Friday, April 10, 2009

Kedah tampil waspada di Gong Badak

BARISAN pemain Kedah akan tampil lebih waspada apabila berdepan Terengganu di Stadium Sultan Mizan di Gong Badak, malam ini, selepas melihat kemampuan skuad itu mengaibkan Selangor pada perlawanan liga lalu.

Jurulatih Kedah, Mohd Azraai Khor Abdullah berkata, Terengganu perlu lebih dihormati selepas menundukkan skuad Merah Kuning, Sabtu lalu yang pasti menyuntik keyakinan tinggi buat pemain tuan rumah.

“Pada pusingan pertama, kami mengatasi Terengganu 3-0 tetapi pada perlawanan esok (malam ini), keadaan berlainan kerana lawan kali ini lebih mantap dan mampu membuatkan kami berputih mata.



“Pemain perlu memastikan kesilapan yang dilakukan ketika diaibkan Kelantan tempoh hari tidak berulang dan saya juga yakin anak buah saya mampu mengekalkan prestasi cemerlang selepas mengatasi lawan dari Hong Kong pada Piala AFC, Selasa lalu,” kata Azraai yang memilih untuk mengekalkan kesebelasan yang sama ketika aksi Piala AFC Selasa lalu.

Beliau berkata, Fadly Baharom yang mengalami kecederaan dalam kemalangan jalan raya di Alor Setar minggu lalu, masih tidak dapat diturunkan tetapi penyerang muda, Faizal Abu Bakar sudah pulih daripada kecederaan untuk digandingkan dengan Khyril Muhymeen Zambri.

“Selepas kehilangan tiga mata Sabtu lalu, kami tidak mampu tercicir mata lagi demi memastikan kejuaraan yang dimenangi sejak dua musim lalu tidak terlepas.

No comments:

Post a Comment