Wednesday, April 14, 2010

Liga Super : Kedah VS KL

KUALA LUMPUR - Awas buat pasukan Kedah, skuad warga kota tidak akan memberikan laluan mudah buat naib juara Piala FA itu apabila berkunjung ke Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Sabtu ini.

Itu amaran daripada jurulatih Kuala Lumpur, Razip Ismail, yang turut berikrar mahu mengekalkan rekod bersih tanpa kalah pasukannya ketika beraksi di gelanggang sendiri.

Tanpa mahu gah rekod baik Kedah di tempat lawan, Razip yakin pasukan bimbingannya itu mampu mengekang kehebatan anak-anak buah Ahmad Yusof dan seterusnya mencatat satu keputusan positif.

''Sasaran saya ialah sekurang-kurangnya ialah kita mampu mengutip satu mata kerana kita tidak pernah tewas ketika bermain di tempat sendiri.

''Walaupun saya menyedari pasukan Kedah kini dalam momentum yang baik selepas berakhir Piala FA, saya mengarahkan para pemain jangan sesekali terlalu hormat serta memberikan ruang kepada mereka semasa di atas padang nanti, '' kata Razip selepas sesi latihan skuad Kuala Lumpur di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, semalam.

Namun, Razip tahu Kedah mempunyai kelebihan kerana tidak berehat panjang selepas baru sahaja menamatkan kejohanan Piala FA minggu lalu sedangkan pasukannya dipaksa berehat lebih daripada sebulan.

''Saya sedar kelebihan kecergasan yang Kedah miliki tetapi saya mengharapkan kekecewaan dalam perlawanan akhir Piala FA tempoh hari mampu memberi kesan pada persembahan mereka semasa berdepan Kuala Lumpur.

''Sebenarnya kami tidak duduk diam sepanjang tempoh sebulan ini, beberapa perlawanan persahabatan telah diaturkan antaranya bertemu Pos Malaysia serta pasukan dari Liga Kuala Lumpur seperti Maybank dan ATM supaya para pemain sentiasa kekal cergas,'' katanya.

Razip mungkin terpaksa melupakan khidmat pemain paling senior dalam skuadnya, Azwan Abdul Malek yang telah direhatkan hampir selama sebulan.

Bagaimanapun, Yong Kuong Yong yang mengalami kecederaan pangkal paha kembali pulih dan mungkin akan diturunkan bersama Shazmin Firdaus Aminuddin.

Bagi kapten Kuala Lumpur, Azidan Saharudin yang baru berusia 24 tahun, menyeru rakan sepasukannya supaya mengekalkan fokus dan memberikan lebih seratus peratus semasa berhadapan Kedah.

''Selepas kami berjaya menang ke atas Perlis 2-0 bulan lalu, saya harap rakan-rakan mampu mengekalkan aksi yang sama agar kita mampu mengejutkan Kedah pula.

''Sepanjang lapan tahun bersama Kuala Lumpur, saya lihat ini merupakan antara skuad terbaik yang pernah dihasilkan serta mampu memberi cabaran kepada pasukan lain.

''Sasaran kami adalah untuk berada di kalangan empat pasukan terbaik di dalam saingan Liga Super pada musim ini,'' katanya. UTUSAN 15 APRIL

No comments:

Post a Comment