Saturday, May 16, 2009

Terbang semakin tinggi


SEGALANYA bagaikan berjalan lancar buat Kedah dalam kempen Liga Super musim ini yang sudah memasuki babak kedua saingan.

Dengan meneruskan rentak kemenangan untuk kekal di tangga ketiga dengan 31 mata selepas menundukkan Perak 3-1 di Stadium Darulaman, Alor Star.

Pasukan tuan rumah selesa mendahulu tiga gol menerusi Mohd. Fauzi Shaari (m-35), Mohd. Khyril Muhymeen (m-48) dan Shahrul Nizam Mustapa (m-54) sebelum Isma Alif Mohd Salim menjaringkan gol sagu hati pasukan pelawat pada minit ke-74.

Jika pada awal musim, Kedah hilang punca gara-gara mengalami kekalahan demi kekalahan, kali ini pengendali skuad Kenari, Azraai Khor Abdullah (gambar) kian lega apabila menemui semula sentuhan gemilang di atas padang yang meletakkan pasukan itu menjuarai hampir semua pertandingan dilangsungkan dua musim berturut-turut sebelum ini.

Kini, tidak hairan jika Azraai boleh kembali memasang impian untuk memburu kejuaraan Liga Super buat kali ketiga berturut-turut ketika pasukan itu hanya ketinggalan tujuh mata di belakang pendahulu yang juga negeri jiran, Perlis.

“Memang benar keyakinan kami sudah pulih terutama selepas mampu kembali menemui jaring lawan. Pada awal musim, penyerang muda yang kami bawa masuk bergelut untuk membolosi gawang lawan sekalipun kami banyak mencipta peluang.

“Sekarang, semuanya berjalan dengan lancar dan saya harap mereka dapat teruskan rentak cemerlang ini supaya kami dapat mencabar kembali kejuaraan,” katanya.

Azraai menamakan dua penyerang muda yang dibawa masuk pada awal musim, Farizal Rozali dan Azrul Ahmad, sebagai sudah dapat menyesuaikan diri dengan rentak permainan keseluruhan pasukan.

“Masalah yang kami hadapi mereka agak lambat menyesuaikan diri dengan corak permainan Hijau Kuning. Tapi kini semuanya sudah OK dan kami berharap dapat terus mencatat kemenangan,” katanya.

Bermula dengan perlawanan menentang Pulau Pinang, Selasa ini, Azraai tidak mahu menoleh ke belakang selepas anak buahnya berjaya meraih 12 mata daripada maksimum 15 dalam lima perlawanan terakhir mereka.

Jurulatih berpengalaman luas itu juga melahirkan rasa gembira dengan keupayaan jentera serangannya meledak tujuh gol ke atas kelab Vietnam, Hanoi ACB, pada perlawanan Piala AFC, Selasa lalu, sekali gus mencerahkan peluang untuk layak ke pusingan kedua.
17 Mei 2009

No comments:

Post a Comment