Friday, May 22, 2009

Selangor nak calaq rekod kedah

KEDAH mungkin boleh mendabik dada kerana mencipta 10 kemenangan daripada 11 perlawanan terakhir Liga Super yang dilalui mereka musim ini.
Namun, Selangor tidak kurang hebatnya apabila hanya seri sekali dan tewas tiga kali sepanjang musim ini dan kali terakhir mereka tewas hanyalah pada 31 Mac lalu iaitu di tangan Terengganu di tempat lawan.

Malam ini, kedua-dua pasukan itu akan bertemu di Stadium Shah Alam dengan rekod pertemuan terakhir menyaksikan Selangor lebih gah apabila membelasah Kedah 4-1 di Alor Setar pada 3 Januari lalu yang juga perlawanan pembuka tirai musim ini.

Bagi pengurus Selangor, Zakaria Ab. Rahim, pasukannya sudah bersedia untuk mengulangi kemenangan pada aksi Piala Sumbangsih itu.

Dalam masa yang sama, Zakaria berkata, Selangor mahu mencalarkan rekod cemerlang Kedah yang hanya tewas kepada Kelantan dalam 11 perlawanan terakhir mereka.

"Saya yakin Selangor akan dapat memusnahkan rekod kemenangan Kedah dalam 10 daripada 11 perlawanan terakhir mereka itu malam esok (malam ini).

"Walaupun mereka kata lebih bersemangat sebab nak tebus kekalahan 1-4 di Alor Setar, kami juga ada misi untuk tebus kekalahan 2-3 pada final Piala FA musim lalu di Stadium Shah Alam ini.

"Kalau kita berjaya tamatkan badi kekalahan di Alor Setar pada 3 Januari lalu, tiada sebab untuk kita tidak berjaya menamatkannya di sini. Shah Alam gelanggang kita, kelebihan pasti berpihak kepada kita," katanya kepada Kosmo! semalam.

Kedua-dua pasukan dijangka tidak dapat menyenaraikan beberapa pemain utama masing-masing

Selangor dijangka tidak dapat menurunkan beberapa pemainnya yang membantu skuad bawah 23 tahun kebangsaan menewaskan skuad bawah 23 tahun Singapura 3-0 pada aksi persahabatan di Stadium Jalan Besar, Singapura malam kelmarin.

Pemain yang terlibat ialah Nasril Nourdin, Nasriq Baharom, Amirulhadi Zainal dan Asraruddin Putra Omar.

"Jika tidak dapat menurunkan pemain-pemain ini pun, Selangor ada pengganti yang tidak kurang hebatnya. Saya yakin pemain akan beraksi lebih baik berbanding perlawanan terdahulu," jelas Zakaria.
-----------
23 Mei 2009

Monday, May 18, 2009

Misi membenam Chonburi fc

SETELAH mencapai matlamat mencatat kemenangan ke atas Perak, kelmarin, skuad Kedah berdepan tugas berat berdepan pasukan Chonburi (Thailand) pada perlawanan Piala AFC di Bangkok, esok.

Menurut ketua jurulatih, Mohd Azraai Khor Abdullah, kejayaan mengatasi Perak sudah pasti menjadi pembakar semangat menentang Chonburi untuk layak ke suku akhir.

“Ketika bertemu Perak, strategi meletakkan Faizal Abu Bkar sebagai penyerang utama tidak menjadi tetapi pengalaman Khyril Muhymeen berjaya memastikan kita meraih mata penuh pada perlawanan itu.

“Kemenangan itu memastikan Kedah terus kekal di tempat ketiga saingan liga dengan hanya ketinggalan empat mata di belakang pendahulu, Perlis.

“Kita akan terus menekan Perlis dalam usaha mempertahankan kejuaraan yang dimenangi sejak dua musim lalu,” kata Azraai.

Katanya, Khyril terus mencatat namanya sebagai penjaring sejak empat perlawanan lalu dan berharap dia akan terus cemerlang di Bangkok nanti.

“Saya tidak pernah meletakkan harapan di bahu seorang pemain sahaja bagi mendapatkan gol dan saya mahu Badrul Bakhtiar, Faizal Abu Bakar dan Fadly Baharom tajam di depan gawang,” katanya.

Kedah juga boleh layak ke suku akhir sekiranya Eastern Athletic (Hong Kong) tewas kepada ACB Hanoi (Vietnam).

Namun Azraai tegas mengatakan Kedah tidak mahu bergantung kepada pasukan lain.

“Kita mahu layak dengan menewaskan Chonburi bukan bergantung kepada pasukan lain,” katanya.
19 Mei 09

Saturday, May 16, 2009

Terbang semakin tinggi


SEGALANYA bagaikan berjalan lancar buat Kedah dalam kempen Liga Super musim ini yang sudah memasuki babak kedua saingan.

Dengan meneruskan rentak kemenangan untuk kekal di tangga ketiga dengan 31 mata selepas menundukkan Perak 3-1 di Stadium Darulaman, Alor Star.

Pasukan tuan rumah selesa mendahulu tiga gol menerusi Mohd. Fauzi Shaari (m-35), Mohd. Khyril Muhymeen (m-48) dan Shahrul Nizam Mustapa (m-54) sebelum Isma Alif Mohd Salim menjaringkan gol sagu hati pasukan pelawat pada minit ke-74.

Jika pada awal musim, Kedah hilang punca gara-gara mengalami kekalahan demi kekalahan, kali ini pengendali skuad Kenari, Azraai Khor Abdullah (gambar) kian lega apabila menemui semula sentuhan gemilang di atas padang yang meletakkan pasukan itu menjuarai hampir semua pertandingan dilangsungkan dua musim berturut-turut sebelum ini.

Kini, tidak hairan jika Azraai boleh kembali memasang impian untuk memburu kejuaraan Liga Super buat kali ketiga berturut-turut ketika pasukan itu hanya ketinggalan tujuh mata di belakang pendahulu yang juga negeri jiran, Perlis.

“Memang benar keyakinan kami sudah pulih terutama selepas mampu kembali menemui jaring lawan. Pada awal musim, penyerang muda yang kami bawa masuk bergelut untuk membolosi gawang lawan sekalipun kami banyak mencipta peluang.

“Sekarang, semuanya berjalan dengan lancar dan saya harap mereka dapat teruskan rentak cemerlang ini supaya kami dapat mencabar kembali kejuaraan,” katanya.

Azraai menamakan dua penyerang muda yang dibawa masuk pada awal musim, Farizal Rozali dan Azrul Ahmad, sebagai sudah dapat menyesuaikan diri dengan rentak permainan keseluruhan pasukan.

“Masalah yang kami hadapi mereka agak lambat menyesuaikan diri dengan corak permainan Hijau Kuning. Tapi kini semuanya sudah OK dan kami berharap dapat terus mencatat kemenangan,” katanya.

Bermula dengan perlawanan menentang Pulau Pinang, Selasa ini, Azraai tidak mahu menoleh ke belakang selepas anak buahnya berjaya meraih 12 mata daripada maksimum 15 dalam lima perlawanan terakhir mereka.

Jurulatih berpengalaman luas itu juga melahirkan rasa gembira dengan keupayaan jentera serangannya meledak tujuh gol ke atas kelab Vietnam, Hanoi ACB, pada perlawanan Piala AFC, Selasa lalu, sekali gus mencerahkan peluang untuk layak ke pusingan kedua.
17 Mei 2009

Thursday, May 14, 2009

Dah makin garang dah


KEJAYAAN Kedah menewaskan Pulau Pinang 2-1 dalam saingan Liga Super di Stadium Batu Kawan kelmarin boleh dianggap satu amaran kepada pasukan lain dalam Liga Super.

Kemenangan itu yang membawa skuad Kenari ke kedudukan ketiga liga dengan dipisahkan lima mata daripada pendahulu, pastinya memberikan saingan sengit kepada pasukan lain seperti Negeri Sembilan, Kelantan dan Selangor.

Tanggapan awal pengkritik bahawa Kedah gagal untuk mengekalkan gelaran Liga Super mungkin boleh dihentikan.

Menurut pengendali pasukan Hijau Kuning itu, Mohd. Azraai Khor Abdullah, berkat kesabaran dan usaha pemain dan barisan jurulatih, pasukan berkenaan kembali berada di kelompok terbaik ketika ini.

"Kritikan yang dilempar sebelum ini telah mendorong pemain untuk berusaha lebih keras bagi memenangi setiap perlawanan termasuk saingan malam tadi (kelmarin).

"Saya meminta pemain mengekalkan momentum kemenangan ini sehingga Kedah muncul sebagai juara liga," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Jelasnya, mengenai perlawanan itu pula, pasukannya telah menghadapi cabaran sengit daripada pasukan lawan.

"Tiga mata ini cukup bermakna buat kami apabila berjaya merampas kedudukan ketiga.

"Usaha kami selepas ini adalah untuk terus mengejar pasukan di atas dan berharap momentum kemenangan ini dapat dikekalkan," katanya.

Pada aksi kelmarin, Kedah memperoleh dua gol menerusi Mohd Khyril Muhayameen Zambri dan Mohd. Azrul Ahmad.
14 MEI 09/KOSMO

Tuesday, May 12, 2009

Kedah Lonjak tangga ke tiga

KELANTAN mensia-siakan kelebihan satu daripada dua perlawanan dalam tangan yang dimiliki apabila tewas 1-2 kepada Johor FC, sekali gus membolehkan Kedah yang mengalahkan Pulau Pinang dengan jaringan sama, melonjak ke tempat ketiga, malam tadi.

Kemenangan skuad Hijau Kuning itu membolehkan mereka merampas tempat Negeri Sembilan - yang bersama Perlis dan Selangor tidak beraksi malam tadi - sambil menolak pasukan itu ke tempat keempat diikuti Kelantan.

Di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Johor FC bangkit daripada ketinggalan 1-0 menerusi gol Mohd Nor Farhan pada minit ke-23, untuk menang hasil jaringan Azizan Baba yang bijak meloloskan diri dalam kotak penalti untuk meledakkan rembatan melepasi Mohd Shahrizan Ismail tujuh minit sebelum rehat.

Azizan menjadi wira pasukannya apabila menjaringkan gol kedua pada minit-60 untuk memastikan Johor FC mengutip tiga mata.

Di Stadium Darulaman, KM Naza meraih tiga mata berharga selepas menundukkan KL Plus 2-0 menerusi dua jaringan Akmal Rizal Ahmad Rakhli, masing-masing pada minit keempat dan 87.

Di Stadium Batu Kawan, pelawat membuka jaringan pada minit ke-20 menerusi Mohd Khyril Muhymeen sebelum S Thinagaran menghukum kealpaan pertahanan lawan bagi menyumbang gol penyamaan tuan rumah.

Gol kemenangan skuad Hijau Kuning hadir pada minit ke-75, selepas pemain gantian, Mohd Azrul Ahmad yang masuk tidak sampai seminit, menyumbang gol kedua pasukannya apabila menanduk masuk hantaran lintang Mohd Azrul Ahmad bagi menewaskan penjaga gol lawan, Mohd Faizul Yusoff.

Wednesday, May 6, 2009

Kedah Mengamuk di Darul Aman

KEDAH mengamuk di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam tadi.

Mereka tampil bergaya apabila membelasah kelab ACB Hanoi 7-0 pada perlawanan Kumpulan G Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Walaupun turun tanpa empat tonggak utama tetapi skuad tuan rumah mempergunakan sepenuhnya peluang beraksi di Stadium Darul Aman.

Berbekal misi untuk mengutip tiga mata penuh, kesebelasan Kedah mempamerkan kesungguhan yang sungguh luar biasa tanpa memberi sebarang ruang kepada lawan untuk melancarkan gerak.

Gol pembukaan Kedah diperoleh seawal minit ke-13 menerusi Mohd. Azrul Ahmad sebelum dia meledak gol kedua pada minit ke-30.

Selepas itu, Mohd. Farizal Rozali pula mencatat nama sebagai penjaring pada minit ke-33 untuk menjadikan kedudukan 3-0 sehingga tamat separuh masa pertama.

Pada babak kedua, rentak permainan Kedah semakin teratur dan hasilnya mereka terus merobek gawang lawan menerusi jaringan Mohd. Afif Amiruddin pada minit ke- 63.

Mohd. Sabree Abu terus mengukuhkan kedudukan Kedah apabila meledak jaringan kelima pada minit ke-68.

Selepas itu, Kedah dihadiahkan pula dengan sepakan penalti selepas Sabree dijatuhkan oleh pertahanan ACB Hanoi, Ho Tanh Thuong dalam kawasan penalti.

Azrul yang mengambil sepakan tersebut mudah menyempurnakannya untuk melengkapkan jaringan hatriknya ada perlawanan itu.

Shahrulnizam Mustapha menjadikan kedudukan 7-0 pada minit ke-90 bagi melengkapkan malam gemilang skuad Kenari itu.

Sementara itu, satu lagi wakil negara ke Piala AFC, Johor FC tewas 0-2 kepada kelab V.B dari Maldives.

Perlawanan tersebut berlangsung di Stadium Nasional Male, Maldives.

Monday, May 4, 2009

Perlawanan Bulan Mei dan Jun

05.5.09 - AFC Cup - KEDAH Vs Hanoi ACB
12.5.09 - MSL - Penang Vs KEDAH
16.5.09 - MSL - KEDAH Vs Perak
19.5.09 - AFC Cup- Chonburri FC Vs KEDAH
23.5.09 - MSL - Selangor Vs KEDAH
26.5.09 - MSL - Perak Vs KEDAH
16.6.09 - MSL - KEDAH Vs N Sembilan
20.6.09 - MSL - Johor Fc Vs KEDAH
23.6.09 - MSL - KEDAH Vs Perlis
27.6.09 - MSL - KL Plus Vs KEDAH
30.6.09 - MSL - KEDAH Vs KM Naza