Tuesday, May 12, 2009

Kedah Lonjak tangga ke tiga

KELANTAN mensia-siakan kelebihan satu daripada dua perlawanan dalam tangan yang dimiliki apabila tewas 1-2 kepada Johor FC, sekali gus membolehkan Kedah yang mengalahkan Pulau Pinang dengan jaringan sama, melonjak ke tempat ketiga, malam tadi.

Kemenangan skuad Hijau Kuning itu membolehkan mereka merampas tempat Negeri Sembilan - yang bersama Perlis dan Selangor tidak beraksi malam tadi - sambil menolak pasukan itu ke tempat keempat diikuti Kelantan.

Di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Johor FC bangkit daripada ketinggalan 1-0 menerusi gol Mohd Nor Farhan pada minit ke-23, untuk menang hasil jaringan Azizan Baba yang bijak meloloskan diri dalam kotak penalti untuk meledakkan rembatan melepasi Mohd Shahrizan Ismail tujuh minit sebelum rehat.

Azizan menjadi wira pasukannya apabila menjaringkan gol kedua pada minit-60 untuk memastikan Johor FC mengutip tiga mata.

Di Stadium Darulaman, KM Naza meraih tiga mata berharga selepas menundukkan KL Plus 2-0 menerusi dua jaringan Akmal Rizal Ahmad Rakhli, masing-masing pada minit keempat dan 87.

Di Stadium Batu Kawan, pelawat membuka jaringan pada minit ke-20 menerusi Mohd Khyril Muhymeen sebelum S Thinagaran menghukum kealpaan pertahanan lawan bagi menyumbang gol penyamaan tuan rumah.

Gol kemenangan skuad Hijau Kuning hadir pada minit ke-75, selepas pemain gantian, Mohd Azrul Ahmad yang masuk tidak sampai seminit, menyumbang gol kedua pasukannya apabila menanduk masuk hantaran lintang Mohd Azrul Ahmad bagi menewaskan penjaga gol lawan, Mohd Faizul Yusoff.

No comments:

Post a Comment