Thursday, April 16, 2009

Azraai tetap akur keputusan KFA


JURULATIH skuad Hijau Kuning, Mohd Azraai Khor Abdullah akur dengan sebarang keputusan yang dibuat Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) andai Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berminat mengambilnya selaku ketua jurulatih baru skuad kebangsaan.

Sebagai seorang jurulatih yang masih mempunyai kontrak dengan KFA sehingga 2010, dia tidak akan membuat rayuan kepada majikan untuk melepaskannya jika terpilih menjadi jurulatih kebangsaan.

Mohd Azraai berkata, sebagai jurulatih yang berjaya membawa pasukan Kedah memenangi kejuaraan berganda, dia tetap bersedia memikul tugas kerusi panas itu yang sebelum dikendalikan oleh B Sathianathan.

“Terserah kepada KFA untuk buat keputusan dan saya akur keputusan Presiden KFA, Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang enggan melepaskan saya.

“Saya terharu dengan kenyataan Datuk Seri (Azizan) kerana apa yang saya buat selama ini untuk memajukan bola sepak Kedah amat dihargai,” katanya ketika ditemui pada majlis pembukaan cawangan terbaru Al-Ikhsan di Jalan Teluk Wanjah, Alor Setar, semalam.

Akhbar semalam melaporkan KFA tidak akan melepaskan Mohd Azraai jika FAM berminat untuk mengambil beliau sebagai ketua jurulatih baru skuad kebangsaan.

Azizan dilaporkan berkata, pihaknya belum bersedia untuk melepaskan Mohd Azraai kerana masih memerlukan khidmat beliau bagi membimbing pasukan Kedah.

Sementara itu, Mohd Azraai berkata, di sebalik minatnya membimbing pasukan kebangsaan, dia masih sayangkan pasukannya terutama selepas berjaya menggilap dan mengetengahkan beberapa pemain muda dalam skuad Kenari itu sehingga terpilih untuk mewakili skuad kebangsaan dan Harimau Muda. (17 April 2009/BH)

No comments:

Post a Comment