Monday, April 12, 2010

NS berhak gembira rangkul Piala FA, Kedah tetap boleh berbangga

BEBERAPA jam sebelum perlawanan akhir Piala FA antara Negeri Sembilan (NS) dan Kedah berlangsung di Stadium Bukit Jalil, seorang rakan yang merupakan penyokong kuat NS memberi 'peringatan' kepada penulis bahawa Kedah 'akan makan tanah dan rumput'.

Maksudnya, Kedah akan menjadi 'mangsa belasahan' kepada NS. Tetapi impian kawan penulis itu tidak menjadi kenyataan, biarpun NS dinobatkan sebagai juara namun 'sang Rusa' hampir kelemasan akibat ditenggek oleh 'si Kenari'.

Apabila NS menang melalui penentuan sepakan penalti, penulis teringat kata-kata Pengurus Manchester United, Alex Ferguson bahawa kekejaman dalam bola sepak ialah apabila sesebuah pasukan tewas melalui sepakan sedemikian.

Sememangnya sepakan penalti lebih bergantung kepada nasib. Bayangkanlah bagaimana mungkin jiwa seseorang pemain akan tenang jika terpaksa mengambil sepakan itu dalam satu perlawanan yang cukup penting di hadapan ribuan penyokong.

Sebab itulah penulis sentiasa percaya bahawa kehebatan sesebuah pasukan ialah bagaimana mereka mampu menewaskan lawan dalam tempoh 90 minit yang diperuntukkan. Masa tambahan 30 minit pun tidak boleh diambil kira kerana dalam keputusan sebenar kedua-dua pasukan adalah seri, maknanya sama-sama hebat.

Sebagai orang Kedah, penulis menyatakan ini semua bukanlah kerana kecewa dengan kekalahan negeri jelapang padi tersebut tetapi sekadar untuk mengetengahkan fakta bahawa biarpun tewas sang Kenari telah membuktikan mereka bukanlah pasukan belasahan dan kejayaan memasuki perlawanan akhir bukanlah kerana nasib.

Apa pun tahniah kepada NS yang kini dianggap sebagai salah sebuah pasukan yang digeruni dalam bola sepak negara. Mereka berhak bergembira dengan kejayaan itu.

Bagi Kedah pula, mereka tidak harus berasa kecewa sebaliknya perlu berbangga kerana tidak tewas ketika 90 minit perlawanan berlangsung.

Namun begitu dalam keghairahan kita mengulas mengenai permainan, kita tidak harus terlepas pandang bagaimana perlawanan akhir Pila FA telah berlangsung dalam suasana meriah, harmoni dan penuh semangat kesukanan serta ketenteraman.

Tiada kejadian yang merimaskan berlaku seperti perlawanan akhir Piala Malaysia tahun lalu antara NS dan Kelantan yang menyaksikan bagaimana kerusi-kerusi di Stadium Bukit Jalil menjadi 'mangsa' melepaskan geram akibat kekalahan Kelantan.

Kebijaksanaan pengadil R.Krishnan dan kemampuan pasukan keselamatan telah memberikan sumbangan besar kepada usaha menggelakkan sebarang peristiwa yang boleh mencemarkan sukan paling popular tersebut.

Justeru Kedah tidak perlu kecewa, mereka sepatutnya berbangga kerana mempunyai penyokong-penyokong yang setia tetapi tidak taksub.

Kehadiran 70,000 penonton yang membanjiri Stadium Bukit Jalil juga telah membuktikan bahawa pertandingan bola sepak tempatan lebih mendapat perhatian berbanding jika pasukan kebangsaan bermain.

Penonton-penonton sanggup melakukan apa sahaja bagi menyokong pasukan pujaan mereka termasuklah menempuh perjalanan beratus-ratus kilometer.

Alangkah baiknya jika semangat ini dapat diterapkan dalam menyokong pasukan kebangsaan kerana sorakan penonton mampu memberikan semangat kepada pemain walaupun mereka berhadapan dengan pasukan hebat, itulah yang dibuktikan oleh pemain Kedah!.

Apa pun sudah menjadi adat permainan ada yang kalah dan ada yang menang tetapi musim bola sepak Malaysia masih belum berakhir, kita tunggu pula perlawanan akhir Piala Malaysia yang pasti menjanjikan 'pertarungan' yang lebih hebat. UTUSAN 13 April

No comments:

Post a Comment