yang bertugas ketika perlawanan suku akhir pertama membabitkan Kedah menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Darul Aman pada 9 Mac lalu.

"Setelah mendapat laporan lengkap daripada pegawai, kami telah menghantar surat kepadanya dan memberikan dua opsyen iaitu, mengaku salah atau menghadap Lembaga Tatatertib.

"Pagi tadi, dia telah menjawab surat tersebut dengan mengaku salah atas tuduhan itu dan itulah hukuman yang telah dijatuhkan kepadanya," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Tambah Azzuddin, hukuman itu berkuat kuasa serta merta dan penyerang itu tidak akan beraksi pada perlawanan separuh akhir Piala FA, diikuti aksi berikutnya dalam saingan Liga Super yang akan bersambung 17 April ini.

Kedah akan bertemu Terengganu dalam separuh akhir pertama Piala FA di gelanggang lawan pada 30 Mac ini. UTUSAN 26 MAC 2010

No comments:

Post a Comment