Friday, April 23, 2010

Pahang resah jumpa Kedah

KUANTAN - Kecederaan dua tonggak Pahang terus menghantui skuad Tok Gajah apabila bertemu Kedah pada saingan Liga Super, malam ini.

Sehingga kelmarin, dua tonggak terbabit, Azamuddin Mohd. Akil dan Mohd. Fazli Baharuddin masih dibelenggu kecederaan dan belum pulih sepenuhnya.

Ketiadaan kedua-dua pemain tersebut juga dikenal pasti antara punca kekalahan Pahang dalam dua perlawanan sebelum ini iaitu tewas kepada Perlis 0-4 dan Johor 0-1.

Jurulatih Pahang, Dollah Salleh bagaimanapun masih menaruh harapan agar sekurang-kurangnya salah seorang daripada mereka mampu beraksi untuk bertemu naib juara Piala FA di Stadium Darul Makmur, malam ini.

''Saya telah bertemu dengan Mohd. Fazli semalam (kelmarin) dan didapati kecederaannya pulih sebanyak 70 peratus," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perjanjian kontrak tajaan jersi antara syarikat pengeluar barangan sukan antarabangsa, Lotto dengan Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) di sini, semalam.

Terdahulu dalam ucapannya, Pengarah Lotto, Udo Eimer memberitahu, pihaknya menaja RM100,000 dalam bentuk jersi kepada skuad Liga Super dan pasukan Piala Presiden Pahang. UTUSAN 24 April

Tuesday, April 20, 2010

Kedah Tewas di Darul Aman

Kedah terkulai 2-3 di padang sendiri kepada KL PLUS di Stadium Darul Aman, Alor Setar.Pelawat meraih tiga mata penuh selepas memperoleh gol hasil jaringan Badrul Hisani (m-24) dan Fadzli Saari (m-31 dan m-76).Tuan rumah cuma sempat beroleh dua gol menerusi Pemain Terbaik Perlawanan Akhir Piala FA 2010, Baddrol Bakhtiar pada minit ke-42 dan ke-79. UTUSAN 21 April

Friday, April 16, 2010

Kedah tak gentar hadapi KL


ALOR SETAR - Keazaman untuk memperbaiki persembahan kurang konsisten, menghangatkan pertemuan Kedah dan Kuala Lumpur di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, hari ini.

Tatkala Hijau Kuning masih segar dengan kejayaan mara ke perlawanan akhir Piala FA dan memiliki rekod baik ketika berkunjung ke tempat lawan, skuad warga kota pula gah dengan rekod bersih tanpa kalah aksi di gelanggang sendiri.

Malah, melihat statistik Liga Super musim ini, sukar untuk membezakan kekuatan kedua-dua pasukan apabila, masing-masing meraih 13 mata selepas sembilan perlawanan.

Sang Kenari kini menghuni tangga keenam liga di depan Kuala Lumpur, dengan hanya dibezakan jaringan gol.

Bagi skuad bimbingan Ahmad Yusof, selepas saingan Liga Super berehat selama sebulan, sudah tiba masanya mereka bangkit untuk memperbaiki kedudukan bersandarkan kepada semangat dan keyakinan baru.

Justeru, kunjungan Kedah ke ibu kota malam ini menyasarkan tiga mata penuh, meski pun menghormati kekuatan dan kelebihan pasukan kendalian Razip Ismail itu.

Ahmad berkata, para pemain Hijau Kuning sudah mula meningkatkan tahap permainan berpasukan dengan menyesuaikan corak taktikal dan teknikal yang diserapkan kem kejurulatihan, di samping mempertajamkan skil individu.

Bagaimanapun, ketua jurulatih Kedah itu mengingatkan anak buahnya agar tidak leka dan dibuai dengan kejayaan mara ke perlawanan akhir Piala FA kerana Liga Super merupakan saingan berbeza.

"Kedah belum bertemu Kuala Lumpur musim ini tetapi berdasarkan pemerhatian, kami perlu berhati-hati dengan kekuatan dan kemampuan pasukan ini.

"Apa sekali pun, kami tidak mahu keciciran sebarang mata kerana sasaran utama Kedah pada masa ini ialah untuk memperbaiki kedudukan dalam liga," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Ahmad juga lega kerana bebas menurunkan mana-mana pemain dan sedang menunggu pengesahan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sama ada dapat menggunakan khidmat penjaring terbanyak mereka, Azlan Ismail, yang berdepan hukuman digantung perlawanan sebelum ini.

Menurutnya, selain dua tonggak yang masih cedera iaitu Victor Andrag dan Ahmad Fauzi Shaari, pemain-pemain lain cergas untuk beraksi. UTUSAN 17 April

Wednesday, April 14, 2010

Liga Super : Kedah VS KL

KUALA LUMPUR - Awas buat pasukan Kedah, skuad warga kota tidak akan memberikan laluan mudah buat naib juara Piala FA itu apabila berkunjung ke Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Sabtu ini.

Itu amaran daripada jurulatih Kuala Lumpur, Razip Ismail, yang turut berikrar mahu mengekalkan rekod bersih tanpa kalah pasukannya ketika beraksi di gelanggang sendiri.

Tanpa mahu gah rekod baik Kedah di tempat lawan, Razip yakin pasukan bimbingannya itu mampu mengekang kehebatan anak-anak buah Ahmad Yusof dan seterusnya mencatat satu keputusan positif.

''Sasaran saya ialah sekurang-kurangnya ialah kita mampu mengutip satu mata kerana kita tidak pernah tewas ketika bermain di tempat sendiri.

''Walaupun saya menyedari pasukan Kedah kini dalam momentum yang baik selepas berakhir Piala FA, saya mengarahkan para pemain jangan sesekali terlalu hormat serta memberikan ruang kepada mereka semasa di atas padang nanti, '' kata Razip selepas sesi latihan skuad Kuala Lumpur di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, semalam.

Namun, Razip tahu Kedah mempunyai kelebihan kerana tidak berehat panjang selepas baru sahaja menamatkan kejohanan Piala FA minggu lalu sedangkan pasukannya dipaksa berehat lebih daripada sebulan.

''Saya sedar kelebihan kecergasan yang Kedah miliki tetapi saya mengharapkan kekecewaan dalam perlawanan akhir Piala FA tempoh hari mampu memberi kesan pada persembahan mereka semasa berdepan Kuala Lumpur.

''Sebenarnya kami tidak duduk diam sepanjang tempoh sebulan ini, beberapa perlawanan persahabatan telah diaturkan antaranya bertemu Pos Malaysia serta pasukan dari Liga Kuala Lumpur seperti Maybank dan ATM supaya para pemain sentiasa kekal cergas,'' katanya.

Razip mungkin terpaksa melupakan khidmat pemain paling senior dalam skuadnya, Azwan Abdul Malek yang telah direhatkan hampir selama sebulan.

Bagaimanapun, Yong Kuong Yong yang mengalami kecederaan pangkal paha kembali pulih dan mungkin akan diturunkan bersama Shazmin Firdaus Aminuddin.

Bagi kapten Kuala Lumpur, Azidan Saharudin yang baru berusia 24 tahun, menyeru rakan sepasukannya supaya mengekalkan fokus dan memberikan lebih seratus peratus semasa berhadapan Kedah.

''Selepas kami berjaya menang ke atas Perlis 2-0 bulan lalu, saya harap rakan-rakan mampu mengekalkan aksi yang sama agar kita mampu mengejutkan Kedah pula.

''Sepanjang lapan tahun bersama Kuala Lumpur, saya lihat ini merupakan antara skuad terbaik yang pernah dihasilkan serta mampu memberi cabaran kepada pasukan lain.

''Sasaran kami adalah untuk berada di kalangan empat pasukan terbaik di dalam saingan Liga Super pada musim ini,'' katanya. UTUSAN 15 APRIL

Monday, April 12, 2010

NS berhak gembira rangkul Piala FA, Kedah tetap boleh berbangga

BEBERAPA jam sebelum perlawanan akhir Piala FA antara Negeri Sembilan (NS) dan Kedah berlangsung di Stadium Bukit Jalil, seorang rakan yang merupakan penyokong kuat NS memberi 'peringatan' kepada penulis bahawa Kedah 'akan makan tanah dan rumput'.

Maksudnya, Kedah akan menjadi 'mangsa belasahan' kepada NS. Tetapi impian kawan penulis itu tidak menjadi kenyataan, biarpun NS dinobatkan sebagai juara namun 'sang Rusa' hampir kelemasan akibat ditenggek oleh 'si Kenari'.

Apabila NS menang melalui penentuan sepakan penalti, penulis teringat kata-kata Pengurus Manchester United, Alex Ferguson bahawa kekejaman dalam bola sepak ialah apabila sesebuah pasukan tewas melalui sepakan sedemikian.

Sememangnya sepakan penalti lebih bergantung kepada nasib. Bayangkanlah bagaimana mungkin jiwa seseorang pemain akan tenang jika terpaksa mengambil sepakan itu dalam satu perlawanan yang cukup penting di hadapan ribuan penyokong.

Sebab itulah penulis sentiasa percaya bahawa kehebatan sesebuah pasukan ialah bagaimana mereka mampu menewaskan lawan dalam tempoh 90 minit yang diperuntukkan. Masa tambahan 30 minit pun tidak boleh diambil kira kerana dalam keputusan sebenar kedua-dua pasukan adalah seri, maknanya sama-sama hebat.

Sebagai orang Kedah, penulis menyatakan ini semua bukanlah kerana kecewa dengan kekalahan negeri jelapang padi tersebut tetapi sekadar untuk mengetengahkan fakta bahawa biarpun tewas sang Kenari telah membuktikan mereka bukanlah pasukan belasahan dan kejayaan memasuki perlawanan akhir bukanlah kerana nasib.

Apa pun tahniah kepada NS yang kini dianggap sebagai salah sebuah pasukan yang digeruni dalam bola sepak negara. Mereka berhak bergembira dengan kejayaan itu.

Bagi Kedah pula, mereka tidak harus berasa kecewa sebaliknya perlu berbangga kerana tidak tewas ketika 90 minit perlawanan berlangsung.

Namun begitu dalam keghairahan kita mengulas mengenai permainan, kita tidak harus terlepas pandang bagaimana perlawanan akhir Pila FA telah berlangsung dalam suasana meriah, harmoni dan penuh semangat kesukanan serta ketenteraman.

Tiada kejadian yang merimaskan berlaku seperti perlawanan akhir Piala Malaysia tahun lalu antara NS dan Kelantan yang menyaksikan bagaimana kerusi-kerusi di Stadium Bukit Jalil menjadi 'mangsa' melepaskan geram akibat kekalahan Kelantan.

Kebijaksanaan pengadil R.Krishnan dan kemampuan pasukan keselamatan telah memberikan sumbangan besar kepada usaha menggelakkan sebarang peristiwa yang boleh mencemarkan sukan paling popular tersebut.

Justeru Kedah tidak perlu kecewa, mereka sepatutnya berbangga kerana mempunyai penyokong-penyokong yang setia tetapi tidak taksub.

Kehadiran 70,000 penonton yang membanjiri Stadium Bukit Jalil juga telah membuktikan bahawa pertandingan bola sepak tempatan lebih mendapat perhatian berbanding jika pasukan kebangsaan bermain.

Penonton-penonton sanggup melakukan apa sahaja bagi menyokong pasukan pujaan mereka termasuklah menempuh perjalanan beratus-ratus kilometer.

Alangkah baiknya jika semangat ini dapat diterapkan dalam menyokong pasukan kebangsaan kerana sorakan penonton mampu memberikan semangat kepada pemain walaupun mereka berhadapan dengan pasukan hebat, itulah yang dibuktikan oleh pemain Kedah!.

Apa pun sudah menjadi adat permainan ada yang kalah dan ada yang menang tetapi musim bola sepak Malaysia masih belum berakhir, kita tunggu pula perlawanan akhir Piala Malaysia yang pasti menjanjikan 'pertarungan' yang lebih hebat. UTUSAN 13 April

Sunday, April 11, 2010

Aksi Kedah di Final Piala FA 2010















Helmi tidak sedia ambil penalti


KUALA LUMPUR - ''Saya sebenarnya tidak mahu mengambil sepakan penalti, tetapi memandangkan tiada rakan yang tampil, saya nekad membuat keputusan melakukan penalti.

''Namun, saya gagal menyempurnakannya. Saya minta maaf kepada peminat Kedah kerana tidak dapat membawa pulang Piala FA ke Darul Aman. '' Itu kata penjaga gol Kedah, Mohd. Helmi Eliza Elias, selepas gagal menyempurnakan penalti pada final Piala FA menentang Negeri Sembilan di Stadium Nasional Bukit Jalil, kelmarin.

Biarpun peluang Kedah untuk mendakap Piala FA sudah terbentang luas, tetapi Helmi 'menolak tuah' apabila menyepak bola tinggi.

Ekoran kegagalannya itu, ketua pasukan Negeri Sembilan, Rezal Zambery Yahya mengambil kesempatan menjaringkan gol kelima, sebelum Sabre Mat Abu meranapkan terus harapan Kedah apabila dinafikan oleh penjaga gol Negeri Sembilan, Sani Anuar Kamsani.

Jauh sekali berhajat untuk muncul sebagai wira, Helmi mendedahkan selepas sepakan penalti kelima, Kedah tidak meletakkan nama pemain untuk mengambil sepakan seterusnya.

Ekoran itu, dia memikul tanggungjawab sebagai pengambil sepakan keenam.

''Terus terang saya tidak begitu bersedia mengambil sepakan itu ditambah pula dengan tekanan yang 'menggila' pada waktu itu.

''Saya hanya mengikut gerak hati sahaja semasa melakukan rembatan dan nampaknya rezeki tidak berpihak kepada Kedah, saya begitu kecewa.

''Hanya dengan satu kegagalan sepakan penalti, ia membezakan antara yang menang dan kalah, itulah situasi pahit yang perlu ditelan oleh kami.

''Kegagalan ini akan dijadikan pembakar semangat untuk terus mempamerkan peningkatan prestasi di Liga Super dan memburu Piala Malaysia, '' katanya.

Walaupun mendapat anugerah Penjaga Gol Terbaik perlawanan, Helmi menyifatkan ia tidak mampu mengubat kekecewaan meraih gelaran juara Piala FA.

''Agak sedikit terkejut juga mendapat anugerah ini kerana saya rasakan saya tidak layak meraihnya,'' katanya. UTUSAN 12 APRIL