Sunday, October 4, 2009

Kemelut Kedah Semakin Parah


Perpecahan antara dua puak dalam skuad punca Hijau Kuning merudum

KEMEROSOTAN juara bertahan, Kedah secara mendadak dalam kempen Piala Malaysia musim ini menggambarkan sesuatu yang tidak kena dalam pasukan ini selepas kecemerlangan gelaran kedua berturut-turut pada 2008.

Sungguhpun, jurulatih, Mohd Azraai Khor menyalahkan penyerangnya atas kegagalan mereka meledakkan lebih daripada satu gol dalam tiga perlawanan Kumpulan E yang menyaksikan mereka hanya meraih satu mata, masalah itu sebenarnya lebih parah daripada itu dengan kemerosotan Hijau Kuning dikatakan ada kaitannya dengan pergolakan dalaman pasukan.


Perpecahan antara dua puak dalam pasukan Kedah dikatakan menjejaskan skuad dengan kelompok yang masih setia dengan bekas pengurus, Datuk Othman Aziz dikatakan enggan memberikan kerjasama kepada Mohd Azraai dengan niat untuk menjatuhkan kepimpinan baru yang diterajui Datuk Khazali Din.

Sikap pegawai yang berkepentingan sendiri dilihat menyukarkan tugas Mohd Azraai untuk mendapatkan penyerang tempatan berkualiti bagi mengharungi kempen Piala Malaysia musim ini.

Kegagalan mendapatkan khidmat Mohd Haris Safwan Kamal daripada T-Team berpunca daripada keengganan pengurusan untuk meluluskan pembiayaan walaupun memiliki jumlah kewangan yang mencukupi.

Mohd Azraai jelas kecewa dengan tindak tanduk pengurusan yang menunjukkan ketiadaan inisiatif untuk memperkuatkan pasukan, yang juga ditunjukkan ketika berputih mata dalam usaha mendapatkan Indra Putra Mahyuddin dan Mohd Nor Farhan Muhammad pada awal musim.

Apa yang mampu dilakukan oleh seorang jurulatih, jika tidak mendapat sokongan yang diperlukan. Ketika dia meminta pemain baru untuk memperkuatkan pasukan, permintaan itu ditolak pengurusan dengan alasan tiada wang.

Ini menyebabkan pasukan berputih mata mendapatkan Haris Safwan dengan dirinya beralih ke KL Plus. Keadaan sama turut berlaku pada awal musim ketika Indra Putra dan Nor Farhan terlepas daripada menjadi milik Kedah, kata sumber rapat dengan pasukan.

Kini ketika pusingan kedua peringkat kumpulan menjengah, Selasa depan, tiada pilihan buat Mohd Azraai selain terus menaruh kepercayaannya kepada barisan penyerang dengan setiap perlawanan selepas ini umpama hidup mati.

Kegagalan untuk mendapatkan selain daripada tiga mata penuh bermula dengan pertemuan menentang pendahulu kumpulan, Kelantan di tempat sendiri.
Kedah Lanie 5 Oktober 2009

No comments:

Post a Comment