Monday, May 18, 2009

Misi membenam Chonburi fc

SETELAH mencapai matlamat mencatat kemenangan ke atas Perak, kelmarin, skuad Kedah berdepan tugas berat berdepan pasukan Chonburi (Thailand) pada perlawanan Piala AFC di Bangkok, esok.

Menurut ketua jurulatih, Mohd Azraai Khor Abdullah, kejayaan mengatasi Perak sudah pasti menjadi pembakar semangat menentang Chonburi untuk layak ke suku akhir.

“Ketika bertemu Perak, strategi meletakkan Faizal Abu Bkar sebagai penyerang utama tidak menjadi tetapi pengalaman Khyril Muhymeen berjaya memastikan kita meraih mata penuh pada perlawanan itu.

“Kemenangan itu memastikan Kedah terus kekal di tempat ketiga saingan liga dengan hanya ketinggalan empat mata di belakang pendahulu, Perlis.

“Kita akan terus menekan Perlis dalam usaha mempertahankan kejuaraan yang dimenangi sejak dua musim lalu,” kata Azraai.

Katanya, Khyril terus mencatat namanya sebagai penjaring sejak empat perlawanan lalu dan berharap dia akan terus cemerlang di Bangkok nanti.

“Saya tidak pernah meletakkan harapan di bahu seorang pemain sahaja bagi mendapatkan gol dan saya mahu Badrul Bakhtiar, Faizal Abu Bakar dan Fadly Baharom tajam di depan gawang,” katanya.

Kedah juga boleh layak ke suku akhir sekiranya Eastern Athletic (Hong Kong) tewas kepada ACB Hanoi (Vietnam).

Namun Azraai tegas mengatakan Kedah tidak mahu bergantung kepada pasukan lain.

“Kita mahu layak dengan menewaskan Chonburi bukan bergantung kepada pasukan lain,” katanya.
19 Mei 09

No comments:

Post a Comment