Wednesday, May 6, 2009

Kedah Mengamuk di Darul Aman

KEDAH mengamuk di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam tadi.

Mereka tampil bergaya apabila membelasah kelab ACB Hanoi 7-0 pada perlawanan Kumpulan G Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Walaupun turun tanpa empat tonggak utama tetapi skuad tuan rumah mempergunakan sepenuhnya peluang beraksi di Stadium Darul Aman.

Berbekal misi untuk mengutip tiga mata penuh, kesebelasan Kedah mempamerkan kesungguhan yang sungguh luar biasa tanpa memberi sebarang ruang kepada lawan untuk melancarkan gerak.

Gol pembukaan Kedah diperoleh seawal minit ke-13 menerusi Mohd. Azrul Ahmad sebelum dia meledak gol kedua pada minit ke-30.

Selepas itu, Mohd. Farizal Rozali pula mencatat nama sebagai penjaring pada minit ke-33 untuk menjadikan kedudukan 3-0 sehingga tamat separuh masa pertama.

Pada babak kedua, rentak permainan Kedah semakin teratur dan hasilnya mereka terus merobek gawang lawan menerusi jaringan Mohd. Afif Amiruddin pada minit ke- 63.

Mohd. Sabree Abu terus mengukuhkan kedudukan Kedah apabila meledak jaringan kelima pada minit ke-68.

Selepas itu, Kedah dihadiahkan pula dengan sepakan penalti selepas Sabree dijatuhkan oleh pertahanan ACB Hanoi, Ho Tanh Thuong dalam kawasan penalti.

Azrul yang mengambil sepakan tersebut mudah menyempurnakannya untuk melengkapkan jaringan hatriknya ada perlawanan itu.

Shahrulnizam Mustapha menjadikan kedudukan 7-0 pada minit ke-90 bagi melengkapkan malam gemilang skuad Kenari itu.

Sementara itu, satu lagi wakil negara ke Piala AFC, Johor FC tewas 0-2 kepada kelab V.B dari Maldives.

Perlawanan tersebut berlangsung di Stadium Nasional Male, Maldives.

No comments:

Post a Comment