Friday, May 22, 2009

Selangor nak calaq rekod kedah

KEDAH mungkin boleh mendabik dada kerana mencipta 10 kemenangan daripada 11 perlawanan terakhir Liga Super yang dilalui mereka musim ini.
Namun, Selangor tidak kurang hebatnya apabila hanya seri sekali dan tewas tiga kali sepanjang musim ini dan kali terakhir mereka tewas hanyalah pada 31 Mac lalu iaitu di tangan Terengganu di tempat lawan.

Malam ini, kedua-dua pasukan itu akan bertemu di Stadium Shah Alam dengan rekod pertemuan terakhir menyaksikan Selangor lebih gah apabila membelasah Kedah 4-1 di Alor Setar pada 3 Januari lalu yang juga perlawanan pembuka tirai musim ini.

Bagi pengurus Selangor, Zakaria Ab. Rahim, pasukannya sudah bersedia untuk mengulangi kemenangan pada aksi Piala Sumbangsih itu.

Dalam masa yang sama, Zakaria berkata, Selangor mahu mencalarkan rekod cemerlang Kedah yang hanya tewas kepada Kelantan dalam 11 perlawanan terakhir mereka.

"Saya yakin Selangor akan dapat memusnahkan rekod kemenangan Kedah dalam 10 daripada 11 perlawanan terakhir mereka itu malam esok (malam ini).

"Walaupun mereka kata lebih bersemangat sebab nak tebus kekalahan 1-4 di Alor Setar, kami juga ada misi untuk tebus kekalahan 2-3 pada final Piala FA musim lalu di Stadium Shah Alam ini.

"Kalau kita berjaya tamatkan badi kekalahan di Alor Setar pada 3 Januari lalu, tiada sebab untuk kita tidak berjaya menamatkannya di sini. Shah Alam gelanggang kita, kelebihan pasti berpihak kepada kita," katanya kepada Kosmo! semalam.

Kedua-dua pasukan dijangka tidak dapat menyenaraikan beberapa pemain utama masing-masing

Selangor dijangka tidak dapat menurunkan beberapa pemainnya yang membantu skuad bawah 23 tahun kebangsaan menewaskan skuad bawah 23 tahun Singapura 3-0 pada aksi persahabatan di Stadium Jalan Besar, Singapura malam kelmarin.

Pemain yang terlibat ialah Nasril Nourdin, Nasriq Baharom, Amirulhadi Zainal dan Asraruddin Putra Omar.

"Jika tidak dapat menurunkan pemain-pemain ini pun, Selangor ada pengganti yang tidak kurang hebatnya. Saya yakin pemain akan beraksi lebih baik berbanding perlawanan terdahulu," jelas Zakaria.
-----------
23 Mei 2009

No comments:

Post a Comment