Sunday, April 11, 2010

Helmi tidak sedia ambil penalti


KUALA LUMPUR - ''Saya sebenarnya tidak mahu mengambil sepakan penalti, tetapi memandangkan tiada rakan yang tampil, saya nekad membuat keputusan melakukan penalti.

''Namun, saya gagal menyempurnakannya. Saya minta maaf kepada peminat Kedah kerana tidak dapat membawa pulang Piala FA ke Darul Aman. '' Itu kata penjaga gol Kedah, Mohd. Helmi Eliza Elias, selepas gagal menyempurnakan penalti pada final Piala FA menentang Negeri Sembilan di Stadium Nasional Bukit Jalil, kelmarin.

Biarpun peluang Kedah untuk mendakap Piala FA sudah terbentang luas, tetapi Helmi 'menolak tuah' apabila menyepak bola tinggi.

Ekoran kegagalannya itu, ketua pasukan Negeri Sembilan, Rezal Zambery Yahya mengambil kesempatan menjaringkan gol kelima, sebelum Sabre Mat Abu meranapkan terus harapan Kedah apabila dinafikan oleh penjaga gol Negeri Sembilan, Sani Anuar Kamsani.

Jauh sekali berhajat untuk muncul sebagai wira, Helmi mendedahkan selepas sepakan penalti kelima, Kedah tidak meletakkan nama pemain untuk mengambil sepakan seterusnya.

Ekoran itu, dia memikul tanggungjawab sebagai pengambil sepakan keenam.

''Terus terang saya tidak begitu bersedia mengambil sepakan itu ditambah pula dengan tekanan yang 'menggila' pada waktu itu.

''Saya hanya mengikut gerak hati sahaja semasa melakukan rembatan dan nampaknya rezeki tidak berpihak kepada Kedah, saya begitu kecewa.

''Hanya dengan satu kegagalan sepakan penalti, ia membezakan antara yang menang dan kalah, itulah situasi pahit yang perlu ditelan oleh kami.

''Kegagalan ini akan dijadikan pembakar semangat untuk terus mempamerkan peningkatan prestasi di Liga Super dan memburu Piala Malaysia, '' katanya.

Walaupun mendapat anugerah Penjaga Gol Terbaik perlawanan, Helmi menyifatkan ia tidak mampu mengubat kekecewaan meraih gelaran juara Piala FA.

''Agak sedikit terkejut juga mendapat anugerah ini kerana saya rasakan saya tidak layak meraihnya,'' katanya. UTUSAN 12 APRIL

No comments:

Post a Comment