Friday, April 16, 2010

Kedah tak gentar hadapi KL


ALOR SETAR - Keazaman untuk memperbaiki persembahan kurang konsisten, menghangatkan pertemuan Kedah dan Kuala Lumpur di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, hari ini.

Tatkala Hijau Kuning masih segar dengan kejayaan mara ke perlawanan akhir Piala FA dan memiliki rekod baik ketika berkunjung ke tempat lawan, skuad warga kota pula gah dengan rekod bersih tanpa kalah aksi di gelanggang sendiri.

Malah, melihat statistik Liga Super musim ini, sukar untuk membezakan kekuatan kedua-dua pasukan apabila, masing-masing meraih 13 mata selepas sembilan perlawanan.

Sang Kenari kini menghuni tangga keenam liga di depan Kuala Lumpur, dengan hanya dibezakan jaringan gol.

Bagi skuad bimbingan Ahmad Yusof, selepas saingan Liga Super berehat selama sebulan, sudah tiba masanya mereka bangkit untuk memperbaiki kedudukan bersandarkan kepada semangat dan keyakinan baru.

Justeru, kunjungan Kedah ke ibu kota malam ini menyasarkan tiga mata penuh, meski pun menghormati kekuatan dan kelebihan pasukan kendalian Razip Ismail itu.

Ahmad berkata, para pemain Hijau Kuning sudah mula meningkatkan tahap permainan berpasukan dengan menyesuaikan corak taktikal dan teknikal yang diserapkan kem kejurulatihan, di samping mempertajamkan skil individu.

Bagaimanapun, ketua jurulatih Kedah itu mengingatkan anak buahnya agar tidak leka dan dibuai dengan kejayaan mara ke perlawanan akhir Piala FA kerana Liga Super merupakan saingan berbeza.

"Kedah belum bertemu Kuala Lumpur musim ini tetapi berdasarkan pemerhatian, kami perlu berhati-hati dengan kekuatan dan kemampuan pasukan ini.

"Apa sekali pun, kami tidak mahu keciciran sebarang mata kerana sasaran utama Kedah pada masa ini ialah untuk memperbaiki kedudukan dalam liga," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Ahmad juga lega kerana bebas menurunkan mana-mana pemain dan sedang menunggu pengesahan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sama ada dapat menggunakan khidmat penjaring terbanyak mereka, Azlan Ismail, yang berdepan hukuman digantung perlawanan sebelum ini.

Menurutnya, selain dua tonggak yang masih cedera iaitu Victor Andrag dan Ahmad Fauzi Shaari, pemain-pemain lain cergas untuk beraksi. UTUSAN 17 April

No comments:

Post a Comment