Friday, October 16, 2009

Azraai tinggalkan Kedah


ALOR SETAR - Selepas hampir enam tahun bersama pasukan bola sepak Kedah, jurulatih, Mohd. Azraai Khor Abdullah semalam secara rasmi meninggalkan Sang Kenari untuk membimbing pasukan Harimau Muda mengharungi saingan Liga Super musim depan.

Jurulatih berusia 57 tahun yang menjadi watak penting membantu Hijau Kuning meraih gelaran treble berganda Liga Malaysia itu menyerahkan surat peletakan jawatannya sebagai ketua jurulatih kepada Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Dr. Hamdan Mohamed Khalib semalam.

Keputusan itu antara lain dipercayai berpunca daripada prestasi hambar Kedah dalam saingan Liga Malaysia 2009 selain didakwa kecewa kerana tidak mendapat sokongan sepenuhnya pengurusan ketika mengendalikan skuad Hijau Kuning musim ini.

Mohd. Azraai memberitahu, dia akan mengendalikan skuad bawah 21 kebangsaan sedia ada iaitu juara Liga Perdana musim ini, Harimau Muda, mulai 1 November ini selepas menerima tawaran daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Jurulatih yang sinonim dengan skuad Hijau Kuning itu berkata, perasaannya bercampur baur antara sedih, hiba dan akan merindui pasukan Kedah tetapi berdasarkan perkembangan semasa termasuk mendakwa tidak mendapat sokongan sewajarnya, membuatkan dia tidak berminat untuk menyambung kontrak bersama Sang Kenari.

"Saya menerima panggilan daripada wakil FAM tengah hari ini (semalam) mengenai tawaran itu dan surat pengesahan akan dihantar kemudian.

"Dengan situasi semasa yang berlaku, saya tidak berminat untuk menyambung kontrak dengan Kedah dan telah menghantar surat memohon dilepaskan daripada jawatan,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Mohd. Azraai yang mula membimbing Kedah sejak 2004 membantu pasukan itu menjuarai Liga Perdana pada musim 2005/2006, kemudian mencipta sejarah apabila muncul sebagai juara treble berganda Liga Malaysia dua musim berikutnya.

Menurutnya, dia telah membuktikan keupayaannya sebagai jurulatih dalam saingan domestik dan sekarang merupakan masa terbaik baginya untuk berbakti kepada negara dengan menghulurkan pengalaman membimbing skuad Harimau Muda.

"Sudah tiba masanya bagi saya untuk berusaha menghulurkan sumbangan pengalaman kepada skuad bola sepak negara khususnya dalam membangunkan bakat pemain-pemain muda,'' katanya.

Mengakui masih sayang dengan pasukan Kedah, Mohd. Azraai berkata, dia berharap Sang Kenari akan mendapat pengganti yang lebih baik dan mendoakan kejayaan itu pada musim-musim akan datang.

"Fokus saya kini ialah untuk membimbing pasukan Harimau Muda yang akan beraksi dalam saingan Liga Super musim depan. Pada masa sama, saya perlu berusaha mengembangkan bakat-bakat pemain muda dalam skuad itu kerana ia merupakan pelapis sukan bola sepak negara,'' katanya.

Utusan Malaysia 16 Oktober 2009

No comments:

Post a Comment