Sunday, March 7, 2010

Kedah dibelasah Selangor

PENJAGA gol Kedah, Mohd. Helmi Eliza Elias menumpuk bola ketika menahan asakan penyerang Selangor pada perlawanan Liga Super di Stadium Shah Alam, semalam
-------------------------------
KUALA LUMPUR - Dua jaringan Amirulhadi Zainal, selain satu masing-masing oleh Safee Sali dan Amri Yahyah membantu melebarkan kedudukan Selangor selaku peneraju Liga Super.

Keunggulan Merah Kuning terbukti di Stadium Shah Alam apabila membelasah Kedah 4-0, semalam untuk mengumpul 22 mata.

Anak buah K. Devan memulakan pesta gol hasil rembatan deras kaki kiri Safee pada minit ke-27, sebelum Amirulhadi menyudahkan gerakan satu dua dengan Hardi Jaafar, tujuh minit sebelum tamat babak pertama.

Pasukan pelawat dari utara bimbingan Ahmad Yusof, terus tersungkur dengan sepakan lambung ketua pasukan, Amri yang memerangkap penjaga gol Helmi Eliza Elias pada minit ke-60.

Minit ke-76 pula menyaksikan Amirulhadi merembat separuh voli setelah mendapat umpanan lintang pemain gantian, D. Surendran dari sebelah kanan untuk melengkapkan kemenangan Selangor.

Terengganu mengekori rapat Selangor di tangga tangga kedua dengan 17 mata, biarpun bertandang ke Stadium Petaling Jaya untuk menjinakkan KL PLUS 1-0 hasil jaringan Firdaus Fauzi.

Johor FC pula menghambat Si Penyu dengan kemenangan tipis 2-1 ke atas Pahang di Stadium JCorp, Pasir Gudang, sekali gus mengumpul 16 mata dan memintas Kedah yang tewas di Shah Alam.

Juara Piala Malaysia 2009, Negeri Sembilan mempamerkan kebangkitan akibat tentangan sengit Perlis untuk membenam pelawat 3-2 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban.

Jaringan Idris Karim, Shukor Adan dan Ashraf Aljapri memastikan tiga mata buat skuad bimbingan Wan Jamak Wan Hassan, biarpun pelawat membalas menerusi Wan Khairul Faiz dan K. Soley.

Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, Kelantan turut memperbaiki kedudukan menerusi jaringan tunggal pemain pertahanan, Azizi Mat Rose pada minit ke-73 ke atas T-Team.

Di Stadium Negeri, Batu Kawan, Pulau Pinang menghampakan Perak dengan mencuri satu mata, ketika tinggal enam minit setelah S. Veenod menyamakan jaringan pelawat, Saufi Sa'aidi pada minit ke-62.
UTUSAN MALAYSIA 7 Mac 2010

No comments:

Post a Comment