Tuesday, December 8, 2009

Pasukan Liga Super 2010

awatankuasa Pertandingan Tempatan FAM telah bermesyuarat baru-baru ini.14 pasukan telah disahkan bertanding di liga super dan 12 di liga perdana.

Perlawanan Liga Super dijadualkan bermula pada 9 Januari 2010.Jawatankuasa Pertandingan FAM menetapkan tarikh akhir perndaftaran pemain pada 19 Disember ini.

Pasukan Liga Super yang dikeluarkan FAM:

1.Selangor
2.Perlis
3.Kedah
4.Johor FC
5.Terengganu
6.Kelantan
7.Plus FC
8.Negeri Sembilan
9.PERAK
10.Pulau Pinang
11.T.Team(Terengganu)
12.Johor
13.Kuala Lumpur
14.Harimau Muda (A)

Sebentar tadi di Ipoh telah berlaku upacara perjanjian antara wakil PAFA melalui DS Nizar dengan pemain. Difahamkan 20 orang pemain telah menandatangani perjanjian untuk mewakili Perak.Antaranya termasuk Razali Umar.Megat Amir,Nantahakumar,Arif Ismail(Negeri Sembilan)dan Shafuan Adli(T-team)

Monday, December 7, 2009

Piala emas : Kedah Mara Ke Separuh Akhir

Kedah melangkah ke peringkat separuh akhir dalam persaingan merebut Piala Emas Raja-Raja siri ke-69 apabila menewaskan Kelantan menerusi sepakan penalti.


Kedua-dua pasukan terikat 2-2 selepas tamat masa permainan sebenar dan berlarutan ke masa tambahan. Selepas 120 minit bertarung, penjaga gol Kedah, Mohd Al-Hafiz menjadi wira hijau kuning apabila menggagalkan dua sepakan penalti pemain Kelantan.

Kedah mendahului seawal minit ke-3 apabila tandukan Chun Keng Hong gagal diselamatkan penjaga gol Kelantan, Halim Napi.

Kelantan menyamakan kedudukan tiga minit kemudian sebelum Kedah mendahului semula melalui jaringan Mohd Faizal Abu Bakar pada minit ke-35.

Pasukan pelawat menyamakan kedudukan pada separuh masa kedua sebelum pemain Kedah, Mohd Sany Mat Isa diperintahkan keluar padang. Kelantan gagal memanfaatkan keadaan untuk menambahkan jaringan ketika Kedah bermain sepuluh orang.

Kedudukan terus terikat sehingga tamat permainan sebenar. Pada masa tambahan, seorang pemain Kelantan diberikan kad merah dan kedua-dua pasukan gagal menjaringkan gol sehingga permainan masa tambahan berakhir.

Kedah akan bertandang ke Singapura untuk perlawanan separuh akhir pertama pada 12 Disember ini.

Thursday, December 3, 2009

Piala emas : Kedah Sedia Hadapi Kelantan

lor Setar - Penyokong Kedah diminta penuhi Stadium Darul Aman pada malam Sabtu (5 Disember) ini bagi memberi sokongan semangat kepada pasukan hijau kuning yang menerima kunjungan pasukan Kelantan pada perlawanan suku akhir kedua Piala Emas Raja-Raja.

Bendahari Persatuan Bola Sepak Melayu Kedah, Zulkifli Ismail berkata, sokongan itu mampu bagi menyemarakkan semangat pemain Kedah untuk beraksi dengan lebih baik.

Menurutnya, kehadiran penyokong Kedah itu mampu melonjakkan semangat pemain yang berazam untuk mengembalikan keyakinan penyokong negeri ini terhadap mereka selepas kecewa dengan persembahan semasa Liga Super.

Menurutnya, pasukan Piala Emas Raja-raja Kedah berazam untuk membawa pulang piala tersebut untuk penyokong-penyokong mereka bagi mengembalikan sokongan mereka terhadap pasukan hijau kuning.

“Kami mengharapkan kedatangan semua penyokong hijau kuning untuk membanjiri Stadium Darul Aman bagi memberi sokongan padu kepada barisan pemain kita bagi menghadapi Kelantan pada malam Sabtu ini, pasti menjanjikan satu perlawanan yang sangat sengit,” katanya kepada Sinar Harian.

Barisan pemain Piala Emas Raja-raja Kedah akan diperkuatkan oleh lima pemain dari Liga Super iaitu Mumahad al-Hafiz Hamzah, Mohd Fazliata Taib, Mohd Faizal Abu Bakar, Muhamad Shafiq Jamal dan Chun Keng Hong.

Zulkifli berkata, pasukan di bawah kendalian Ketua Jurulatih, Mohamad Ramlee sudah bersedia dari segi mental dan fizikal bagi menghadapi Kelantan selepas mereka seri dengan pasukan itu pada pertemuan suku akhir pertama pada 30 November lalu.

“Kami percaya Ketua jurulatih, Mohamad Ramlee sudah memberi yang terbaik di dalam merencanakan pasukan ini dan sekarang menjadi tanggungjawab penyokong untuk hadir menyemarakkan semangat pemain-pemain kedah,” katanya.

Menurutnya, tiket perlawanan boleh didapati seawal jam 5 petang pada Sabtu dan bayaran untuk tiket astaka utama ialah RM10 dan terbuka ialah RM5.

Monday, November 30, 2009

Suku Akhir Piala Emas Raja-raja

inga Selatan rantai PDRM


ANTARA aksi menarik pada perlawanan suku akhir pertama antara PDRM (jersi biru) dengan Singapura di padang Pulapol petang semalam.





POLIS Diraja Malaysia (PDRM) gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri setelah seri 1-1 dengan Singapura di Padang Pulapol, Jalan Semarak pada saingan suku akhir pertama Puncak Piala Emas Raja-Raja 2009 petang semalam.

Malah PDRM gagal menggunakan kelebihan berdepan lawan yang beraksi hanya sembilan pemain pada 20 minit terakhir perlawanan.

Biarpun PDRM memperagakan corak permainan kemas yang diterajui pemain Liga Super yang bertindak selaku kapten pasukan, Mohd. Fauzi Abdul Majid, namun ketumpulan jentera serangan menyaksikan beberapa peluang awal berakhir begitu sahaja.

Manakala Singapura yang diperkuatkan enam bekas pemain kebangsaan, Rafi Ali, Nazri Nazir, Mohd Mardani, Dalis Supait, Ali Imran Omar dan Nahar Daud, dilihat menggunakan taktik serangan balas pantas bagi memecah benteng kebal PDRM.

Bagaimanapun pada minit ke-36, penjaga gol Singapura, Riduan Barudin dilayangkan kad merah oleh pengadil Mohd. Yusof Mohd. Karim setelah mengasari penyerang PD- RM, Mohd. Ariff Azhar.

Sungguhpun beraksi dengan 10 pemain, rentak permainan Singapura masih mampu menggugat benteng pertahanan PDRM.

Akhirnya pada minit ke-45, berpunca daripada gerakan sebelah kiri di luar kawasan penalti PDRM, Nazri Nasir melepaskan rembatan kencang yang gagal diselamatkan oleh penjaga gol PDRM, Nur Hisham Hashim.

Tempo PDRM semakin kemas pada separuh masa kedua dan hasil- nya pada minit ke-58, Khairul Izuan Abdullah menjaringkan gol penyamaan PDRM.

Pertemuan suku akhir kedua di antara kedua-dua pasukan akan berlangsung pada Sabtu ini di Stadium Jalan Besar, Singapura.

Sementara itu, di Stadium Utama Negeri, Kangar petang semalam, Perlis turut gagal menggunakan kelebihan di gelanggang sendiri setelah seri 2-2 dengan ATM.

Perlis mendahului 2-0 melalui dua jaringan Mohd Faiz Subri pada minit ke-20 dan 59.

ATM merapatkan kedudukan pada minit ke-72 hasil jaringan sendiri Somchat Narong sebelum Badrol Hisham Sopian menyamakan kedudukan buat ATM pada minit ke-76.

Di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu malam tadi pula, Kelantan dan Kedah terikat tanpa jaringan pada aksi yang berlangsung di atas padang licin dan hujan renyai-renyai.

Kelantan memiliki beberapa peluang terbaik terutama menerusi penyerang utama mereka, Azlan Ismail tetapi gawang Kedah tetap gagal dibolosi sehingga tamat perlawanan.

Manakala di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin malam tadi, Johor mendapat bekalan selesa apabila berjaya menewaskan Kuala Lumpur 3-1.

Sunday, November 29, 2009

Kenari Bangkit

ALOR SETAR- Skuad Kenari mengadakan latihan bagi memperlengkapkan diri pemain dengan teknik sepakan yang betul bagi memastikan kejuaraan Liga Malaysia musim depan adalah milik Kedah.

Ketua Pasukan Bola sepak Kedah, Victor Andrag berkata, pasukan ini telah memulakan latihan sejak tiga bulan yang lalu iaitu enam hari seminggu dengan menekankan aspek stamina dan fizikal.

Menurutnya, latihan yang dijalankan itu juga adalah latihan yang biasa dijalankan sebelum ini namun aspek tersebut amat ditekankan oleh jurulatih pasukan, Ahmad Yusof agar pemain dapat mengekalkan stamina dalam diri mereka.

“Latihan yang dijalankan sama seperti sebelum ini namun kedua aspek itu lebih ditekankan setiap kali latihan kerana stamina dan fizikal amatlah penting bagi memastikan pemain tidak akan hilang fokus sewaktu beraksi nanti.

“Walaupun latihan kali ini dijalankan bersama jurulatih baru namun semua pemain tidak mempunyai masalah dengan latihan yang diberikan oleh beliau,” katanya.

Victor berkata, pasukan Kedah juga tidak ada masalah sewaktu menjalani latihan bersama jurulatih baru kerana latihan yang dijalankan masih lagi sama dengan latihan yang dijalankan oleh jurulatih terdahulu, Mohd Azraai Khor Abdullah.

Sementara itu, beliau berkata, pasukan Kedah yang baru memenangi anugerah Pasukan Legenda Negeri Kedah pada majlis Malam Persatuan Bola sepak Kedah (KFA) telah memberikan satu suntikan baru kepada pasukan itu.

Victor berkata, anugerah yang diperoleh oleh pasukan itu merupakan hasil kemenangan yang diperoleh pada 2007 dan 2008 itu juga mampu meningkatkan semangat pasukan itu menjuarai Liga Malaysia musim depan.

Monday, November 2, 2009

Saya sudah sedia kemudi Kedah - Ahmad Yusof

ALOR SETAR - Teka teki mengenai siapa yang bakal mengemudi skuad bola sepak Kedah akhirnya terjawab apabila bekas jurulatih Pahang, Ahmad Yusof secara rasmi dilantik sebagai ketua jurulatih yang baru berkuat kuasa semalam.

Jurulatih berusia 49 tahun itu mengikat kontrak selama setahun bersama Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) bagi menggantikan Mohd. Azraai Khor Abdullah yang meninggalkan Sang Kenari untuk membimbing pasukan Harimau Muda mengharungi saingan Liga Malaysia musim depan.

Meskipun menyedari berdepan dengan tugas berat, namun Ahmad menyatakan dia sudah sedia sepenuhnya mengambil alih jawatan itu daripada Mohd. Azraai di sebalik harapan menggunung yang disandarkan terhadapnya.

Katanya, dia menyasarkan untuk membantu Kedah mengulangi kejayaan gemilang memenangi tiga piala seperti yang dikecapi pada musim 2007 dan 2008.

"Apabila bersetuju menerima tugas ini, saya tahu tiada pilihan lain kecuali memberi yang terbaik untuk membimbing sebuah pasukan elit seperti Kedah.

"Dengan barisan pemain dan kerjasama daripada pihak pengurusan serta penolong-penolong jurulatih, insya-Allah Kedah akan kembali pada landasan yang diharapkan," katanya pada majlis menandatangangi kontrak bersama KFA di sini semalam.

Hadir pada majlis itu ialah Timbalan Presiden KFA, Datuk Paduka Syed Unan Mashri Syed Abdullah; Setiausaha Kehormat KFA, Dr. Hamdan Mohamed Khalib dan pengurus pasukan, Datuk Khazali Din.

Pada majlis itu, KFA turut mengumumkan pengguguran lima pemain daripada skuad Hijau Kuning pada musim depan iaitu Rafiz Abu Bakar; Mohd. Afif Amiruddin; Mohd. Azrul Ahmad; Manopasak Kram dan Mohd. Nazmi Baharom.

Mengenai kemasukan pemain baru, Ahmad yang pernah menjadi ketua pasukan kebangsaan pada sekitar tahun 90-an berkata, keutamaan ialah untuk mencari penyerang bagi mempertajamkan sentuhan penyudah skuad Sang Kenari.

Dalam pada itu, Syed Unan berkata, pemilihan Ahmad sebagai jurulatih dibuat selepas namanya dicadangkan oleh pengurus dan penolong jurulatih Kedah yang percaya dia calon terbaik untuk mengisi jawatan tersebut.

Ditanya tempoh kontrak selama setahun yang mungkin tidak cukup bagi Ahmad membentuk pasukan, beliau berkata, KFA akan menilai prestasi ketua jurulatih baru itu daripada segenap sudut sebelum mempertimbangkan keputusan seterusnya pada akhir musim.

Mengenai KFA kemungkinan akan melantik seorang penasihat bagi memantapkan pengurusan pasukan Kedah, Syed Unan berkata, persatuan itu belum membuat keputusan terhadap cadangan berkenaan.

UTUSAN MALAYSIA 3 November 2009

Friday, October 16, 2009

Sapa nak ganti Azraai Khor???

Kini Mohd Azraai Khor Abdullah sah meninggalkan pasukan Kedah dan khabarnya sedang menuju ke Kelana Jaya untuk membimbing pasukan Harimau Muda yang bakal beraksi dalam Liga Super pada musim 2010. Persoalannya kini ialah siapakan nanti yang bakal mengisi kerusi panas tersebut untuk membimbing sang Kenari dalam kempen Liga Super 2010?

Berdasarkan kepada rekod, terdapat 5 jurulatih yang memiliki Lesen Kejurulatihan A Persatuan Bolasepak Malaysia. Mereka ialah Hj Ahmad Shafie, Mosthakeen Omar, Azman Yusoff, P.Ganasamoorthy dan Fisol Razak. Dari senarai 5 jurulatih tersebut, hanya P.Ganasamoorthy yang belum pernah membimbing pasukan utama negeri manakala 4 yang lain pernah menjadi jurulatih Hijau Kuning.

Hj Ahmad Shafie mengemudi Kedah ke 3 perlawanan akhir Piala Malaysia (1987-1989) dan memenangi pingat emas bersama pasukan kebangsaan di Sukan SEA 1989. Mosthakeen Omar melatih sang Kenari pada tahun 1995-1997 dan berjaya memenangi Piala FA selain pernah menjadi penolong jurulatih skuad Olimpik negara. Fisol Razak menjadi jurulatih Kedah pada 1998. Azman Yusoff pula satu-satunya jurulatih yang berjaya di peringkat antarabangsa dengan membimbing kelab DPMMFC Brunei menjuarai Liga Brunei (2003), naib juara Liga Vietnam bersama kelab Dong Tham FC (2004) sebelum menjadi jurulatih kelab Proton (2004), TNB Kelantan (2005-2006) dan memenangi pingat perak di Sukan Universiti ASEAN 2008.

Apakah ada di antara mereka ini yang bakal dipertanggungjawabkan untuk membimbing skuad Kenari atau apakah mungkin jurulatih dari luar Kedah atau luar negara diberi kepercayaan untuk mengembalikan reputasi yang tercalar?